Thursday, January 30, 2020

“Narko Subang - Perbicaraan” - The Police Story

Hakim larang media buat liputan perbicaraan polis didakwa peras ugut orang kampung
SHAH ALAM: Mahkamah Majistret hari ini meminta bilik perbicaraan dikosongkan dan tidak membenarkan media membuat liputan berhubung aduan seorang lelaki bahawa seorang anggota polis didakwa memalsukan dokumen dalam kes dadah melibatkan dirinya.

Pegawai polis yang tidak dinamakan itu merupakan salah seorang individu yang sebelum ini didakwa menahan anak muda di Sungai Buloh untuk memeras ugut keluarga mereka.

Sebelum perbicaraan bermula, Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie berkata pertuduhan yang hendak dibacakan terhadap pegawai polis itu berunsur sensitif dan tidak boleh dilaporkan.

Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli mengarahkan semua yang tidak berkaitan keluar dari bilik perbicaraan.

Perbicaraan kemudiannya bersambung dan selepas selesai, pemberita dimaklumkan oleh seorang timbalan pendakwa raya yang enggan dinamakan bahawa kes itu akan bersambung pada Mac tetapi tidak menyatakan tarikhnya.

Beliau juga memaklumkan pihak tertuduh itu tidak mempunyai peguam lagi.

Timbalan pendakwa raya itu berkata tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 hari ini.

FMT sedang mendapatkan respon daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat.

Pada 15 Januari lalu, Polis Selangor menyerahkan sepenuhya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap anggotanya jika benar dakwaan mereka memeras ugut penduduk Kampung Sungai Buloh.

Terdahulu, seorang wakil penduduk Sungai Buloh membuat laporan kepada SPRM mendakwa polis menahan anak muda di kampungnya untuk memeras ugut keluarga mereka.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Iwan, 50, mendakwa sekumpulan anggota polis dari “Narko Subang” menjalankan operasi menahan anak muda di kampungnya setiap Jumaat, sejak tahun lalu.

Katanya, ada yang terpaksa membayar sehingga RM27,000 untuk membebas serta mengelak anak atau pekerja mereka didakwa di mahkamah. - www.freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment