nuffnang

Monday, December 19, 2011

Pas Dan Perjuangan Islam

TERNYATA isu kenyataan Datuk Dr. Hasan Ali berhubung tindakan untuk terus memperjuangkan kepentingan Melayu dan mempertahankan Islam biar pun digugurkan sebagai calon Pas dalam pilihan raya umum nanti tidak disenangi oleh beberapa pemimpin parti itu.

Mereka melihat tindakan Hasan telah menimbulkan gejolak baru dalam Pas kerana selama ini biar pun sudah menukar haluan perjuangannya daripada menubuhkan negara Islam kepada negara berkebajikan namun Pas tetap menyatakan mereka memperjuangkan Islam.

Keadaan itu sedikit sebanyak mewujudkan kekeliruan di kalangan penyokong-penyokong Pas sendiri berhubung hala tuju parti berkenaan.

Dari satu segi Pas mendakwa, matlamat mereka kini ialah mewujudkan negara berkebajikan dan salah satu segi lain pula pemimpin mereka melenting apabila dikatakan tidak lagi memperjuangkan Islam.

Tetapi yang anehnya, Pas sendiri sudah mencapai kata sepakat untuk tidak lagi memperkatakan soal negara Islam bagi menghormati kesepakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Cuba kita teliti apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Pas, khususnya dalam sebahagian yang tertulis pada Fasal 5 dan Fasal 6.

Fasal 5 menyatakan: Tujuan Pas ialah:
(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

(2) Memperjuangkan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Fasal 6: Usaha-usaha:
(1) Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan sunnah Rasulullah SAW melalui dakwah, sama ada secara lisan, tulisan mahupun amalan.

(2) Memperjuangkan lslam sebagai akidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

(3) Memupuk dan memperkuatkan ukhuwah lslamiah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

(4) Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang- orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup lslam.

Soalnya, apakah Pas sekarang berada di landasan seperti mana dinyatakan dalam perlembagaannya itu?

Kita tidak mahu membuat kesimpulan apa- apa tetapi apa yang jelas di peringkat akar umbi perdebatan mengenai hala tuju Pas semakin banyak diperbincangkan di kalangan ahli dan penyokongnya.

Mereka seolah-olah tidak mempunyai jawapan pada soalan mengenai perjuangan Islam yang selama ini menjadi asas penubuhan parti itu pada tahun 1951.

Kesepakatan politik dengan PKR dan DAP telah memungkinkan soal perjuangan Islam semakin reda dalam kamus politik Pas.

Atas sebab itulah ketika mengulas perkara ini, bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin secara terbuka menyatakan bahawa Pas telah meninggalkan perjuangan Islam sebaik sahaja parti itu bersahabat dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Mungkin atas persahabatan itu jugalah pemimpin-pemimpin Pas tidak berpuas hati dengan Hasan, biar pun beliau mengatakan sesuatu yang benar.

''Pas lebih mementingkan nilai keduniaan iaitu kemenangan pada pilihan raya daripada meneruskan agenda perjuangan Islam sedangkan inilah perjuangan yang sepatutnya mereka utamakan.

''Akhirnya pemimpin-pemimpin yang memperjuangkan Islam seperti Dr. Hasan Ali akan diketepikan kerana tidak selari dengan perjuangan Pas walaupun apa yang dilakukan oleh Exco Selangor itu adalah perjuangan asal Pas,'' kata Mohamed Hafiz.

Sebab itulah Pas dikatakan 'pening kepala' berhadapan dengan isu Hasan, ini kerana mereka merasa 'terperangkap' akibat mainan politik sendiri.

Percaturan politik yang dilakukan oleh Pas kini meletakkan parti itu dalam situasi akan terjerumus dalam perangkap 'yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran', 'menang sorak prinsip tergadai'.

Keadaan itu berlaku kerana Pas bukan sahaja akan kehilangan sokongan daripada orang Melayu atas pagar yang melihat parti tersebut hanya menjadi alat politik kepada PKR dan DAP tetapi juga di kalangan sesetengah penyokong mereka sendiri.

Ia disebabkan di kalangan penyokong Pas, mereka merasakan tiada apa-apa keuntungan jika mengundi parti berkenaan dalam pilihan raya kerana akhirnya yang untung ialah PKR dan DAP.

Justeru adalah lebih baik jika pilihan raya umum akan datang, ia dijadikan medan bagi mereka memberi isyarat kepada kepimpinan Pas untuk kembali kepada perjuangan asal dan bukan terlalu mengejar kuasa politik bersama sekutunya.

Sebab itulah, kerjasama Pas dengan PKR dan DAP tidak menguntungkan parti tersebut, sebaliknya mereka hanya berasa 'bertuah' kerana dapat sepentas memaki hamun kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sahaja tetapi dari sudut kuasa politik percayalah Pas tidak akan ke mana.

Pas hanya dibawa bekerjasama dengan PKR dan DAP demi untuk menumbangkan BN, itu sahaja matlamatnya.

Kalau mereka benar-benar menghormati Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, sudah pasti mereka akan mencari jalan supaya Pas tidak harus dipaksa mengorbankan perjuangan Islamnya.

Tetapi itu tidak berlaku, sebaliknya PKR dan DAP secara tersurat dan tersirat sering 'menghalang' Pas untuk meneruskan perjuangan berkenaan.

Dalam keadaan Pas begitu percaya bahawa mereka tidak akan dianiaya apatah lagi menjadi mangsa manipulasi politik PKR dan DAP, tanpa disedari ia sudah pun berlaku.

Sebab itulah Mohamed Hafiz mengingatkan, selagi Pas tidak keluar daripada pakatan pembangkang selagi itu parti tersebut akan gagal dalam agendanya memperjuangkan Islam.

Oleh itu, untuk kesimpulannya dalam soal kita memperkatakan mengenai hala tuju perjuangan Pas berikutan keghairahannya memburu kuasa politik bersama PKR dan DAP, cuba renungi lirik lagu tema Pas, apakah ia masih sesuai jika dibandingkan dengan apa yang berlaku kepada parti itu sekarang:

Antara lain lirik berkenaan berbunyi: Berjuanglah wahai Ansorullah, Dengan matlamat daulah islamiah, Berkorbanlah wahai yang beriman, Dengan harta dan segenap kepunyaan.

Bergeraklah ke gerbang jasa, Kalah menang bukan alasannya, Sucikanlah niat di hati,
Hingga nyata benarnya janji Rabbi.

Dan dalam soal ini, Mohamed Hafiz secara tegas menyatakan, ''Saya yakin dan cukup percaya Pas sedar yang mereka tidak akan berjaya menegakkan syiar Islam walaupun pakatan pembangkang menang pada pilihan raya. Realitinya PKR dan DAP tidak mahu syiar Islam ditegakkan,'' ujarnya.

Sama ada kenyataan Mohamed Hafiz betul atau tidak terserahlah kepada kita untuk memikirkannya yang pasti ramai yang mendoakan agar lebih ramai lagi pejuang seperti Hasan Ali akan muncul bagi menyedarkan Pas.

Oleh : Zulkiflee Bakar

No comments:

Post a Comment