Wednesday, August 14, 2019

Mana Menteri Pertahanan?

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu perlu segera tampil mempertahankan ribuan anggota tentera yang telah dihina oleh seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, Mohamad perlu berbuat demikian kerana anggota tentera selama ini telah banyak berkorban menjaga keamanan negara.

Beliau turut melahirkan rasa hairan apabila ahli perniagaan itu yang berjaya hasil daripada nikmat keamanan diperolehi melalui pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh mengeluarkan kenyataan yang sangat dangkal.

"Mana ada negara yang anggota tenteranya perlu sentiasa berperang. Pertahanan sesebuah negara adalah perkara yang paling penting dan perlu sentiasa diperkasakan dan bukan hanya dengan berperang semata-mata.

"Dalam soal ini, Mohamad perlu segera tampil dan tegas dalam mempertahankan anggota tentera yang telah dihina ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Yew Yin dalam laman blog kendaliannya menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin dipetik sebagai meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat mereka yang tidak diperlukan.

Antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Tambah Fathul Bari, beliau berharap Mohamad tidak mengambil sikap mengunci mulut dalam isu penghinaan Yew Yin terhadap warga ATM, hanya disebabkan ahli perniagaan itu dikatakan adalah antara penyumbang dana kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

"Kenyataan ahli perniagaan ini telah menggores hati seluruh anggota tentera dan rakyat di negara ini. Jadi Mohamad perlu mengambil tindakan tegas dalam isu ini," katanya.-  utusan online

No comments:

Post a Comment