Rais Yatim pun mahu Zakir Naik keluar Malaysia
Pemimpin veteran negara, Tan Sri Rais Yatim menyifatkan keadaan negara ini harmoni, namun berubah selepas penceramah kontroversi Zakir Naik hadir menetap di negara ini.
“Sebelum Zakir Naik menetap di sini kita harmonis. Kini kaum (beragama) Hindu pula dikacaunya dengan memperkecilkan mereka.
“Zakir sedang berperanan bahaya batu api,” luah bekas menteri itu di laman Twitter, hari ini.
Zakir, yang dikehendaki oleh kerajaan India atas dakwaan ekstremisme dan pengubahan wang, dilihat sejak akhir-akhir ini mengeluarkan kenyataan kontroversi yang menimbulkan kegusaran masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Tambah Rais, hubungan Malaysia dan India juga “muram” sejak kehadiran penceramah itu ke negara ini.
“Amat baik dia dipulangkan saja ke India. Kerana dia, hubungan Malaysia dan India juga muram.
“Kita ada banyak kerja lain lagi,” ujarnya.
Bangkit isu kontroversi Zakir Naik ke Kabinet
Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran telah membangkitkan tentang kenyataannya Zakir Naik yang menimbulkan kontroversi dalam mesyuarat Kabinet, hari ini.
“Kami sudah menjelaskan pendirian kami iaitu tindakan harus diambil dan Zakir Naik tidak sepatutnya dibenarkan lagi untuk tinggal di Malaysia.
“Perdana Menteri mengambil perhatian terhadap kebimbangan kami. Kami serahkan kepada beliau untuk mempertimbangkan pendirian itu dan untuk menentukan secepat mungkin apa yang akan dilakukan bagi mengatasi masalah berkenaan,” ujar mereka dalam kenyataan, hari ini. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment