21 Rabi'ul Akhir 1022 Hijrah.
MERAFAK sembah ke bawah Duli Tuanku yang menaungi pemerintahan di semenanjung emas yang bertuah ini. Adapun, marsum panjang ini patik nukilkan kala purnama sedang mengambang penuh di tangkai langit dipagari gugusan bintang kejora bergemerlapan sambil patik ditemani limpahan damar seput meliuk bersama baur rencaman perasaan.
Tuanku,
Marsum ini padanya telah patik tukangi apakala usai menghimpunkan beberapa cetera berupa alkisah segala lakon sejarah meski seusai menghimpunkannya patik dihimpit bermacam gundah dan beraneka rasa jiwa nan resah. Adapun himpunan ini sesempurnanya telah patik titiskan sedari pengkisahan awal pembinaan dirgahayu kerajaan Melayu Melaka yang masyhurnya semerbak sebuana sehinggalah apakala episod suka berkalih sedih sesudah Melaka jatuh ke tangan soldadu Feringgi digelar jelata Benggali Putih lantaran cuai membeza dan mentafsir kasih.
Arakian, padanya telah patik himpunkan sesempurnanya rantaian cetera yang panjang dan penuh bermakna buat bangsa budiman ini untuk membukti luhur taat setia, mencurah bakti dan jasa, juga berupa suatu rakaman peri sebuah tamadun bangsa agar bisa dijadikan pedoman dan direnungi bersama kelak di hari kemudian nanti anak cucu kita bisa menjadi bangsa yang ampuh berdikari, tabah menangkis cabaran mendepani serta menjadi nakhoda di samudera pertiwi juga khalifah armada yang bijak bestari.
Apakala Duli Tuanku mengkehendaki patik menghimpunkan hikayat pada titah yang disampaikan oleh Orang Kaya Paduka Bendahara , mencatat peristiwa dan pertuturan segala raja-raja, dengan segala kebesaran istiadat bangsawannya supaya diketahui kelak oleh segala anak cucu kita yang kemudian hari, tahulah juga patik pada hikayat agung ini juga kelak kita akan diingati, syahdan sentana segalanya diiktibari beroleh faedahlah watan kita daripadanya nanti.
Marsum ini sekudusnya telah patik karang seusai ripuh menyusun hikayat yang patik namai selayak dan sesempurnanya Sulalatus Salatin yang telah Duli Tuanku pinta patik perbuatkan lalu patik pun telah menyediakan sembilan ratus lima puluh tujuh Katun timah Johor sebagai tukaran untuk mendapatkan naskhah tua kita yang telah Orang Kaya Sogoh bawa pulang dari negeri Goa. Arakian, patik juga telah beramah mesra sambil mengait seloka dengan segenap lapisan rakyat jelata serenta menghimpun segala rangkai bicara juga azimat mutiara kata, serenta menyempurnakan sebuah hikayat besar dinamai dari sabda pertuturan segala raja-raja dengan daulat kuasanya, juga dirgahayu keadilan yang menjadi paksi dan kebesaran lembayung kerajaannya.
Duli Tuanku,
Kala purnama mengambang begini, telah patik tuliskan marsum panjang nan luhur dan suci terbit di nubari yang tiada pernah menghasad iri pada bangsa Melayu yang bijak bestari. Bukankah Melayu itu digelar orang berketurunan Zulkarnain sang penakluk bumi yang tekal berjuang? Melayu itu khabarnya melayut jurai keturunan Raja Suran yang memiliki hikmat sakti serta keberanian sejati lalu dengan kesegalaannya ini dapatlah Raja Suran mendirikan seagam kerajaan di dasar lautan pertiwi.
Bukankah Melayu itu pemimpinnya telah menonjol bukti laksana Sultan Muhammad Syah yang bijak bestari lantas kerajaan Melayu yang hebat didiri serta memiliki paksi dengan kebijaksanaan Paduka Bendahara Tun Perak yang pintar bestari serta Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang arif mengada-adakan helah muslihat mendepani musuh yang sentiasa berhasad dengki?
Kesegalaan yang bangsa ini miliki adalah bermula dengan wibawa pemimpin yang disegani langsung menjadi urat dan nadi kepada pembinaan empayar dan peradaban yang maha tinggi. Dirgahayu Duli Tuanku, berkat kecekapan pemikiran Raja-Raja Melayu dan sida-sida sebagai pembantu menjadikan peradaban ini sebagai landasan penyatu agar keutuhan kerajaan terus dipacu. Lantas moyang-poyang kita menceritakan dahulu, pada kemuncak kegemilangan Melaka yang dilembayungi dirgahayu, menoleh kebelakang tiadalah mahu merendah hati tetap bersatu dengan Sultan Mansur Syah khalifah disegani ulung sebagai teraju.
Duli Tuanku, penaung kerajaan Melayu, Kala purnama mengambang, telah patik coretkan marsum panjang tanpa segesit perasaan bimbang. Bukankah Melayu itu diajar untuk mudah bertoleransi sesama sendiri? Hal ini jelas apakala patik menyoroti sikap Sultan Muzaffar Syah pada riwayat sejarah yang tersurat. Sebagai penaung yang bijaksana baginda rela berkorban kepentingan diri demi negara bertuah ini. Ingatkah Tuanku pada kisah Tun Kudu yang terceraikan oleh Baginda Sultan Muzaffar Syah saat menikmati manisnya madu hanya kerana mahu dikahwinkan permaisurinya itu dengan Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali yang terbuai dengan kecantikan kekanda Tun Perak itu sepenuh hati?
Adapun, tiada siapa yang akan beroleh untung jika pembesar-pembesar mengait telingkah dan raja sendiri tergamak disanggah kerana berebut sekuntum bunga yang mekar merekah, selain negara sendiri yang kelak akan ditimpa musibah. Adapun toleransi Baginda Sultan Muzaffar Syah ini adalah satu pengorbanan tiada terperi, kerana menggari cinta sendiri demi kemuafakatan negeri di kemudian hari. Namun, tiadalah molek jika sikap sebegini diamalkan sesuka hati, lantaran perkara ini jualah kanun yang sangat dibenci oleh Illahi. Telingkah sesama sendiri hanya menghumban kemasyhuran yang dimiliki ke gaung perpecahan yang dalam di dasar iri. Kelak musababnya hanya menggoyahkan peradaban yang dibina selama ini lalu mudahlah para musuh menyelinap mengkucar-kacirkan negeri dan rakyat di semenanjung bertuah ini. Sesungguhnya, peradaban agung ini tidak dibina dalam sehari sebaliknya diiringi peristiwa meluluh hati selain diperjudikan maruah tradisi juga tumpahnya darah dan air mata ke bumi.
Tuanku,
Kala purnama mengambang penuh, telah patik citrakan marsum ini dengan lukisan atma gemuruh bersama bingkai wasangka jernih tiada berkeruh. Melayu itu sentana patah sayapnya tetap gagah bertongkat paruh, jika dihina bangsa dan bahasanya biar mati bertikam bergaduh, jernih diambil dibuangnya yang keruh, pabila menggenggam bara berpuing hancur menjadi abu, alang-alang menyeluk pekasam, ke pangkal lengan meruap bau, berenang ke tepian berakit ke hulu, biarlah bersenang kemudian, baadapun bersakit-sakit dahulu. Bukankah Melayu itu diajar berdikari menjaga maruah diri? Jika terdampar di pesisir pantai samudera bisa menjadi benteng ampuh menadah hempasan badai gelora, dicampak ke dasar laut membutir menjadi semahal manik mutiara, dimercup ke langit angkasaraya bersinarnya menjadi gemerlap gugusan bintang kejora.
Telah patik himpunkan juga perihal kebijaksanaan bangsa ini mencipta helah serenta membesar-besarkan daulat dan maruah negeri yang tercinta ini. Ingatkah Duli Tuanku perihal kebijaksanaan Tun Perpatih Putih yang berjaya menyakinkan Maharaja China tentang kebesaran kerajaan Melaka, yang diperikan tiada alah daripada kuasa China? Kerana itu juga, Maharaja China mahu menjadi sekutu dengan Melaka lalu menghadiahkan puteri baginda dengan raja Melaka untuk bersatu di lembayung kasih singgahsana pengikat dua kerajaan agam berkuasa. Ingatkah Duli Tuanku tentang cetera Tun Perpatih Putih yang telah membawa segudang sagu ke negeri China untuk dipersembahkan kepada Maharaja China? Adapun, kebijaksanaan Tun Perpatih Putih mencipta helah syahdan mengatakan bahawasanya setiap biji sagu yang dibawa ke China itu digelek oleh setiap rakyat Melaka telah membuatkan Maharaja China percaya akan kebesaran dan kedaulatan kerajaan kita. Maka, dengan daulat dan kebesaran ini, Tun Perpatih putih sebagai utusan Sultan Mansur Syah ke negeri China telah membawa pulang bersamanya seramai 500 orang dayang serta perwara negeri, serta Puteri Hang Li Po yang jelita rupawan untuk dipersembahkan kepada baginda sultan. Lalu kedua mempelai ini pun berkahwinlah dan dikhabarkan perkahwinan baginda sultan dengan puteri dari China yang cantik rupawan menghasilkan benih cendekiawan bernama Paduka Mamat, molek parasnya berwajah tampan.
Tuanku,
Sentana ada perkisahan duka pada sejarah bangsa ini, juga telah patik himpunkan di helaian pengajaran di naskhah peri demi ingatan buat anak cucu kita di kemudian hari nanti. Adapun pengkhianatan dan penderhakaan terhadap raja pada hemat patik telah mencalar maruah dan tanda harga sebuah empayar yang masyhur sebuana laksana Melaka. Jika ada kisah yang paling menyayat hati, sudah pastinya pertikaman kesumat antara Hang Tuah dengan Hang Jebat, keris keduanya tiadalah tandingan diperkatakan orang keramat juga semerbak nama di hati warga kukuhlah mereka tersemat. Adapun setelah diketahuinya Hang Jebat perkhabaran Hang Tuah dibunuh oleh baginda sultan, dek sekabur alasan maka mengamuklah Hang Jebat penderhaka negeri di balai rong seri mengancam bunuh segala sida-sida negeri, mengkucar-kacirkan pemerintahan negeri sehinggakan baginda sultan dipaksa mengundur diri dari istana sendiri.
Barangkali Tuanku masih ingat hendaknya, ketika itulah Hang Jebat dikatakan Dang Ratna telah bermukah bersama-sama ratusan dayang dan perwara istana setelah Taming Sari dimilikinya lalu tiadalah kira akan dirinya siapa yang cuba menentangnya habis sepantas kilat dada mereka rabak dihunusnya.
Adapun kegilaan Hang Jebat ini sebenarnya tidak lebih daripada usaha membela kematian Hang Tuah yang telah disumpahnya bersaudara, lantaran menjadi mangsa hukuman baginda sultan yang berkuasa sedang tiadalah ruang untuk dirinya dibela. Adapun Tuanku, peristiwa berupa tragedi seperti ini, mengajar kita untuk seharusnya menilai kembali dengan teliti, jika ada permasalahan yang menggusar hati, sentana wujud peri mengundang amarah diri, seharusnya kita bermusyawarah sesama sendiri dan bukannya memasung hukum mengikut iri dan dibiarkan keadilan terpancang tiada berpaksi.
Duli Tuanku,
Adapun kedua laksamana kita ini bersaudara jugalah telah disumpah setia. Resmi air diturut halus, dicincang lumat tiadalah putus, rawan tersemat segeralah dihapus. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, umpama menghunus keris tika berguru, pencak serius atma biarlah kudus. Adapun derhakanya Hang Jebat adalah kerana membela perkhabaran kematian Hang Tuah yang telah dipasung dan dibunuh tanpa usul periksa. Arakian, sedia maklumlah kita bahawa Melayu ini setiakawannya nyala membara, berbukit payah didaki bersama, sekali bersumpah bersaudara, selamanya tetap menjadi keluarga ampuh dijaga tetap dibela.
Tuanku, penaung Kerajaan Melayu.
Syahadan, dalam hikayat tua yang telah patik himpunkan ini, diperkatakan juga tentang Hang Nadim, anak Dang Baru yang bijak bestari. Adapun perkisahan ini, dihikayatkan di sini tentang Raja-raja terdahulu yang telah menghukum anak kecil ini dek kebimbangan terhadap firasat ilham Hang Nadim pada suatu dinihari. Ketika Temasik dilanggar todak, anak kecil ini dikatakan menempelak titah Rajanya yang meminta jelatanya membina benteng dari betis kaki demi menyelamatkan bumi Temasik daripada diserang todak yang banyak sekali. Hatta, kebijaksanaan Hang Nadim ini yang menyembah buah fikir kepada Rajanya agar membina benteng batang pisang yang dipunggah dari pelosok negeri lalu pada firasat Raja pula, kelak nanti dikhuatiri anak ini akan menggugat keamanan negeri arakian bimbang takhta kerajaan Temasik akan dirampas dengan mudahnya peri. Lantas, diisytiharnya anak kecil ini laksana sang petualang lalu dibunuh lantaran Rajanya dimomok nyali gundah dan bimbang.
Peristiwa sebegini Duli Tuanku, amatlah tidak molek pada sifat Raja Melayu yang selayaknya mendengar restu jelatanya jika ada buah fikir yang mampu memakmur negeri selamat dan maju, dan bukannya memilih untuk memerah soldadu menjadi pertaruhan di medan tentu. Adapun anak-anak muda Melayu ini cembul akalnya pintar bestari andai buah fikir sama diberi, nescaya makmur seluruh negeri. Tunas fikirnya usahlah dicantas dengan iri, seharusnya disirami akar jati diri, disuburi dedaunan nurani agar di kemudian hari nanti kita membudaya jelata madani dan beroleh kesyumulan tradisi demi watan pertiwi.
Kala purnama mengambang, patiklah fakir marhaen yang mengarang semengga-mengga mencoretkan marsum panjang yang tiada berwalang. Demi bangsa, agama dan kesegalaan Duli Tuanku yang mentadbir ra'ayah di semenanjung mutiara, hamba persembahkan himpunan hikayat agung nusa agar kelak dapat kita iktibarkan bersama dalam ripuh jauh sejalur kembara. Wa llahu a'lamu bis-sauiab, wailaihil marji'u wal-ma'ab.
Oleh : Zulfazlan Jumrah
No comments:
Post a Comment