Sunday, August 25, 2019

Siapa Itu Melayu Dan Apa Itu Melayu....

Tiada ‘tuan’ di bumi ini, kata aktivis kebudayaan
KUALA LUMPUR: Seorang aktivis kebudayaan berkata, sikap “ketuanan” yang ada pada diri mana-mana pihak harus dibuang kerana ia akan menimbulkan rasa kemangsaan dalam kalangan rakyat.

“Tidak ada tuan di bumi ini. Memang ada budaya dan masyarakat yang asas, tetapi apabila ada pergelutan di antara ‘ketuanan’, maka kita akan melahirkan sikap kemangsaan.

“Ini merupakan satu penyakit dan luka di Malaysia ini,” kata Eddin Khoo, pengasas Pusaka, sebuah pertubuhan kebudayaan yang berusaha mendokumentasi dan menghidupkan kembali seni persembahan dan tradisi kebudayaan tempatan serta serantau.

“Setiap masyarakat menganggap diri mereka sebagai mangsa masyarakat lain,” katanya pada forum “Bicara Kemerdekaan Kedua: Cabaran Membina Malaysia Di Alaf Baru” di sini, hari ini.

Eddin berkata, beliau bimbang keadaan yang wujud akan melahirkan masyarakat yang separuh celik, termasuk mengenai definisi Melayu itu sendiri.

Katanya, berhubung soal mengiktiraf Melayu sebagai budaya asas, soalan yang perlu ditanyakan terlebih dahulu adalah “siapa itu” Melayu dan “apa itu” Melayu.

“Kebanyakan anak Melayu tidak kenal pun apa itu Melayu, selain daripada pengiktirafan perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, sesiapa pun yang bertapak di negara ini adalah menjadi anak bumi ini.

“Apabila kita bergelut, soalan sebenarnya tertumpu kepada isu pergelutan identiti yang semakin keras dan kaku.

“Baru-baru ini kita terperangkap pula dengan pelbagai isu budaya. Daripada jawi, sekolah vernakular, status bahasa Melayu, pengiktirafan UEC dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan daripada masalah pokok yang dihadapi adalah masalah luhur.

“Tetapi kita tidak mempunyai pegangan budaya dan sejarah untuk benar-benar menangani setiap dimensi masalah itu,” katanya. - www.freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment