LAWATAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza adalah suatu peristiwa bersejarah yang amat istimewa bagi negara kita. Apatah tidaknya, ia menimbulkan pelbagai reaksi dan harapan positif daripada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia akan peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia sebagai mediator perdamaian antara Fatah dan Hamas.
Hal ini bukan angan-angan kosong kerana sudah terbukti, kepimpinan Perdana Menteri berjaya baru-baru ini menamatkan konflik berdarah di selatan Filipina yang telah berlangsung hampir 40 tahun lamanya. Usaha dan kejayaan Malaysia ini menjadi bualan masyarakat dunia dan amat dihargai oleh kerajaan Filipina.
Oleh itu, kehadiran Perdana Menteri ke Gaza memberi makna yang tersendiri sebagai satu penzahiran sokongan rakyat Malaysia atas perjuangan rakyat Palestin selama ini untuk mengecapi keamanan.
Sebenarnya, kepulangan semula orang Yahudi ke Al Quds adalah petanda bahawa usia dunia semakin berakhir.
Memetik ayat al-Quran surah Al Isra', ayat 4 sehingga 5 yang bermaksud: "Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.
Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku."
Maka, benarlah bahawa janji Allah adalah pasti, bahawa satu hari nanti, akan dimusnahkan orang Yahudi di bumi Palestin buat kali kedua setelah mereka kembali ke Palestin. Dalam pada kembalinya mereka kepada tanah yang dijanjikan tersebut, kerosakan dan kemusnahan telah dilakukan dengan rakus dan tidak berperikemanusiaan.
Rakyat Palestin hidup dalam serba kedaifan dan kemelaratan. Palestin malah memiliki statistik kadar buta huruf antara yang tertinggi di dunia akibat sekatan dan gangguan perang yang tidak berkesudahan.
Yahudi menggila sesuka hati mereka dengan merampas tanah Palestin dan mendirikan tembok-tembok pemisah yang melumpuhkan penempatan Islam. Maka, benarlah seperti di dalam al-Quran bahawa apabila sampai masanya, mereka mula melakukan kerosakan di atas muka bumi dengan angkuh dan sombong.
Melihat penderitaan rakyat Palestin ini menyebabkan ada ulama besar di negara Arab seperti Syaikh Al Albani dan alim ulama Malaysia yang mengatakan tidak ada jihad di Palestin kerana nyawa rakyat Palestin lebih bernilai daripada batu dan tanah yang dirampas. Namun, jika berterusan tinggal di Palestin, ada kemungkinan rakyat Palestin akan dipupuskan oleh Zionis.
Sayangnya, ulama yang berpendapat sedemikian dicemuh oleh sesetengah pihak sebagai bacul dan penakut. Anehnya, golongan ulama yang dicemuh ini, terlebih dahulu tiba di Gaza menghulurkan bantuan sedangkan pengkritik mereka hanya mampu memboikot burger di tanah air, itu pun sekadar di mulut tetapi bukan di perut.
Apakah yang harus dilakukan oleh umat apabila berhadapan dengan isu Palestin? Benar, memorandum dan demonstrasi adalah cara pintas menunjukkan rasa kesatuan. Ada yang berasa cukup sekadar mempunyai semangat jihad ataupun prihatin, untuk membebaskan bumi Palestin.
Malah ada yang mengusahakan boikot sesetengah barang yang kononnya ada kaitan dengan Israel. Tetapi, golongan yang asyik bermemorandum ini sering kali lupa bahawa semangat sahaja tidak cukup.
Kejayaan Salahuddin Al Ayubi menakluki Jerusalem sewajarnya dijadikan iktibar. Beliau bukan sahaja mementingkan sembahyang malam tetapi mementingkan teknologi. Lihat sahaja jentera yang digunakan dalam menawan Al-Quds seperti yang digambarkan dalam filem sejarah Kingdom of Heaven.
Bedilan bertalu-talu oleh manjanik dan sebagainya menunjukkan bahawa Salahuddin tidak hanya mengharapkan keajaiban tetapi juga senjata dan strategi peperangan yang mantap.
Inilah yang cuba dibawa oleh pemimpin-pemimpin kita selama ini dalam menerajui negara kita. Mereka menitik beratkan soal keamanan dan kemajuan pendidikan serta ekonomi di samping kesuburan syiar Islam yang tidak terbatas pengamalannya di negara kita. Ini merupakan pendekatan yang sama oleh Salahuddin dan juga Muhammad Al Fatih.
Muhammad Al Fatih tidak mengharapkan tenteranya boleh melintas Selat Bosphorus secara sakti dengan berjalan di atas air seperti dalam cerita-cerita sufi dan wali tetapi, mencipta rantai besi yang direntas dari hujung selat ke seberangnya untuk membawa kapal hampir ke kubu lawan.
Malahan, pakar ketenteraan Barat di zaman ini, mengiktiraf bahawa Muhammad Al Fatih adalah orang pertama yang menunjukkan betapa berkesannya penggunaan meriam dalam peperangan moden. Begitulah caranya orang dahulu berjuang. Mereka tidak menggunakan cara pintas tetapi diiringi usaha dan strategi membina kekuatan negara.
Jika itu dianggap canggih, maka ingatlah sirah Nabi itu sendiri. Nabi mengajak sahabatnya berjuang dan berperang dengan pedang, bukannya dengan menggunakan tentera jin ataupun rijalul ghaib mahupun mukjizat semata-mata.
Berdemonstrasi dan bermemorandum adalah cara murah dan mudah untuk menarik perhatian dan menjadi pejuang sekelip mata. Tetapi, melakukan kerja sebenar tidak semudah itu.
Kerja sebenar itulah yang dilakukan oleh golongan yang disebut "barua dan didoakan kehancuran" yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib Tun Razak.
Justeru, demonstrasi tersebut hanyalah sekadar mencederakan pihak keselamatan yang seagama malah mereka mungkin saudara-mara kita serta menyusahkan peniaga-peniaga dan pekerja-pekerja yang hanya ingin mencari rezeki yang halal.
Apa yang dilakukan tidak memberi kesan hatta terhadap hujung kuku Yahudi dan sekutunya seperti yang diharapkan. Inilah suatu perkara yang gagal dilakukan oleh sesetengah pihak yang berasa dirinya 'alim' tetapi gagal memerintah negeri sendiri.
Jika tidak kerana usaha pemimpin-pemimpin ini (semoga mereka dicucuri rahmat), mungkin nasib kita seperti sebahagian masyarakat Muslim selatan Thai yakni tidak dibuka peluang seluas-luasnya dalam pendidikan seperti orang Melayu Malaysia, setakat belajar pondok dan kemudiannya berharap dapat menjual tom yam di negara jiran, kekal terjajah dan mengagungkan bahasa dan budaya penjajah daripada bahasa ibunda sendiri walaupun berhadapan dengan bangsa sendiri.
Pemimpin-pemimpin kita jauh lebih bermaruah memperjuangkan Palestin daripada sesetengah pemimpin yang demi kerakusan kuasa melaungkan kesetiaan mereka mempertahankan keselamatan Israel dan bukannya nasib rakyat Palestin.
Oleh : Dr. Abu Uzma Abdul Rahman
No comments:
Post a Comment