Kita pernah mendengar hujah bahawa Perlembagaan adalah satu idea atau sistem yang disogok oleh British kepada kita. Ini bagi memastikan kita sentiasa berada di bawah telunjuk kuasa koloni itu walaupun secara fizikalnya kita sudah bebas.
Mungkin ada sedikit kebenaran mengenai hujah ini kerana itulah cara kuasa koloni untuk terus menerus menjajah dunia, bukan secara fizikal, tetapi juga secara halus iaitu melalui sistem pentadbiran. Namun, adakalanya juga hujah ini dijadikan api dalam ucapan politik, terutama ketika menghadapi pilihan raya. Kita perlu mengambil perhatian serius mengenai perkara ini supaya tiada manipulasi politik dalam isu berkaitan Perlembagaan walaupun kita tahu tiada pemisahan total antara politik dan Perlembagaan.
Perkara berkaitan Perlembagaan tidak harus dimanipulasi dan dicampur aduk dengan politik. Pendekatan sebegini boleh mengelirukan rakyat. Kita sedar rakyat adalah pengguna sebenar Perlembagaan dan kita mengambil perhatian bahawa khalayak sudah membuka minda untuk mengenali Perlembagaan dengan lebih dekat. Pendekatan politik yang sebegini boleh menggugat kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan luhur dan seterusnya mengurangkan keyakinan rakyat kepada Perlembagaan.
Adalah tidak benar jika dikatakan apa yang dimuatkan dalam Perlembagaan itu adalah semata-mata kehendak British. Beberapa perkara yang perlu kita lihat dan menilai mengenai teori, prinsip dan undang-undang Perlembagaan sebelum kita membuat andaian begitu. Benar, legasi British wujud menerusi Perlembagaan, tetapi inti pati Perlembagaan bukan sesuatu yang jatuh dari langit, tetapi ia tumbuh dari bumi.
Pengisian Perlembagaan
Maksudnya, pengisian Perlembagaan bukanlah yang tidak dikenali atau terlalu asing daripada kita, tetapi ia berasal daripada tanah dan amalan kita. Ia tumbuh daripada sejarah, nilai dan budaya yang membumi dalam negara kita sendiri.
Oleh itu teori, prinsip dan undang-undang Perlembagaan yang kita ada ini bukan semata-mata legasi British, tetapi juga mengandungi perkara atau falsafah yang begitu hampir, bahkan sinonim dengan kita. Sebelum pergi lebih jauh, perlu diperjelaskan maksud teori, prinsip dan undang-undang Perlembagaan.
Teori Perlembagaan merujuk kepada persoalan berkaitan tadbir urus sesebuah negara dan pembentukan sesebuah negara. Prinsip perlembagaan pula merujuk kepada pentadbiran, pertalian dan perhubungan antara institusi yang membentuk negara. Undang-undang Perlembagaan pula berkaitan peraturan dan tetapan yang boleh, atau tidak boleh, atau mesti dipatuhi oleh kuasa politik.
Berdasarkan maksud ini, dapat dirumuskan bahawa, teori, prinsip dan undang-undang Perlembagaan tidak boleh tidak hendaklah mengandungi inti pati yang sinonim dengan negara. Ia tidak boleh mengandungi perkara asing.
Elemen tradisi
Namun, sekiranya perlu dirujuk atau diambil kira perkara yang asing itu, ia hendaklah hanya setakat mana bersesuaian dengan kehendak negara itu sendiri.
Dalam konteks ini Perlembagaan kita mengandungi elemen yang tidak asing kepada kita, iaitu apa yang dinamakan oleh penulis undang-undang Perlembagaan sebagai elemen tradisi dan atau warisan.
Maka dengan itu, sistem pentadbiran kita tidak serupa dengan negara lain walaupun teori asas, seumpama sistem Perlembagaan itu sendiri ditemui dan digunakan secara sejagat. Dengan kata lain, kita mempunyai prinsip yang sejagat, tetapi nilai kepada prinsip tersebut hendaklah bukan sesuatu yang asing dan tidak dapat diterima. Seumpama sistem Raja Berperlembagaan, walaupun sistem ini ditemui di banyak negara lain, teori dan prinsip yang dipakai secara perinciannya mungkin berbeza.
Bagi melestarikan peruntukan Perlembagaan, maka ayat-ayat Perlembagaan digubah dalam bentuk yang luas dan kompleks. Dalam kebanyakan keadaan, tiada perincian atau ilustrasi. Ia bertujuan melebarkan ruang teroka atau tafsir bagi kesesuaian masyarakat. Ini juga bagi membolehkan Perlembagaan itu bersifat sejagat, tetapi perinciannya tidak semestinya sejagat atau serupa antara satu sama lain. Kita boleh menerima teori dan prinsip perlembagaan dari luar setakat mana ia bersesuaian dengan sifat yang membumi di sini.
Sumber : www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment