RASA lebih sopan bagi mendefinisikan hubungan seks juga disebut sebagai hubungan intim. Mengapa 'intim' - kerana hubungan seks tersebut sudah pasti membuatkan anda semakin intim dengan pasangan anda.
Frekuensi hubungan seks yang ideal akan memberi pengaruh yang positif bukan sekadar untuk kesihatan fizikal bahkan mental juga.
Ia akan memberi kedamaian jiwa, ketenteraman diri dan yang paling utama menjauhkan diri daripada zina serta maksiat.
Sayang sekali apabila kesibukan karier dan tuntutan hidup seharian menjadikan pasangan suami isteri mengabaikan hubungan intim yang sepatutnya.
Lebih menyedihkan apabila pasangan suami isteri di kota mula renggang dan tidak lagi menuturkan kata-kata manis seperti awal bercinta tatkala sibuk mengejar karier dan perkara sampingan lain.
Faktor stres dan keletihan adalah antara puncanya. Tekanan kerja serta pelbagai masalah lain seperti kesesakan jalan raya membuatkan suami atau isteri bertambah tertekan, hinggakan ada yang mengambil keputusan untuk pulang lewat supaya dapat mengelak daripada bertembung dengan kesesakan pada waktu puncak.
Mengambil contoh pasangan Yati, 30, dan Yazid 31, (keduanya bukan nama sebenar) yang tiba di rumah pada pukul 10 malam setiap hari dan jika tiba pada pukul 8 itulah yang boleh dikategorikan paling awal.
Bilalah masanya untuk mereka mengadakan komunikasi romantik seterusnya hubungan intim?
Kadangkala, Yazid menginginkan hubungan intim tersebut namun Yati tidak berminat.
Biasanya Yatilah yang harus mengalah untuk menuruti keinginan si suaminya. Hubungan seks yang tidak dinikmati kedua belah pihak itu semakin menurunkan minat Yati dan Yazid untuk mengadakan hubungan seks.
Frekuensi Ideal
Sebenarnya berapa kali dalam seminggu idealnya berhubungan seks?
Menurut pakar seks dari Indonesia, Dr. Boyke Dian Nugraha, frekuensi hubungan seks paling ideal ialah sebanyak satu hingga empat kali seminggu.
"Bila anda melakukan seks dua kali dalam seminggu, atau tiga kali dalam seminggu, masih dalam batas normal.
"Frekuensi hubungan seks yang jarang akan mengakibatkan komunikasi non verbal semakin berkurang dan akhirnya mengancam keharmonian rumah tangga anda berdua," ujarnya yang turut mempersetujui bahawa seks yang jarang mendorong terjadinya maksiat.
Dr. Boyke mengakui banyak menerima kes pasangan sibuk dan pihak isteri yang sering mengeluh kerana minat untuk melakukan hubungan seks semakin berkurangan.
"Mereka rasa bersalah ketika suami meminta, namun tak mampu melaksanakannya sepenuh hati dan adakalanya terpaksa menolak dengan perasaan bersalah kerana terlalu penat," jelasnya.
Spontan atau mengikut jadual?
Sebaiknya pasangan yang sibuk boleh memilih untuk melakukan hubungan seks secara spontan atau sudah dirancang.
Hubungan seks terancang boleh diaturkan pada seminggu dua kali, sebagai contoh iaitu hari Rabu dan Sabtu. Dengan cara itu, pasangan telah menyiapkan minda untuk 'menyambut' hari yang ditentukan.
"Dengan ini, pasangan boleh bersiap untuk tidak melakukan kerja lebih masa pada hari yang telah ditetapkan," ujar Dr. Boyke.
Dr. Boyke menegaskan, sebaiknya kedua belah pihak baik suami atau isteri perlu siap sedia untuk melakukan hubungan intim itu.
Persoalannya, seks spontan diperlukan secara rutin, kenikmatan hubungan seks akan berkurangan dan pasangan mudah menjadi bosan.
Oleh sebab itu, hubungan seks yang baik tidak semestinya mengikut jadual namun kombinasi daripada spontan dan berjadual.
No comments:
Post a Comment