Tuesday, December 6, 2011

Kenapa UMNO Terus Menegur Pas?


SEPERTI diduga, segala pendedahan dan teguran yang dibuat terhadap Pas dalam Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir pada Sabtu lalu dianggap sebagai satu tohmahan oleh Pas.

Malahan ada di kalangan pemimpin Pas yang menganggap 'serangan' berkenaan dilakukan kononnya kerana UMNO takut dengan kekuatan Pas yang kini bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP - sekali gus akan menjadi saingan utama kepada Barisan Nasional (BN).

Itulah hujah mereka. Pas ternyata tidak mahu mengambil kesempatan daripada pendedahan dan teguran UMNO setiap tahun untuk bermuhasabah sama ada apa yang dikatakan oleh UMNO benar atau tidak.

UMNO 'menyerang' Pas bukan kerana politik, UMNO menegur Pas bukan kerana Pas lebih Islam daripada UMNO, UMNO mengkritik Pas bukan kerana Pas semakin berpengaruh dan UMNO menasihatkan Pas bukan kerana pakatan pembangkang semakin ampuh.

Tetapi UMNO terpaksa melakukan semua itu kerana melihat kehadiran Pas dalam persada politik negara semakin hari semakin membawa kemudaratan kepada orang Melayu, umat Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Pas sudah tidak lagi berpegang kepada asas penubuhannya pada tahun 1951 yang ketika itu sekumpulan ulama melahirkan Pas dengan matlamat memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredai Allah.

Lebih buruk, Pas yang semakin ghairah untuk berkuasa sanggup melakukan tindakan-tindakan yang dilihat memecah belahkan orang Melayu dan umat Islam.

Sebab itulah UMNO menegur Pas kerana tidak mahu propaganda dan tindakan Pas boleh membawa 'bencana' kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Suatu ketika Pas melemparkan pelbagai kecaman kepada UMNO kerana bekerjasama dengan parti bukan Islam tetapi sekarang Pas berkawan rapat dengan DAP atas alasan tahaluf siyasi (kerjasama politik).

Dan lebih mengelirukan Pas menolak biar pun sekadar berbincang dengan UMNO dalam soal kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Apa yang lebih membimbangkan Pas dilihat memperalatkan ayat-ayat Quran dan hadis bagi 'menghalalkan' segala tindakan mereka.

Selain itu ayat-ayat al-Quran dan hadis juga digunakan di atas pentas-pentas ceramah yang acap kali penuh dengan maki hamun dan cacian kepada pemimpin UMNO dan kerajaan.

Lebih memburukkan keadaan, Pas tidak menegur sikap penceramah atau pendakwah yang menyokong mereka menyalahgunakan masjid dan surau bagi menyampaikan ceramah politik.

Keadaan itu sudah tentulah boleh menimbulkan kekeliruan dan mencemarkan kesucian Islam kerana tempat ibadah tersebut sepatutnya digunakan untuk menyatukan ummah dan bukan memecah belahkan ummah.

Selain itu, UMNO juga membuat teguran kerana semakin resah dengan tindakan Pas yang seolah-olah tidak mampu mengawal tindak tanduk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Satu demi satu kenyataan kontroversi oleh Menteri Besar Kelantan itu seolah-olah tidak mampu ditegur oleh kepimpinan Pas biar pun mereka mempunyai Dewan Ulama.

Oleh kerana Nik Abdul Aziz bertaraf ulama kenyataan kontroversi beliau berkaitan sesuatu isu boleh mencetuskan kekeliruan di kalangan umat Islam.

UMNO juga ingin menasihatkan Pas supaya jangan menggadaikan prinsipnya semata- mata kerana ingin memburu kuasa bersama- sama dengan DAP dan PKR.

UMNO tidak cemburu Pas bekerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan kerana UMNO tiada hak untuk menghalang berkawan dengan sesiapa, tetapi janganlah sampai Pas dilihat hanya menjadi pak turut sahaja dalam pakatan pembangkang sehingga soal berkaitan Islam pun Pas tidak berani bersuara.

Sebagai contohnya, dalam isu memurtadkan umat Islam dan Seksualiti Merdeka, Pas pusat tidak berkata apa-apa. Begitu juga dalam isu moral melibatkan pemimpin pembangkang, pelbagai hujah ulama Pas keluarkan untuk mempertahankan rakan sekutunya.

Tetapi apabila ada dakwaan dan tuduhan kepada pemimpin UMNO, sudah pasti Pas akan beria-ia mendesak supaya pemimpin berkenaan dikenakan tindakan atau meletakkan jawatan.

Ini mengelirukan umat Islam kerana sepatutnya Pas berpegang kepada prinsip yang benar itu benar dan yang batil itu batil.

Penulis hanya menyenaraikan beberapa perkara sahaja bagi menjelaskan punca UMNO menegur Pas. Tujuan UMNO adalah demi kebaikan orang Melayu, umat Islam dan negara.

UMNO tidak mahu segala usaha parti itu melalui kerjasama dengan BN yang memungkinkan Malaysia diiktiraf negara Islam contoh, dirosakkan oleh cita-cita politik tidak bertempat Pas.

Ini jelas kerana Pas tidak pernah mahu mengiktiraf sumbangan UMNO dalam menonjol, menyampaikan dan membangunkan Islam di Malaysia sejak lebih 60 tahun lalu, ada sahaja hujah yang mereka keluarkan bagi menolak kebaikan yang dilakukan oleh UMNO, biar pun selama ini mereka turut merasai nikmatnya.

Jika Pas berhujah bahawa UMNO takut dengan kekuatan pakatan pembangkang, percayalah mereka hanya bermimpi di siang hari.

UMNO tidak bimbang soal itu, cuma apa yang UMNO bimbangkan ialah keghairahan Pas untuk mengejar kuasa bersama-sama PKR dan DAP sehingga segala-galanya sanggup dipertaruhkan hatta masa depan orang Melayu dan umat Islam sekali pun.

Semua ini telah diperingatkan oleh pembahas-pembahas terutama mereka bertaraf ustaz di Perhimpunan Agung UMNO.

Percayalah jika Pas terus bersikap seperti sekarang, mereka hanya menjadi alat kepada DAP dan PKR bagi mencapai cita-cita politik kumpulan itu.

Pas tidak akan mendapat apa-apa sebaliknya dalam pilihan raya umum akan datang Pas akan menjadi kelompok paling rugi.

Ia kerana selama ini Pas dilihat lebih banyak berkorban demi menjaga hubungannya dengan kedua-dua parti tersebut. Sikap itu termasuklah mengubah usaha memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Sedangkan DAP dan PKR sama sekali tidak akan memberi ruang kepada Pas untuk menjadi tonggak pakatan pembangkang kerana mereka hanya mahu meraih pengaruh Pas menarik pengundi Melayu daripada UMNO.

Kesudahannya Pas akan menjadi golongan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran, menang sorak kampung tergadai, orang lain mendapat nikmat, mereka hanya diperalat.

Akibat daripada keghairahan Pas itu, ia akan menyebabkan orang Melayu dan umat Islam terus berpecah-belah serta tidak akan dapat bersatu hati.

Keadaan inilah yang memungkinkan UMNO sentiasa memberi ingatan kepada Pas tentang bahaya politik yang mereka amalkan dan UMNO tetap membuka pintu untuk usaha penyatuan ummah tanpa mengira fahaman politik seperti mana terkandung dalam usul agama yang dibentangkan pada perhimpunan agung parti itu.

Semua itu UMNO lakukan kerana percaya apabila orang Melayu dan Islam bersatu ia bukan sahaja menguntungkan mereka tetapi juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Oleh : Zulkiflee Bakar

No comments:

Post a Comment