Wednesday, July 31, 2019

Melihat Keghairahan Chauvinist

Menjadikah tiga pulau jadian?
ADA sahabat saya dalam kalangan pengamal perancangan bandar meramalkan sejak awal lagi bahawa projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang (Penang South Reclamation, PSR) akan menjadi satu isu besar yang perlu ditangani dengan bijaksana oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ramalan mereka nampaknya kini menjadi realiti. Pada 11 Julai lalu, satu demonstrasi oleh sekumpulan 400 orang menolak projek PSR ini berlangsung dekat Tugu Negara, Kuala Lumpur. Mereka berhimpun di situ pada pukul 8 pagi sebelum berarak ke Parlimen dan berhimpun di pintu masuk Parlimen. Setibanya di situ, mereka menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut mereka, proses kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) `bersikap autokratik’ kerana ia mengabaikan bantahan dan pandangan awam. Mereka juga menegaskan bahawa gambaran `penerimaan’ oleh segelintir nelayan terhadap projek PSR itu adalah sebenarnya daripada kelompok nelayan `yang sudah bersara dan separuh masa’, sedangkan projek berkenaan akan menjejaskan 10,000 nelayan sepenuh masa.

BOM JANGKA

Selain itu, mereka juga menyatakan bahawa aktiviti mengorek pasir di Perak untuk maksud projek tambak laut di Pulau Pinang itu merupakan `satu bom jangka’ yang akan menghakis pantai negeri itu. Turut hadir dalam demonstrasi itu Mansor Yusof, pengerusi Persatuan Nelayan Perak dan Nazri Ahmad, pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang.

Perdana Menteri dilaporkan berjanji akan meneliti memorandum bantahan tersebut. Beliau menambah bahawa andainya dakwaan yang dinyatakan oleh kumpulan itu berasas, kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan sewajarnya. Pada 13 Julai lalu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertemu lebih 200 orang (terdiri daripada nelayan, penduduk dan ahli pertubuhan bukan kerajaan) di Jeti Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang bagi mendengar masalah sebenar.

Minggu lalu (16 Julai), Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyatakan bahawa beliau telah menerima permintaan daripada Anwar untuk mengatur satu sesi taklimat yang lebih menyeluruh mengenai PSR. Kon Yeow berjanji satu sesi taklimat khusus bersama Anwar akan diatur dalam masa terdekat.

PROJEK PSR
Projek tambak laut PSR melibatkan kerja tebus guna seluas 1,821.085 hektar kawasan laut di bahagian selatan Pulau Pinang. Matlamat utama projek mega ini adalah membina tiga pulau jadian (artificial islands) dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut. Mengikut portal https://anilnetto.com/ tiga pulau jadian itu mempunyai keluasan seperti berikut - pulau A (2,300 ekar), pulau B (1,400 ekar) dan pulau C (800 ekar).

Bila siap dilaksanakan nanti, projek ini (yang dijangka mengambil masa antara 30 hingga 50 tahun) akan mewujudkan bank tanah yang bernilai tinggi, cukup untuk membiayai projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Jabatan Alam Sekitar khabarnya telah meluluskan laporan EIA projek ini pada 4 Julai 2019 lalu.

Dalam risalah kecilnya setebal 20 halaman bertajuk “Kesan-kesan penambakan laut di Malaysia” (kini ada dalam talian), Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyatakan bahawa projek mega PSR ini “jelas akan menyebabkan pemusnahan alam semula jadi, menjejaskan sektor perikanan dan sumber pendapatan rakyat yang bergantung kepada sektor perikanan.”

Sambil mengingatkan kerajaan bahawa sektor perikanan merupakan sumber pendapatan beribu-ribu orang selain menjamin sekuriti makanan kita, badan NGO itu menggesa agar sektor ini tidak “dikorbankan oleh Kerajaan untuk suatu pembangunan yang tidak diperlukan”. Ketika melancarkan risalah kecil itu pada 27 Februari 2019 lalu, presiden SAM (S.M. Mohamed Idris yang meninggal dunia pada 17 Mei 2019 lalu) menggesa kerajaan supaya membatalkan semua projek tambak laut di negara ini.

KESAN BURUK
Pada Mei lalu, akhbar ini ada menyatakan bahawa projek PSR di Pulau Pinang ini akan mendatangkan kesan buruk kepada Perak. Mengikut Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin, aktiviti perlombongan pasir laut akan berlaku sehingga ke kawasan pesisir pantai Perak, menyebabkan berlakunya kawah besar di dasar laut yang akhirnya akan mengakibatkan hidupan marin pupus selain menjejaskan kehidupan lebih 6,000 nelayan di kawasan Tanjung Piandang sehingga ke Manjong, Perak.

Tambah Hafizudin lagi, kewujudan tiga buah pulau jadian itu boleh mengubah haluan ombak dan akibatnya kawasan pantai Tanjung Piandang di Perak dan Nibong Tebal akan terhakis. Tanjung Piandang dan Nibong Tebal adalah kawasan yang kaya dengan paya bakau. Disebabkan perubahan ombak itu, hakisan akan berlaku di kawasan paya bakau dan ini akan menyebabkan “udang, kerang dan habitat di paya bakau akan musnah sehingga mendatangkan kesan buruk kepada masa depan kita”. (“Utara Perak akan turut terjejas akibat tambak laut”, Utusan Malaysia, 20 Mei 2019).

PETISYEN
Pada 10 Mei lalu, kumpulan NGO Penang Forum mengambil inisiatif memulakan satu petisyen di talian menggesa kerajaan pusat campur tangan untuk membatalkan projek mega ini. Bercakap bagi pihak kumpulan itu, Khoo Salma Nasution berkata, ketiadaan konsultasi awam dan maklumat yang terperinci mengenai projek mega ini (yang akan menghasilkan satu kawasan yang sama besarnya dengan Forest City di Johor) telah menimbulkan keresahan beberapa pihak yang akan terkesan olehnya.

Tempias projek mega ini akan dialami bukan hanya oleh 4,817 nelayan tempatan di Pulau Pinang, bahkan juga 6,080 nelayan di Perak. Berucap bagi pihak warga nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata “Laut adalah sumber kehidupan kita. Hormatilah hak kita”.

Bercakap bagi pihak Penang Forum, Khoo berkata “Malaysia tidak perlu ada satu lagi Forest City”.

Sukar bagi kita meramalkan sama ada projek mega tambak laut ini akan akhirnya dapat diteruskan atau akan dibatalkan. Sementara itu, soalnya apakah wajar satu referendum diadakan supaya semua warga Malaysia diberi peluang untuk sama-sama menentukan jawapannya?

Oleh: Datuk Salleh Buang 

No comments:

Post a Comment