Nilai-nilai budi bahasa kian teruk, pulihkan sebelum terlewat
MEWUJUDKAN sekolah budi bahasa? Bagi sesetengah pihak, cadangan ini bunyi macam sudah tak ada kerja, saja-saja mahu cari kerja dan tambah kerja.
Ada yang tertanya-tanya, perlukah diadakan sekolah seperti ini? Sedangkan banyak lagi sekolah dan bidang lain boleh diwujudkan. Tidak cukupkah soal budi bahasa ini diajar di peringkat sekolah biasa atau di rumah?
Namun apabila melihat apa yang berlaku pada sekeliling kita, tidak kiralah di tempat awam, tempat kerja, jalan raya atau melayari laman-laman sosial memang ada kewajaran kita mempunyai sekolah seperti ini.
Cuma kita mahu tahu perjalanan dan mekanisme sekolah itu bagaimana. Guru atau cendekiawan seperti mana yang diperlukan sebagai tenaga pengajarnya dan jika saranan itu jadi kenyataan, adakah sekolah berkenaan akan benar-benar memberi kesan dan sampai kepada tujuannya dan pada masa sama tidak berlakunya pertindihan fungsi guru.
Apabila saranan ini dibuat oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mencadangkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menyediakan bimbingan nilai murni dan pembentukan sahsiah budaya tinggi dalam masyarakat, cadangan seperti ini janganlah terus dipandang remeh.
Meningkatkan budi bahasa dalam kalangan kita bukan perkara yang boleh diringan-ringankan.
Menghadapi orang sekeliling dalam keadaan iklim seakan-akan kontang budi bahasa ini lebih-lebih lagi apabila berdebat dalam isu-isu yang boleh saja dipolitikkan- yang mana orang yang tinggi pendidikannya pun boleh mengeluarkan kata-kata kesat, kita perlu akui ketiadaan budi bahasa ini boleh mengeruhkan keharmonian hidup dalam bermasyarakat.
Tidak perlu pergi jauh, dengan rakan-rakan sekeliling kita pun ia boleh saja menimbulkan hubungan tegang, sedangkan jika difikirkan secara logik akalnya, tidak pasal-pasal dek kerana kerenah dan isu yang dicetuskan oleh parti-parti politik ini, kita yang hilang kawan dan senang-senang sahaja mendapat musuh.
Yang peliknya, ini yang dilakukan oleh orang yang berpendidikan tinggi. Apa pula yang akan berlaku jika nilai-nilai keintelektualan yang dipunyai oleh rakyat Malaysia ini tidak dapat diseimbangi dengan nilai-nilai kemanusiaan?
Budi bahasa adalah keperluan dan pembentukan asas dalam diri. Kalau kita ada budi bahasa dan menghormati semua orang, tidak kira apa peringkat, bangsa dan dalam menghadapi apa jua perbezaan-perbezaan lainnya, segalanya akan jadi lebih mudah.
Jika kita mahu anak-anak kecil kita tidak berlaku biadab, kita yang perlu memberi tunjuk ajar dan teladan kepada mereka. Sudah tentu, kita akan terasa sakit dan malunya, jika anak-anak kita dikata tidak beradab. Sedangkan, kita boleh saja menutup sebelah mata, dengan apa yang kita lakukan dan katakan.
Malaysia juga pernah disenaraikan oleh Reader's Digest sebagai antara negara yang paling biadab di dunia. Ia diambil kira daripada tinjauan di tempat-tempat awam di negara ini.
Kebiadapan itu dinilai melalui kes kemalangan jalan raya yang direkodkan oleh pihak polis menunjukkan sebanyak 20 peratus daripada 1.3 juta kes kemalangan setiap tahun di negara ini berpunca daripada sikap biadab di jalan raya.
Dalam pada itu, rakyat kita merokok di zon larangan merokok, menjawab telefon di dalam panggung wayang, lewat datang untuk temu janji, tidak mengucapkan "terima kasih" dan meninggalkan troli selepas membeli-belah di tempat meletak kereta begitu sahaja dan merempuh masuk ke dalam lif, tren dan bas sebelum penumpang keluar.
Tidak kiralah tepat atau tidak, atau sama ada penyelidikan dilakukan secara rambang, sebagai rakyat Malaysia yang waras pemikirannya, sudah tentu kita tidak mahu negara yang kita cintai ini dicap begitu.
Tentu saja mengejar status negara maju akan jadi pincang dan tidak seimbang sekiranya, rakyatnya sendiri rendah budi bahasanya, kemarau dalam amalan-amalan nilai murni, dan apatah lagi hendak dipandang sebagai mempunyai sahsiah budaya bangsa yang disegani. Maka, mewujudkan sekolah budi bahasa, berkempen, atau apa jua usaha ke arah mengangkat budi bahasa, tidak harus dipandang ringan, diperlekeh dan dijadikan bahan gurauan.
Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa, sendi bangsa ialah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.
Oleh : Fauziah Arof
No comments:
Post a Comment