KRISIS politik dalam kalangan orang Melayu adalah sesuatu yang membimbangkan. Sejarah UMNO dan Pas sentiasa berdepan dengan konflik dan perpecahan. Perpecahan itu akhirnya berhujung. UMNO dan Pas kembali semula kuat dan ahli-ahlinya bersatu.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) walaupun ada pasang surutnya masih tetap menjadi kerajaan yang memerintah. Orang Melayu masih memikirkan soal kuasa dan negara. Pas walaupun bersama dengan pakatan pembangkang masih belum lagi menguasai Putrajaya. Lebih-lebih lagi Pas sedang menghadapi krisis dengan komponen Pakatan Rakyat dan krisis dalaman, muncul pula kecenderungan ahlinya menubuhkan parti baharu dalam kalangan mereka yang kalah dalam pemilihan Muktamar Pas baru-baru ini.
Bila UMNO menghadapi cabaran akhir-akhir ini dikatakan defisit sokongan terjadi. Ada beza antara persepsi awam dan kelompok yang memang diketahui anti UMNO dan kerajaan dengan kelompok majoriti yang masih bertahan mendukung kerajaan. Penyusunan semula Kabinet dan pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dilihat dalam berbagai perspektif dan andaian kemungkinan.
Pertama ia adalah prerogatif atau bidang kuasa Perdana Menteri yang mengambil keputusan yang kontroversi. Kedua, rentetan daripadanya mungkin berlaku konflik dalam UMNO sekiranya usaha menyantuninya tidak terjadi.
Perpecahan yang berlaku dalam Pas menggerakkan DAP merangsang penubuhan parti baharu bersumber dari Gerakan Harapan Baru (GHB) dan menonjolkan Mohamad Sabu sebagai tokoh utamanya. DAP bersungguh-sungguh melakukan ini kerana ingin menggantikan Pas dalam pakatan baharu yang bakal ditubuhkan. Ini mungkin memberi kesan politik umat Melayu masa depan.
Kemelut yang sedang berlaku dalam UMNO kini menuntut pendekatan bijaksana jangan sampai perpecahan terjadi dan menyebabkan UMNO lemah dan menghadapi defisit sokongan dan sukar menghadapi situsai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Politik Malaysia amat memerlukan kekuatan orang Melayu menguasai kerajaan. DAP dengan Impian Malaysianya melakukan strategi pecah-perintah ini dengan terancang dan ada orang Melayu dan generasi muda yang mula terpikat dengan cita-cita DAP menguasai Malaysia menerusi Sekolah Demokrasi yang ditubuhkan untuk merekrut pelajar-pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT).
UMNO dan Pas menyedari apa yang sedang berlaku. Tentangan UMNO terhadap cita-cita DAP itu disedari sejak awal penubuhan parti itu kerana menyedari semangat PAP ada dalam roh perjuangan Malaysian Malaysia DAP. Pas semakin faham bahawa DAP dalam Pakatan Rakyat menjadi faktor penentu dalam gagasan pembangkang dan berusaha menjatuhkan imej Pas.
Tetapi bagaimana UMNO dan Pas dengan jiwa besar mampu menyantuni situasi ini dengan perancangan yang bijak dan strategi yang berhemah supaya penubuhan parti baharu serpihan Pas tidak sampai menyebabkan Pas hilang sokongan dan kemelut yang sedang terjadi dalam UMNO jangan sampai membawa perpecahan.
Kehilangan sokongan terhadap Pas dalam peringkat kepimpinan kelompok serpihan dan juga akar umbi serta dukungan orang bukan Islam adalah cabaran utama bagi Pas menghadapi PRU-14 nanti. Perpecahan sekiranya berlaku dalam UMNO boleh melemahkan parti itu dan BN.
Malapetaka kehilangan kuasa boleh terjadi. Peristiwa ini sedang ditunggu oleh DAP kerana DAP hanya boleh menang dengan menggunakan orang Melayu sebagai faktor utama dan krisis serta kemelut yang sedang berlaku dalam Pas dan UMNO kini menjadi sebab penting ia boleh terjadi.
Sekiranya Pas melakukan kerjasama dengan UMNO selepas selesai kemelut, ia menjadi hujah kuat golongan serpihan yang anti UMNO memperkukuh momentum dan menarik pihak yang benci UMNO menyokong mereka. Pas tidak boleh berdiri sendiri selepas keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya nasib orang Melayu ingin diselamatkan. Pas kena ada perkiraan politik praktis di samping jiwa tawakal yang tinggi bagi menyelamatkan kekuatan umat Melayu.
Oleh itu, UMNO harus mampu menyelesaikan kemelut yang ada dengan baik dan bijaksana dan Pas harus mampu menghalang ahli partinya berhijrah ke parti baharu supaya UMNO mempunyai dukungan yang baik untuk menghadapi PRU 14 dan Pas berada dalam posisi yang baik juga untuk melakukan lonjakan.
Kuasa politik orang Melayu di Malaysia amat penting dipertahankan. Jalannya di tengah-tengah krisis dan kemelut tidak mudah. Penggerak politik Melayu harus menginsafi sekali kuasa politik itu hilang kesannya amat besar kepada orang Melayu dan untuk mendapatnya kembali amat sukar kerana strategi DAP itu sedang mendapat dukungan orang Melayu. Apa yang telah berlaku di Singapura dan sedang berlaku di Pulau Pinang adalah bukti nyata yang boleh berlaku bagi Malaysia juga. Minta dijauhkan Allah ia terjadi. - Dari Jendela To'ki
No comments:
Post a Comment