Monday, December 5, 2011

Apa Motif The Star?

DALAM permohonan maafnya secara terbuka, kolumnis The Star, Tunku 'Abidin Muhriz menjelaskan bahawa beliau tidak maksudkan dalam rencananya bahawa semua ahli UMNO adalah 'lintah-lintah'.

Tetapi sesiapa yang membacanya akan tertanya apakah maksudnya melepaskan kata-kata kesat itu semasa Perhimpunan Agung UMNO sedang berlangsung.

Permohonan maafnya itu dibuat dengan anggapan daya pemikiran orang Melayu terlalu rendah.

Sesiapa juga yang mengikuti tulisannya selama ini sukar mempercayai dakwaan bahawa keluarga di raja Negeri Sembilan itu menghormati kepimpinan UMNO.

Malah sangat jelas dia tidak menjiwai semangat dan kefahaman terhadap UMNO seperti yang disuarakan oleh seorang wakil pelajar Kelab UMNO Luar Negara dari Newcastle melalui Wan Mohamad Azam dalam Perhimpunan Agung UMNO itu.

Jika Tunku ini menjiwai perasaan keislaman dan nasionalisme Malaysia, beliau tidak akan memainkan kemarahan orang Melayu dengan turut membantah penyembelihan korban di sekolah-sekolah seperti yang disuarakan dalam sebuah rencananya sebelum ini dengan tujuan untuk memperlihatkan dirinya lebih Malaysia daripada orang Melayu lainnya.

Bagaimanapun saya tidak mahu menyalahkan anak muda yang mentah ini yang cuba menunjukkan daya intelektualnya yang tinggi, tetapi tanpa sedar telah menelanjangi taraf pemikirannya yang penuh prejudis dengan menganggap UMNO sebagai lintah.

Persoalan saya ialah mengapakah The Star sebagai akhbar yang didokong oleh MCA rakan karib UMNO menggunakan orang Melayu yang berpandangan serong terhadap UMNO dan dasar-dasar kerajaan untuk menghakiskan imej UMNO malah juga Islam dari semasa ke semasa.

Saya memberi contoh supaya disedari oleh The Star bahawa apa yang dilakukan olehnya dipantau dan disedari oleh orang Islam dan Melayu di negara ini.

Umpamanya mengapa The Star menyiarkan gambar orang Melayu berkupiah putih bersama isteri merayakan Hari Kekasih (Valentine's Day) di atas kereta api pada tahun lalu yang kemudiannya dinafikan oleh KTM bahawa itu adalah upacara tersebut?

Menjelang perayaan Halloween baru-baru ini, akhbar ini menyiarkan gambar orang Melayu sedang membeli-belah pakaian untuk merayakannya. Mengapakah orang Melayu? Sedangkan yang biasa merayakan perayaan itu ialah orang Kristian. Tidakkah ini suatu cara dakwah halus yang sangat bijak?

Selain dari itu apabila Jabatan Agama Islam menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah gereja yang cuba memurtadkan orang Islam di Petaling Jaya, The Star menyiarkannya sebagai serbuan yang menimbulkan kemarahan orang bukan Islam.

The Star juga menyiarkan reaksi pantas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mengkritik serbuan itu. Khairy kemudiannya mengeluarkan suatu kenyataan berlainan di akhbar Melayu tetapi tidak tersiar di The Star.

Berasaskan kepada keterangan- keterangan di atas adalah sangat wajar dan kena pada masanya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengambil tindakan meminta The Star untuk memohon maaf di atas penyiaran rencana keluarga diraja Negeri Sembilan itu yang menghina orang UMNO sebagai 'lintah-lintah'.

Saya mempunyai banyak bukti rencana yang memperlekeh UMNO dengan menggunakan orang Melayu yang anti-UMNO sebagai kolumnis yang mewajarkan tindakan UMNO untuk meminta akhbar itu meminta maaf.

Tindakan ini seharusnya menyedarkan semua pihak yang terlibat supaya tidak menggunakan kebijaksanaan menyembunyikan tangan berdakwah untuk mencemarkan UMNO dan Islam, di sebalik bermuka-muka menyokong kepimpinan UMNO.

Sedarlah perbuatan mereka itu diperhati, disedari dan dipantau oleh orang Melayu. Mereka bukan idiot atau bodoh.
 
Oleh : Tan Malaka
          Putrajaya

No comments:

Post a Comment