Tuesday, August 13, 2019

Sekolah Vernakular Penghalang Perpaduan

'Kalau tak rasis, sokong Sekolah Wawasan'
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diketuai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa bertegas dan tidak lagi 'memberi muka' kepada Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) yang disifatkan semakin melampau.

Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad berkata, sejak daripada dahulu, Dong Zong ini sentiasa menekan dalam semua hal dan kerajaan sering kali mengalah dan mengikut kehendak kumpulan pendesak itu.

Dalam masa sama, beliau juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan semula Sekolah Wawasan yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) atau perkara yang mempunyai konsep sama demi keharmonian kaum.

"Saya setuju dengan kenyataan Dr. Mahathir bahawa Dong Zong adalah rasis dan tidak mengambil kira matlamat untuk menjadikan Malaysia dalam keadaan aman dengan masyarakat pelbagai kaum.

"Sejak zaman Barisan Nasional (BN) lagi, saya tidak berapa setuju bila kerajaan asyik mengalah pada kumpulan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Dr. Mahathir dalam nada tegas berkata, persatuan itu tidak pernah menyukai orang Melayu kerana bimbang anak-anak mereka bercampur dengan kaum itu.

Dalam masa sama, sebuah petisyen yang digerakkan bagi mendesak Dong Zong diharamkan telah mendapat lebih 40,000 tandatangan selepas sehari dilancarkan.

Tambah, Nawawi, jika Dong Zong merasakan mereka tidak rasis mereka perlu menyambut baik jika ada sebarang usaha untuk mewujudkan Sekolah Wawasan pada masa depan.- utusan online

No comments:

Post a Comment