Tuesday, February 12, 2013

Melayu Perlu Celik Kandungan Perlembagaan

Melayu perlu celik kandungan Perlembagaan elak hak dipijak

BERAPA ramai rakyat Malaysia terutama orang Melayu dan Bumiputera mengetahui mengenai hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan? Saya fikir tidak ramai mengetahuinya dengan secara sesungguhnya.

Oleh kerana ketidaktahuan ini, orang Melayu dan Bumiputera tidak menuntut hak sebaiknya. Ada pula berasa bahawa mereka tidak punyai hak istimewa dalam menjalani kehidupan mereka di bumi warisan.

Orang bukan Melayu pula ada yang tidak menghormati hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan ini. Situasi ini pada akhirnya boleh mengakibatkan kehilangan hak pada yang berhak.

Orang Melayu dan Bumiputera hendaklah meneliti Perlembagaan supaya dapat mengetahui hak masing-masing lalu membuat tuntutan sewajarnya. Orang bukan Melayu sewajarnya juga memahami Perlembagaan bersabit hak istimewa orang Melayu supaya pertikaian tidak munasabah boleh dihindarkan.

Sebenarnya Perlembagaan negara adalah undang-undang tertinggi yang dibuat oleh majoriti rakyat dan sepatutnya ditaati. Rakyat yang tidak menghormati undang-undang negara akan membawa negara itu ke kancah kucar-kacir. Bangsa yang tidak tahu mengenai hak dan miliknya dan tidak berusaha mengetahuinya akhirnya akan kehilangan hak itu.

Hak yang hilang selalunya tidak mungkin dapat dikembalikan lagi. Maka itu, semua rakyat hendaklah fasih mengenai hak mereka dalam Perlembagaan, supaya yang berhak mendapat haknya dan yang tidak berhak dapat menghormati hak orang lain.

Sebelum mempersoalkan hak orang Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan, kita terlebih dulu perlu memahami kandungan satu persetujuan yang dibuat semua kaum yang mendiami sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957. Kaum ini terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Persetujuan dikenali sebagai Kontrak Sosial yang mengenai persetujuan orang Melayu memberi kerakyatan kepada lebih sejuta kaum pendatang sebelum Tanah Melayu merdeka.

Sebagai balasan daripada pihak bukan Melayu bersetuju memberikan hak istimewa kepada orang Melayu. Kontrak Sosial ini adalah adalah satu tindakan muafakat antara orang Melayu yang berstatus warga negara Tanah Melayu ketika itu dengan orang Bukan Melayu yang belum menjadi warga negara.

Di sini, jelas kedua-dua belah pihak mempunyai keuntungan: Kaum bukan Melayu menjadi warga negara secara automatik kerana bersetuju memberi orang Melayu hak istimewa. Perlembagaan yang ada sekarang yang bersabit dengan hak orang Melayu digubal berlandaskan Kontrak Sosial yang dipersetujui semua kaum sebelum Tanah Melayu merdeka.

Maka semua rakyat wajib mematuhi Perlembagaan ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam ucapan ketika Perhimpunan Agung UMNO, baru-baru ini menyatakan bahawa Perlembagaan ini tidak boleh diubah.

Apakah hak istimewa orang Melayu yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia dan perlu diketahui semua rakyat? Yang penting rakyat tahu ialah perkara 152, 153, 89, 90, 38, 32 dan 3. Kandungannya seperti berikut:

Perkara 152(1) menyatakan bahawa bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan Malaysia. Bahasa lain boleh juga diajar dan dipakai.

Perkara 153 (1 hingga 9) menyatakan bahawa DYMM Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga kedudukan istimewa dan perizaban bagi orang Melayu dan Bumiputera mengenai kedudukan mereka dalam perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa, danasiswa, latihan dan sepertinya. Ianya juga merangkumi lesen dan permit perniagaan.

Perkara 89 dan 90 mengenai pemeliharaan tanah rizab orang Melayu.

Perkara 38 menetapkan tiada undang-undang yang boleh menjejaskan keistimewaan, kedudukan, martabat dan maruah Sultan diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Perkara 32 menetapkan DYMM Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua tertinggi negara.

Perkara 3 menyatakan bahawa agama rasmi bagi Malaysia ialah agama Islam. Agama lain boleh diamalkan.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, dalam ucapan beliau pernah berkata, bahawa orang Melayu banyak berkorban untuk orang bukan Melayu supaya mereka hidup aman damai di negara ini.

Sedutan teks ucapannya berbunyi: “Orang Melayu sedia memberikan hak munasabah dan patut kepada orang bukan Melayu. Orang Melayu sudah memberikan pengorbanan yang begitu banyak kepada bangsa bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang berbudi sebegitu tinggi seperti yang dibuat oleh orang Melayu.

Sesungguhnya ada jaminan hak istimewa Melayu dalam perjanjian Persekutuan, tetapi ia tidak sekali-kali mencegah dan menyekat bangsa yang bukan Melayu daripada mencapai kesenangan dan kejayaan, dan lagi sehingga sekarang hak istimewa itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf antara orang Melayu dengan bukan Melayu.”

Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera hendaklah dihormati dan dipraktikkan sendiri oleh Melayu dan Bumiputera. Rakyat yang lain tidak perlu mengungkit perkara ini kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan. Akta Hasutan jelas menyatakan bahawa mempertikaikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia adalah suatu kesalahan yang boleh dihukum.

Saya yakin gagasan 1Malaysia yang dipelopori Najib adalah berteraskan Perlembagaan sedia ada. Apabila beliau berkata, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ sebenarnya membawa makna supaya keadilan diberi kepada semua rakyat. Keadilan ini berteraskan Perlembagaan yang kita junjung, termasuk hal mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Oleh : Datuk Prof Dr Hashim Yaacob

No comments:

Post a Comment