Thursday, August 1, 2019

Surat Terbuka Untuk Tun Dr.Mahathir Mohamad

Buat YAB Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia Ke-7,

Bersama-sama ini saya panjangkan untuk perhatian YAB Tun, 25 tuntutan Orang Melayu terhadap kerajaan Sempena Sambutan Ke-70 tahun penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).

Wahai Orang Melayu,

Seringkali kita mendengar pelbagai tuntutan dibuat oleh kaum-kaum minoriti terhadap kerajaan.

Seringkali juga kita melihat kerajaan kita menunaikan segala permintaan yang dibuat oleh kaum minoriti berkenaan atas alasan kompromi politik.

Seringkali juga kita melihat satu demi satu hak agama, hak bangsa dan hak tanah air kita terpaksa dikorbankan sedikit demi sedikit oleh kerajaan semata-mata bagi memenuhi tuntutan kaum minoriti kerana sumber yang semakin terhad itulah yang terpaksa kita kongsi dengan kaum lain.

Istilahnya "berkongsi" namun hakikatnya kita memberi lagi dan lagi hak kita kepada mereka sehingga akhirnya apa yg tinggal tidak cukup untuk anak cucu kita sendiri.

Realitinya, mereka tidak pernah memberi apa-apa kepada kita, sedang mereka meminta lagi dan lagi, dan pemimpin kita memberi dan terus memberi.

Wahai orang Melayu sekelian,

Demi kelangsungan hidup bernegara yg berterusan untuk anak cucu kita, marilah kita bersama-sama menuntut kembali hak kita yang sememangnya telah termaktub lama dalam Perlembagaan Persekutuan sejak Malaya merdeka tahun 1957.

Sebab generasi bapa dan datuk kita tak pernah membuat tuntutan ini, maka walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan, ia semakin dilupakan oleh kerajaan atas alasan kita tidak pernah menuntut untuk undang-undang hak kita tersebut dikuatkuasakan.

*Maka dengan lafas Bismillahirahmanirahim, demi masa depan anak cucu waris Melayu yang belum lahir,

Dengan ini orang Melayu menuntut daripada Kerajaan Persekutuan 25 perkara berikut :

1. Memperkukuhkan Islam sebagai Agama Persekutuan menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

2. Menuntut Institusi Kebajikan Islam di berikan peruntukan lebih besar untuk kerja-kerja kebajikan umat Islam di Malaysia.

3. Menuntut Institusi Wakaf dipengerusikan oleh Raja-Raja Melayu di perkasakan.

4. Menuntut peruntukan hak pendidikan untuk umat Islam menurut perkara 12(2) Perlembagaan di tambah bagi menambah bilangan Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Pendidikan KAFA dan Kelas-kelas bimbingan keagamaan di semua masjid di setiap daerah di Malaysia.

5. Menuntut hak untuk bersolat Jumaat untuk semua kakitangan sektor swasta dan menghukum semua majikan yang sengaja menghadkan masa rehat bagi membolehkan pekerja beragama Islam menunaikan solat Jumaat.

6. Menuntut agar semua aktiviti di jabatan kerajaan dihentikan selama 10 minit pada waktu solat zohor dan asar dan waktu bekerja di tambah 20 minit bagi menggantikan semula 20 minit yang di peruntukkan untuk waktu solat sewaktu jam bekerja berkenaan.

7. Menuntut dihentikan penggunaan istilah Semenanjung Malaysia kerana istilah berkenaan tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

8. Menuntut di kembalikan penggunaan istilah Negeri-Negeri Tanah Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 113(6), 116(2), 121(1)(a) dan 161E(1) Perlembagaan Persekutuan.

9. Menuntut mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang pada masa ini bukan Tanah Simpanan Melayu mengikut undang-undang yang sedia ada dan yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam agar segera diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu menurut Perkara 89(2) Perlembagaan Persekutuan.

10. Menuntut mana-mana Tanah Simpanan / Rezab Melayu yang diambil untuk tujuan pembangunan berbilang kaum digantikan dengan tanah lain dengan keluasan yang sama dengan komersil yang sama menurut Perkara 89(3) Perlembagaan Persekutuan.

11. Menuntut di mansuhkan fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kuasa mutlak kepada Yang d-Pertuan Agung untuk meluluskan sesuatu Rang undang-undang sebelum diwartakan selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.

12. Menuntut dikuatkuasakan Perkara 18(1) Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan mana-mana permohonan untuk menjadi warganegara adalah wajib mengangkat ikrar taat setia kepada Raja dan Negara mengikut Jadual 1 Perlembagaan Persekutuan.

13. Menuntut Kerajaan mendedahkan sama ada 7.3 juta kewarganegaraan terhadap kaum-kaum lain yang diberikan di antara tahun 1957 hingga 1970 telah melalui proses mengangkat ikrar ini atau tidak.

14. Menuntut dihapuskan penggunaan istilah Bahasa Malaysia kerana istilah berkenaan tidak wujud dalam Perlembagaan.

15. Menuntut digunakan kembali istilah Bahasa Melayu seperti yang di peruntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

16. Menuntut fasal wajib untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan termasuk mesyuarat, sidang media, kertas kerja dan pembentangan serta meminda Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 bagi mendakwa mana-mana pihak yang tidak menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi.

17. Menuntut semua papantanda jalan/perniagaan/bangunan menggunakan istilah Bahasa Melayu yang di luluskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka serta memberikan kuasa pendakwaan dan penyitaan kepada DBP terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan Bahasa Melayu ini.

18. Menuntut agar semua prosiding di Mahkamah menggunakan Bahasa Melayu dan hanya kebenaran khas ketua Hakim Negara sahaja membolehkan selain dari Bahasa Melayu di gunakan untuk perbicaraan di mahkamah.

19. Menuntut kerajaan tidak lagi meluluskan permohonan dan pembinaan sekolah jenis kebangsaan kerana sekolah vernakular baru selepas Hari Merdeka tidak dibenarkan dalam Perlembagaan.

20. Menuntut sistem persekolahan satu aliran kebangsaan bagi memupuk perpaduan dan keharmonian kaum.

21. Menuntut Perizaban quota berkenaan perkhidmatan awam, biasiswa, keistimewaan pendidikan, latihan, kemudahan khas, lesen, permit perniagaan, perkilangan dan perkhidmatan untuk orang Melayu mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

22. Menuntut agar Dasar Ekonomi Baru di laksanakan kembali dan pemilikan ekuiti 30% Orang Melayu di kembalikan menjadi dasar utama kerajaan dan ditingkatkan kepada 40% pegangan ekuiti individu Melayu dalam kek ekonomi negara menjelang 2040.

23. Menuntut agar sebuah Suruhanjaya Hak Istimewa Melayu ditubuhkan di bawah Parlimen khusus utk menasihati YDPA untuk menjalankan kuasa baginda menurut Perkara 153 Perlembagaan dan memantau pelaksanaan dasar kerajaan sama ada menepati semangat perkara 153 Perlembagaan atau tidak.

24. Menuntut agar Akta Keselamatan Dalam Negeri di kembalikan.

25. Menuntut agar titah Majlis Raja2 berkaitan isu2 Melayu dan Islam diberikan perhatian dan tindakan segera oleh Kerajaan di bawah Perkara 38(3) Perlembagaan Persekutuan.

*Perjuangan ini sudah terlambat untuk kita tetapi masih terlalu awal untuk cicit kita yang belum lahir.

Semoga mereka sentiasa mendoakan rahmat untuk kita Almarhum datuk-datuk dan nenek moyang mereka, Insha-Allah.

Oleh: Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz

No comments:

Post a Comment