Kita kerap mendengar harapan, keinginan, rintihan dan rungutan orang di sekeliling kita, yang mahukan kehidupan yang bahagia, sama atau lebih seperti orang yang mereka labelkan sebagai orang yang bahagia. Sedangkan tanpa kita sedari kita telah pun memiliki kebahagiaan itu. Selagi kita membandingkan pencapaian dengan orang lain, selagi itulah kita tidak akan dapat menikmati erti bahagia yang sebenar.
Kita lupa atau tidak perasan, kebahagiaan sebenarnya sudah ada dalam diri kita. Tetapi, kerana kita memandang remeh tentang perkara kecil yang berlaku ke atas kita, atau apa-apa yang telah dimiliki kita rasakan tidak bernilai kerana ia terlalu sedikit jika dibandingkan dengan orang lain, maka kita beranggapan kita tidak pernah mengecap kebahagiaan hidup. Oleh sebab itu untuk bahagia, pastikan kita tidak membuat perbandingan dan mempertikaikan apa yang kita tidak ada. Sebaliknya mensyukuri apa yang kita ada, kerana mungkin yang kita ada itulah yang tidak dimiliki dan sangat diperlukan oleh orang lain.
Kebahagiaan itu datang apabila kita sentiasa bersyukur, tidak mengeluh, tidak merungut, tidak mengumpat, mencaci, tidak mempertikaikan, tidak menyalahkan diri sendiri dan tidak menyalahkan orang lain yang menyebabkan kita tidak bahagia. Didiklah jiwa dan minda kita, menghargai apa yang sedang kita ada, dan dapat membuatkan kita berasa senang, tenang, dan jauh daripada tekanan hidup. Berusahalah menjadi manusia dan hamba-Nya yang baik kerana itulah sumber ketenangan dan kebahagiaan.
Kebaikan dalam Islam adalah, keimanan, ketakwaan, ilmu dan keihsanan. Sentiasa memberi dengan niat ikhlas kerana Allah untuk mendapat reda-Nya. Kita akan benar-benar bahagia apabila kita berjaya mencapai matlamat utama dalam hidup kita, iaitu sebagai seorang mukmin, yang kita harapkan hanyalah balasan baik daripada Allah SWT terutamanya kita hendakkan, sakratulmaut yang indah, mengharapkan taman syurga, buku timbangan di belah kanan, dan mudah melalui titian siratulmustakim.
Formula pemikiran "Reset Minda" yang disyorkan menjadi amalan untuk mencapai hidup bahagia dan membahagiakan adalah “MUDAHNYA ADA – BERI – DAPAT BAHAGIA”. Formula ini bermula dengan pertama, kita (sebagai seorang pekerja, pelajar, suri rumah, suami, isteri dan sebagainya) kena mengakui bahawa, kita bahagia dengan apa yang kita (ada) dengan rasa penuh kesyukuran. Bagi memastikan kita berasa bahagia dengan diri kita sendiri, pastikan kita melakukan perkara-perkara berikut (muhasabah diri dan mengurus diri) dari segi nilai dan pencapaian akidah, ibadah, dan akhlak kita. Hal ini adalah kerana kita akan bahagia jika dari segi ibadah, kita diberi peluang beribadah dan mempraktikkan agama tanpa batasan, dapat melalui hidup seharian dengan sihat dan selamat, dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga, suami/isteri, anak-anak dan sahabat dalam suasana harmoni.
Kedua, kita berasa bahagia dengan apa yang kita (beri). Setiap hari fikirkan dan niatkan (beri) seberapa banyak manfaat kepada orang sebagai tanda kita bersyukur. Pemberian itu tidak semestinya dalam bentuk wang semata-mata, kalau kita tidak cukup wang ringgit atau harta benda, mungkin kita boleh beri sumbangan tenaga, akal, idea, pandangan dan sokongan kita kepada orang sekeliling. Ingatlah, jangan bersaing tetapi bekerjasama, dan jangan tamak membolot semua tetapi berkongsi dengan niat laksanakan amalan sedekah.
Ketiga, kita akan bahagia dengan apa yang kita (dapat). Renung dan audit diri sebelum tidur apa yang telah kita (dapat) sepanjang hari dalam hidup kita. Dengan melakukan audit dan muhasabah diri, kita akan sentiasa bersyukur terhadap apa-apa yang kita (dapat), sama ada ia sesuatu yang positif atau negatif. Misalnya pujian, dengan konsep sentiasa bersyukur pujian itu tidak membuatkan kita berasa cepat berpuas hati dengan apa yang kita dapat dan tidak berasa sombong, ego dan bongkak dengan apa yang kita ada.
Kesimpulannya, syarat untuk mendapat bahagia pertama, berdoa supaya Allah jadikan kita orang yang bersyukur dengan fokus apa yang kita ada bukan apa yang kita tidak ada dan membandingkan dengan orang lain. Kedua, berdoa supaya Allah kurniakan sifat ikhlas, hingga kita tidak nampak pun penghargaan manusia dan kita tidak mengharapkan balasan manusia. Kita akan tenang dan bahagia jika kita melakukan sesuatu tanpa syarat. Ketiga, doakan kita mendapat sifat tawaduk, rendah hati serta tidak berasa diri kita hebat dan memiliki segala-galanya, yang membuatkan kita mampu mendapat segala bentuk kebahagiaan hidup.
Keempat, berdoa supaya Allah beri kita ketakwaan. Iaitu kita menjadi orang yang buat apa yang disuruh dan tinggal yang dilarang oleh Allah SWT. Hanya orang yang bertakwa akan mendapat jaminan hidup bahagia hingga akhirat. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.
Sumber : Jom Audit
No comments:
Post a Comment