nuffnang

Friday, February 15, 2013

Keberanian Pas Semakin Terhakis

SALAH satu sikap yang semakin terhakis daripada Pas sejak menjalinkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ialah keberanian.

Begitulah juga dalam isu siapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pas tidak berani menyatakan secara terbuka atau lebih tepat lagi membuat kenyataan rasmi bahawa mereka mahukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menduduki jawatan berkenaan.

Sebaliknya, apabila tercetus khabar bahawa Majlis Syura Ulama Pas menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, pemimpin-pemimpin Pas cepat-cepat menafikannya dan menganggap ia mengarut.
Tetapi tidak ada satu pun kenyataan yang menegaskan siapa yang mereka mahu sama ada Abdul Hadi atau Anwar.

Dalam soal ini, kita memahami Pas berasa serba-salah ibarat ditelan mati emak, ditelan mati bapa. Ia memandangkan pemimpin-pemimpin sudah terperangkap dalam situasi politik yang mereka ciptakan sendiri.

Dari satu sudut, pemimpin-pemimpin Pas amat memahami bahawa di dalam parti itu terdapat arus yang kuat yang mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri dan ia sudah diterjemahkan melalui kenyataan seorang wakil Dewan Ulam ketika muktamar tahunan parti itu baru-baru ini.

Kenyataan berkenaan disokong oleh ramai pemimpin Pas khususnya dalam kalangan ulama. Dari satu sudut lain pula, Pas mahu menjaga hati Anwar dan hubungan bersama PKR serta DAP.

Pas tidak mahu jika mereka membuat kenyataan rasmi menolak Anwar ia boleh menjejaskan hubungan berkenaan, apatah lagi pemimpin Pas yang menyokong ketua pembangkang itu terlalu ramai dalam parti tersebut.

Oleh itu cara yang paling selamat ialah menafikan berlakunya perbincangan berhubung penolakan ke atas Anwar dan dalam masa yang sama tidak menyatakan siapa yang mereka mahu.

Inilah sikap Pas sekarang, dari semasa ke semasa keberanian untuk menyatakan sebuah kebenaran semakin terhakis. Apa salahnya mereka berterus-terang supaya pemimpin dan ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi tidak terus bingung.

Tetapi pemimpin-pemimpin Pas tidak mahu berbuat demikian kerana mahu menjaga hati Anwar, PKR dan DAP.

Mungkin bagi pemimpin-pemimpin Pas menjaga hubungan dengan kedua-dua parti itu adalah lebih penting berbanding menilai perasaan ahli sendiri.

Selain itu, sikap tidak berani menyatakan secara rasmi siapa pilihan mereka untuk menjadi Perdana Menteri telah menimbulkan persoalan apakah Pas secara senyap-senyap sememangnya mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri?

Jika itu benar, apakah ia bermaksud kepimpinan Pas tidak mempedulikan desakan akar umbi yang mahukan Abdul Hadi menduduki jawatan tersebut?

Atau sememangnya benar ada perancangan untuk memujuk pemimpin di luar pakatan pembangkang bagi tujuan tersebut?

Sepatutnya, Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama dan pemimpin bertaraf ulama dalam Pas berani ke hadapan untuk menyatakan kebenaran. Kalau betul mereka tidak mahu Anwar maka nyatakan secara terbuka.

Tetapi malangnya itu tidak berlaku kerana Pas bimbang jika kenyataan rasmi dibuat untuk menolak Anwar, ia akan menjejaskan kesepakatan dalam pakatan pembangkang.

Mungkin juga, sikap Pas ini ada kaitan dengan kekuatan parti itu untuk melawan kehendak PKR dan DAP.
Pemimpin-pemimpin Pas amat memahami DAP begitu konsisten mempertahankan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, oleh itu sudah pasti mereka tidak berani hendak menyanggah DAP.

Tambahan pula, Pas bukanlah tonggak utama dalam pakatan pembangkang dan sama sekali tidak mempunyai kekuatan untuk tidak akur kepada kehendak PKR dan DAP.

Apa sahaja yang diinginkan dan diputuskan oleh kedua-dua parti itu, Pas tidak adan kudrat untuk melawan.
Namun soal terhakisnya keberanian Pas bukanlah isu baru malahan dalam beberapa isu sebelum ini pun parti itu dilihat terlalu takut untuk menyatakan pendirian.

Kalau pun pendirian dibuat ia dilakukan secara berlapik sehinggakan ia menimbulkan kekeliruan yang mana satu pendirian rasmi Pas. Inilah yang berlaku dalam isu kalimah Allah. Jika dalam isu berkaitan Islam pun Pas tidak ada keberanian apatah lagi isu yang melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang lain.

Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Pas sebenarnya sudah terperangkap dalam mainan politik yang mereka ciptakan sendiri.

Justeru kata beliau, Pas terpaksa berhati-hati memandangkan banyak isu yang tercetus menyaksikan ahli-ahli parti itu semakin tidak berpuas hati.

''Begitulah juga dalam isu berkaitan kedudukan Anwar ini, Pas tidak mahu membuat pendirian rasmi kerana memahami sebahagian besar ahli-ahli mereka menolak Anwar.

''Pelbagai isu yang melumuri ketua pembangkang itu menyebabkan beliau dilihat tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri.

''Malahan satu kajian yang dijalankan dalam kalangan orang Melayu menunjukkan Anwar tidak sesuai untuk memimpin negara,'' katanya ketika dihubungi di Alor Setar.

Ketika ditanya, apakah pendekatan politik Pas sekarang menyebabkan parti itu semakin terhakis keberaniannya, Dr. Mohamed Mustafa berkata, semua itu berlaku kerana kesilapan Pas sendiri.

''Mereka yang memilih untuk mewujudkan kerjasama dengan PKR dan DAP tetapi akhirnya hanya sekadar menjadi pak turut sahaja. Keadaan ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli Pas dan inilah yang membimbangkan kepimpinan parti itu,'' kata beliau.

Dr. Mohamed Mustafa berkata, berikutan keadaan itu, pemimpin-pemimpin Pas dilihat lebih berhati-hati supaya tindakan mereka tidak dilihat terus menyinggung perasaan ahli-ahli.

''Kepimpinan Pas bimbang, jika ahli-ahli Pas terus marah dengan situasi yang berlaku, mereka tidak akan bekerja dalam pilihan raya, keadaan ini boleh membahayakan pakatan pembangkang,'' katanya.

Apa yang dikatakan oleh Dr. Mohamed Mustafa itu sememangnya benar kerana jentera pilihan raya Pas dianggap paling terbaik berbanding jentera PKR dan DAP.

PKR tidak mempunyai jentera pilihan raya yang tersusun manakala DAP pula ala kadar sahaja, oleh itu kedua-dua parti itu bergantung kepada Pas.

''Persoalannya, mahukah jentera pilihan raya Pas bekerja bermati-matian sedangkan yang akan untung akhirnya PKR dan DAP,'' tanya Dr. Mohamed Mustafa.

Semua keadaan ini sudah tentulah merimaskan kepimpinan Pas, apatah lagi dalam kalangan ahli dan penyokong termasuklah guru-guru pondok mereka melihat parti itu sudah tidak ada keberanian lagi.

''Banyak isu yang menyebabkan penyokong dan ahli Pas kecewa ia termasuklah isu kalimah Allah, syiah dan liberalisme,'' kata Dr. Mohamed Mustafa lagi.

Berdasarkan apa yang diperkatakan, jelaslah kepada kita kenapa Pas kini semakin terhakis keberaniannya.
Akibat daripad

Oleh itu tidak perlu kita mengharapkan apa-apa ketegasan daripada Pas selepas ini kerana sudah terbukti kepentingan politik telah meragut keberanian Pas sebagai sebuah parti bermaruah.

Oleh : Zulkiflee Bakar

No comments:

Post a Comment