Sunday, August 25, 2019

Tanah Melayu Milik Orang Melayu....

Tanah Melayu milik orang Melayu, bukan kaum India, kata NGO
Sebuah badan bukan kerajaan menolak dakwaan Malaysia milik orang India kerana pelbagai fakta sejarah membuktikan ia adalah Tanah Melayu kepunyaan orang Melayu.

“Atas kebaikan dan toleransi, bangsa Melayu telah sanggup berkongsi tempat tinggal dengan bangsa-bangsa lain.

“Tetapi ini tidak bermakna mereka boleh menghapuskan identiti negara dan bangsa Melayu,” kata Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya ketika berucap dalam Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional bertemakan “Ummah Berpakat Islam Berdaulat” hari ini.

Turut hadir bekas ketua polis negara, Musa Hassan dan veteran Umno yang juga bekas speaker Dewan Negara, Abu Zahar Ujang.

Julai tahun lalu, Menteri Sumber Manusia yang juga Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran mencetuskan kontroversi dengan mendakwa penduduk asal di negara ini ialah penganut Hindu, manakala orang Melayu hanyalah pendatang.

Beliau kemudiannya menafikan kenyataannya diputar belit pihak tertentu yang mahu menimbulkan ketegangan kaum dan memohon maaf selepas dikecam pelbagai pihak.

Aminuddin menuntut kerajaan mengembalikan semua hak orang Melayu, termasuk tanah rizab Melayu yang digadai dan pemberian biasiswa.

“Hak mendapat pekerjaan di sektor awam, hak mendapat kemudahan perniagaan, hak untuk dimartabatkan bahasa Melayu, termasuk jawi yang semuanya telah dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan.”

Beliau turut menggesa semua khazanah Melayu dari segi tamadun, sejarah pejuangnya, pendidikan, bahasa dan tulisan, seni serta budayanya dimartabatkan semula.

Katanya, Ummah tidak mahu Malaysia hilang identitinya hanya untuk mengambil hati bangsa lain.

“Kalau orang Cina ada negara Chinanya, orang India ada negara Indianya, maka kenapa orang Melayu mahu dihapuskan negaranya hanya kerana mahu dikenali sebagai negara pelbagai kaum?

“Islam tidak pernah menolak bangsa kerana kewujudan bangsa adalah ciptaan Allah.”

Beliau berkata, Ummah tidak menolak kehadiran bangsa lain di Malaysia, tetapi toleransi tidak boleh membawa kepada kehancuran nilai bangsa sendiri.

“Terbukti, toleransi yang dianggap mampu mendapat sokongan mereka akhirnya tersungkur di bumi sendiri.

“Jika pemimpin Melayu masih tidak sedar akan sejarah pahit ini, maka pasti sejarah akan berulang kembali dan layaklah agama dan bangsa ini lenyap di bumi tercinta ini.” - www.freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment