PENULIS tertanya-tanya apakah mesej tersirat Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) apabila menentang usaha Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun depan. Kenapa mereka kelam kabut dan resah gelisah sehingga melatah tidak tentu hala biarpun kementerian sudah menjelaskan pengenalan seni tulisan khat bertujuan menerapkan nilai warisan bahasa Melayu, sejajar dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.
Adakah sikap menunjukkan mereka menentang apa sahaja perkara melibatkan orang Melayu? Tulisan khat hanya seni, budaya dan warisan turun temurun. Ia tiada kaitan dengan agama. Kalaulah ada pandangan bahawa pengenalan tulisan Jawi dan khat itu mempunyai kaitan dengan agama, ia bukan sahaja satu pandangan cetek malah hanya hujah orang yang buta sejarah. Sesuatu perkara berkaitan warisan sesuatu kaum tidak harus dikaitkan dengan agama, seperti mana dikatakan oleh sahabat penulis, Firdaus Wong tiada kaitan bahasa Cina dengan agama Buddha.
Penulis tertanya-tanya hujah Dong Jiao Zong bahawa mereka tidak membantah usaha kerajaan melaksanakan interaksi kebudayaan pelbagai kaum dan nilai murni sebaliknya mempersoalkan kaedah kementerian.
Perkataan digunakan ialah, “…melalui kaedah yang menyebabkan kesangsian, was-was dan rasa kurang menyenangkan.’’ Apa maksudnya dengan berkata demikian? Adakah pertubuhan itu tidak faham atau buat-buat tidak faham penjelasan Kementerian Pendidikan berkaitan perkara itu?
Kementerian tersebut membuat keputusan bukan secara semberono atau suka-suka tetapi seperti mana dijelaskan, perancangan pengenalan tulisan khat telah dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak 2014 dan usaha itu juga telah melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar-pakar bahasa dan pendidikan serta kajian rintis di sekolah-sekolah terpilih. Jadi apa masalah Dong Zong, Jiao Zong dan sesetengah pemimpin DAP?
Apakah sesuatu dasar atau pengenalan sesuatu perkara dalam bidang pendidikan perlu mendapat kelulusan pertubuhan itu terlebih sebelum ia boleh dilaksanakan? Hebat sangatkah dua pertubuhan Cina tersebut sehingga segala-galanya seolah-olah perlu dirujuk kepada mereka, kalau tidak mahu ditentang?
Dalam soal ini, penulis teringat gurauan kawan-kawan berasal dari Kedah yang mempersoalkan sikap pertubuhan Cina berkenaan. Antara lain mereka berkata, “yang depa kelam kabut sangat pasai apa, kementerian hanya nak suruh belajar Jawi bukan suruh ‘masuk jawi’.” Dalam loghat Kedah, maksud ‘masuk jawi’ adalah bersunat.
Mungkin gurauan ini nampak kasar tetapi itulah yang boleh disampaikan bagi memberi pemahaman kepada puak-puak yang gelabah tidak tentu hala berikutan pengenalan tulisan Jawi dan khat tersebut. Sepatutnya kedua-dua pertubuhan Cina tersebut memahami sedalam-dalamnya langkah Kementerian Pendidikan berkaitan berkenaan bukannya terus melakukan bantahan yang akhirnya telah menyinggung perasaan orang Melayu.
Walaupun mungkin mereka tidak berhasrat berbuat demikian tetapi sejarah perjalanan pertubuhan berkenaan tidak banyak menyebelahi mereka. Oleh itu adalah lebih baik mereka berhati-hati. Sekarang tidak pasal-pasal mereka dilihat cuba bermain api dan menjolok sarang tebuan.
Hakikatnya, dalam kalangan orang Melayu, mereka sudah bosan dengan sikap melampau sesetengah pihak yang semakin ‘naik tocang’ sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, apatah lagi apabila ada pemimpin Melayu yang berada dalam kerajaan ‘menikus’ dan tidak berani ke depan mempertahankan Kementerian Pendidikan disebabkan memikirkan kepentingan politik.
Oleh itu penulis berharap, kementerian tersebut akan terus bertegas dan tidak akan tunduk kepada sebarang, lagipun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah menegaskan, perancangan itu akan diteruskan.
Ia bukanlah bermaksud mereka tidak berhak memberi pandangan tetapi biarlah bukanlah menjurus kepada menghalang pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dan khat seperti mana dirancangkan. Dan lebih penting lagi jangan bertindak sehingga dilihat dikategorikan ‘cauvinis’ kerana ia tidak akan menguntungkan mereka, sebaliknya boleh mencetuskan suasana tidak selesa dalam negara khususnya berkaitan perpaduan kaum. Bawalah berbincang dan carilah pendekatan terbaik, bukannya dilihat menentang apa sahaja hanya kerana ia ada kaitan dengan orang Melayu.
Penulis percaya, orang Melayu tidak akan duduk diam jika masih ada pihak-pihak yang terus menunjukkan telatah seolah-olah sekarang mereka boleh berbuat apa sahaja, menuntut apa sahaja dan membantah apa sahaja kerana ‘kawan mereka sudah ada kuasa besar dalam kerajaan’.
Kepada orang Melayu pula, apa yang berlaku sekali lagi membuktikan sensitiviti mereka semakin tidak dihormati, akibat perpecahan sesama mereka. Orang Melayu akan terus berhadapan dan dicabar dengan isu-isu seumpama ini selagi mereka tidak menunjukkan kesatuan.
Apapun penulis tetap berharap polemik mengenai tulisan Jawi dan khat ini akan berakhir dengan baik dan tidak sampai memecahbelahkan perpaduan kaum di negara ini. Kementerian Pendidikan sudah pun membuat keputusan dan ia harus dihormati. Adalah sesuatu yang membosankan jika setiap perkara tercetus kontroversi hanya disebabkan ada kelompok dilihat semakin ‘besar kepala’.
Oleh: Zulkiflee Bakar
No comments:
Post a Comment