SERANGAN 60 pejuang pemisah ke atas pangkalan tentera marin di daerah Bacho, Narathiwat malam kelmarin yang mengakibatkan 19 maut, menunjukkan konflik di selatan Thailand kian sukar dibendung.
Konflik masih lagi berbentuk konflik pemisah walaupun terdapat penambahan isu dan aktor dalam segmen konflik.
Konflik wilayah selatan Thailand atau konflik Patani hari ini sebenarnya amat berkait rapat soal pertembungan budaya dan agama - sehingga menyebabkan keputusan untuk berkompromi sukar dicapai.
Akibatnya, konflik yang sudah lama berlaku sejak tahun 1786 lagi apabila wilayah kesultanan Melayu Fathoni dikuasai oleh kerajaan Siam semakin parah. Meskipun sekitar awal tahun 2000 konflik ini didakwa dapat dikawal dengan ketiadaan insiden-insiden besar, namun hakikatnya, konflik masih lagi berterusan.
Dan sehinggalah serangan yang terbaharu dan telah diketahui awal oleh Bangkok itu menyaksikan 19 pejuang pemisah memakai celoreng seperti tentera maut manakala anggota pemisah lain melarikan diri.
Hakikatnya konflik di selatan Thailand tidak pernah reda. Jika diimbas rekod 10 tahun bermula 1993 hingga 2004, sebanyak 2,593 insiden berkaitan keganasan berlaku. Sepanjang tempoh itu, 29 peratus berlaku sepanjang tahun 1993 hingga 2003, manakala 71 peratus terjadi dalam 2004.
Narathiwat merupakan wilayah yang paling kerap berlaku insiden keganasan, diikuti wilayah Patani dan Yala.
Insiden dan peristiwa yang berlaku hari ini lebih kepada penyerangan, pertempuran, sabotaj dan demonstrasi. Sebelum 1990, telah banyak berlaku insiden-insiden pertembungan antara orang Melayu Islam Patani dengan pihak berkuasa kerajaan Thailand.
Antaranya, peristiwa di Kampung Dusun Nyior, Narathiwat pada 28 April 1948 apabila polis memulakan serangan ke atas sekumpulan orang Islam Patani yang sedang mengadakan kenduri.
Pihak polis menuduh sekumpulan orang Melayu Islam itu bertindak cuba melawan mereka. Lantaran itu, hampir 400 orang termasuk orang tua dan kanak-kanak telah mati. Dalam insiden itu, 30 anggota polis turut terkorban dalam pertempuran yang berlangsung selama 36 jam.
Demonstrasi turut berlaku di selatan Thailand apabila orang Islam Patani cuba menahan tindakan kerajaan untuk merobohkan Masjid Besar Menara bagi digantikan dengan masjid baru. Demonstrasi ini berlaku pada 15 November 1975 yang mana Perdana Menteri Kukrij Pramoj ingin merobohkan Masjid Besar Menara tetapi ditentang oleh orang Melayu. Ekoran daripada itu, ramai tentera telah dihantar ke wilayah tersebut.
Pada 29 November 1975, tentera telah memaksa enam orang pemuda Melayu Islam menyembah berhala Buddha dan kemudian dibunuh. Kejadian ini berlaku di wilayah Patani apabila mereka disekat oleh Tentera Laut Thai ketika dalam perjalanan pulang. Tindakan ini terbongkar apabila salah seorang daripada mereka terselamat.
Ekoran daripada itu berlaku demonstrasi pada 11 Disember 1975 menentang kezaliman tentera kerajaan di samping menuntut tentera terlibat dihadap ke muka pengadilan.
Seterusnya pada 21 April 1990 satu perarakan besar-besaran telah diadakan oleh orang Melayu untuk menuntut kerajaan Thailand supaya membenarkan mereka memperbaiki Masjid Kerisik. Masjid ini merupakan yang tertua di Asia Tenggara dan sebagai tanda kedatangan agama Islam di Patani.
Selepas kejadian demonstrasi tersebut, antara tahun 1990 hingga 2003, didapati tiada insiden-insiden yang menarik perhatian ramai.
Seterusnya menjelang tahun 2004, konflik meletus kembali apabila pada 4 Januari 2004 berlaku penyerangan ke atas Kem Tentera di Kg. Pileng, Daerah Pecah Airong dalam wilayah Narathiwat oleh sekumpulan militan yang tidak dikenali.
Dalam serangan tersebut, empat anggota tentera telah terbunuh dan 366 laras senjata jenis M16, 24 laras Gun, 7 laras RPG (M79) dan 2 laras M60 telah dirompak. Dalam masa yang sama 18 buah sekolah dalam 10 daerah di Narathiwat turut dibakar.
Konflik di selatan Thailand perlu dilihat dari skop yang luas, untuk mencari titik penyelesaiannya.
Populasi kepadatan penduduk Patani, Narathiwat, Yala dan Satun ialah 12 peratus daripada rakyat Thailand. Jumlah penduduk seramai 1.3 juta adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam dan 360,000 orang adalah berbangsa Siam dan Cina yang beragama Buddha.
Jika dibandingkan kadar peratus jumlah keseluruhan rakyat Thailand, orang Melayu di selatan Thailand berjumlah 4 peratus.
Dari segi ekonomi, wilayah Patani, Narathiwat dan Yala masih berada di bawah paras garis kemiskinan.
Contohnya, pendapatan bulanan 20.7 peratus penduduk wilayah Patani adalah berada di bawah RM81.80 sebulan, 46 peratus penduduk wilayah Narathiwat berpendapatan di bawah RM80.80 sebulan manakala 37 peratus penduduk wilayah Yala pula berpendapatan di bawah RM84.50 sebulan. Kebanyakan penduduk tempatan masih lagi bergantung kepada sumber pertanian sebagai kegiatan utama.
Dan taraf kehidupan mereka sebahagian besarnya masih lagi di tahap yang rendah berbanding wilayah-wilayah lain walaupun dikatakan mendapat bantuan dan dorongan daripada kerajaan Thailand.
Dalam penyelesaian konflik selatan Thailand perlu ada inisiatif dan strategi baru. Ini termasuk pembinaan perdamaian (peace building) dengan kerjasama masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.
Konflik di selatan Thailand yang diburukkan dengan serangan terbaru Narathiwat kelmarin memerlukan langkah-langkah komprehensif yang turut melibatkan strategi transformasi konflik untuk penyelesaian yang berkekalan.
Oleh : Zulkifli Jalil
No comments:
Post a Comment