Friday, December 23, 2011

Melayu Ramai Homoseksual?

KOTA BHARU 22 Dis. – Semakin ramai golongan muda lelaki Melayu dikesan menjadi pengamal homoseksual sekalipun mengetahui perkara itu ditegah agama dan mendedahkan mereka kepada jangkitan virus HIV.

Presiden Majlis AIDS Malaysia, Tan Sri Mohd. Zaman Khan berkata, penularan seks luar tabii semakin serius dan tidak tertumpu kepada negeri-negeri di pantai Barat sahaja tetapi berlaku di negeri-negeri lain termasuk Kelantan.

Beliau menambah, jika dahulu pengamalnya melakukannya secara sembunyi tetapi kini mereka semakin berani menonjolkan diri sehingga menubuhkan kelab-kelab gay.

Perkara itu ujarnya, sangat membimbangkan lebih-lebih lagi trend jangkitan HIV dan AIDS dalam negara telah berubah daripada jangkitan akibat perkongsian jarum suntikan kepada transmisi aktiviti seks tidak selamat.

“Pada tahun 2010, jangkitan melalui hubungan seks secara heteroseksual, homoseksual dan biseksual mencatatkan jumlah 48.7 peratus melebihi jangkitan melalui penggunaan dadah suntikan iaitu 47.7 peratus.

“Nisbah jangkitan baru HIV di kalangan wanita juga telah naik tiga kali ganda apabila ia meningkat daripada 1.2 peratus pada 1990 menjadi 9.4 peratus pada 2000 dan 18.3 peratus pada 2010.

“Namun kita dapati, selain bilangan semakin meningkat di kalangan wanita yang menjadi isteri dan pasangan kepada penghidap HIV, golongan lelaki yang mengadakan hubungan seks sesama lelaki juga semakin ramai terdedah kepada epidemik ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Wanita Menangani HIV dan AIDS peringkat negeri di sini hari ini.

Mohd. Zaman berkata, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 3,652 kes baru jangkitan HIV telah dicatat menjadikan jumlah keseluruhan 91,362 penghidap, sejak virus ini mula dilaporkan di negara ini pada 1986.

Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 16,532 orang telah ‘naik’ ke peringkat fasa AIDS di mana 14,298 orang daripada mereka meninggal dunia akibat kurang daya tahan kepada pelbagai jenis penyakit termasuk demam selesema.

Beliau berkata, pergaulan dan pengaruh rakan serta sokongan padu dari kelab mereka menjadi punca utama budaya songsang ini merebak dan menyebabkan golongan ini semakin berani mengamalkan cara hidup sedemikian.

Beliau tidak menolak penularan gaya hidup songsang itu dipercayai kesan daripada tindakan pihak-pihak tertentu yang giat memperjuangkan amalan berkenaan atas nama hak asasi dan kebebasan.

“Kita lihat kes pemuda Melayu yang berkahwin dengan pasangan gay di Dublin, Ireland baru-baru ini dengan lengkap bertanjak dan berbaju Melayu. Apa maknanya ini? Bagi saya ini sengaja hendak memalukan bangsa Melayu sahaja,” katanya

Sumber : utusan malaysia

No comments:

Post a Comment