Friday, August 23, 2019

Tulisan Jawi Produk Bukan Islam Kelirukan Pengguna

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong penuh gesaan melarang penggunaan tulisan Jawi pada bungkusan produk bukan Islam di negara ini.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan pengguna keliru dengan syarikat bukan Islam yang menggunakan tulisan Jawi tersebut.

“Ramai rakan kita yang bukan Islam membantah pendidikan Jawi di peringkat sekolah atas alasan ia merupakan langkah Islamisasi.

“Oleh itu, kita setuju dengan pendapat mereka yang meletakkan tulisan Jawi sebagai identifikasi Islam, maka, produk bukan Islam hendaklah dilarang sama sekali daripada menggunakan tulisan Jawi pada bungkusan, iklan, papan tanda kedai dan apa juga label perniagaan bukan Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) menggesa kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan Jawi pada pembungkusan produk bukan Islam.

Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris berkata, tulisan Jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna kepada status halal sesuatu produk.

Tambah Nadzim lagi, pengguna Islam terutamanya telah lama tertipu dengan teknik pengiklanan, pemasaran dan pembungkusan menggunakan lambang dan tulisan yang sinonim dengan Islam seperti tulisan Jawi, lambang masjid serta nama-nama Islam sebagai jenama produk.

Oleh itu, katanya, sudah tiba masanya untuk membezakan yang mana satu produk Islam dan produk bukan Islam agar pengguna boleh membuat pilihan lebih bijak.

Beliau turut berpendapat, rata-rata syarikat bukan Islam kurang memahami konsep halal dan toyyib sehingga melanggar syarat yang ditetapkan oleh pengeluar sijil itu.

“Mereka sewenang-wenangnya mendapatkan pensijilan halal daripada pihak Jakim dan kemudian melanggar syarat sah halal sehingga banyak kes sijil halal produk dan perkhidmatan mereka ditarik balik.

“Namun begitu, mereka hanya perlu membuat pembetulan dan memohon semula sijil halal. Hakikatnya, kesan daripada produk yang tidak halal itu kekal dan tidak boleh dihapuskan semudah itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim tidak mengambil kira majikan yang tidak membenarkan pekerja solat atau memakai tudung.

“Ada hotel mendapat sijil halal tetapi tidak benarkan pekerja memakai tudung, ia tidak masuk akal kerana halal bukan hanya pada makan dan minum,” katanya. -UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment