Tuesday, December 13, 2011

Pas Sayap DAP

Apabila Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa parti itu tidak akan memasukkan hukum hudud dalam manifesto pakatan pembangkang pada PRU13 maka pekong terdedah lagi.

Ia jelas membuktikan bahawa Pas terus tunduk dengan desakan sekutunya iaitu PKR dan DAP.

Sebelum ini kerana tekanan kedua-dua parti itu juga, Pas menggugurkan perjuangan negara Islam dan menggantikan negara berkebajikan.

Awang hairan dengan kenyataan beberapa pemimpin Pas yang berdegar-degar mahu melaksanakan hukum hudud beberapa minggu lalu. Apa sekalipun yang akan terjadi, kononnya mereka tidak akan sedikitpun berganjak laksana jihad di medan perang.

Kalau sudah tidak berani untuk menyatakan perkara itu dalam manifesto, elok tutup muka dengan sarung bantal sajalah. Buat malu kepada ahli dan para penyokong.

Awang sedih kerana belum pernah dalam sejarah, Pas sedayus ini. Prinsip dan maruah Islam dilacurkan. Parti itu tidak ubah seperti organisasi sayap dalam DAP. Masyarakat Islam sudah lama kecewa dan memberikan mesej jelas kepada Pas tetapi tidak dipedulikan.

Di sebalik akur kepada percaturan DAP, Pas sendiri menjadi mangsa. DAP telah merancang untuk meletakkan calon Melayunya sendiri di sebahagian kawasan majoriti Melayu.

Dengan kata lain, DAP tidak hormat kepada Pas dan lebih daripada itu, tidak yakin kemampuan Pas untuk mendapatkan majoriti undi Melayu. Strategi Pas bagai senjata makan tuan.

Maka terjadilah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Tahniah. Akhirnya terperangkap dengan kebodohan sendiri.

Awang Selamat

No comments:

Post a Comment