Sunday, August 9, 2015

Kisah SPRM....!

SPRM, Rakyat Bersama Anda
Tragedi yang berlaku kepada SPRM di mana beberapa pegawai-pegawai yang menyiasat kes profil tinggi syarikat SRC International ditahan oleh polis hingga melumpuhkan siasatan tidak boleh dipandang ringan.

Tidak cukup itu ditambah pula dengan tindakan menukar dua pegawai kanan yang mengendalikan kes tersebut ke Jabatan Perdana Menteri (JPM). 

Ia memperlihatkan satu tindakan terdesak, panik, tidak ada strategi dan seterusnya memberikan gambaran tentang wujudnya "dalang" dan tangan-tangan ghaib membantutkan siasatan yang telah memakan masa yang lama. Adakah penukaran Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohamad Zin yang bersumpah untuk mencari dalang hingga ke lubang cacing suatu kebetulan? 

Banyak sangatkah "kebetulan" hingga pegawai kanan yang hendak dikeluarkan dari SPRM pun "kebetulan" yang mengepalai siasatan ke atas SRC? Tetapi semacam bukan kebetulan apabila Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shukri Abdull lantang mendesak JPM memulangkan pegawai kanannya kerana dia sendiri yang bertanggungjawab memberikan arahan kepada mereka. Kebetulankah itu? 

Kalaupun pertukaran perlu dilakukan, kenapa tidak menunggu Bahri menyelesaikan siasatannya? Daripada ini kita boleh membuat kesimpulan bahawa Bahri sangat "bernilai" untuk disenyapkan. 

Serang hendap yang bertalu-talu terhadap SPRM sebuah badan yang sepatutnya bebas, telus dan profesional sebagaimana yang termaktub dalam Akta SPRM 2009 telah memberikan isyarat wujudnya "tangan ghaib" ke atas SPRM. Ini membina persepsi mungkin hasil siasatan tidak begitu "menggembirakan". 

Kepada warga SPRM, kerja mulia dan pengorbanan anda, kami rakyat marhaen yang disangka dungu ini sentiasa menyanjunginya. Walaupun kami ini marhaen dan tidak ada kuasa tetapi tidak mudah ditipu atau tertipu. 

Kami juga tahu bahawa jihad menentang rasuah bukan mudah kerana rasuah telah mendarahdaging dalam kalangan sesetengah kita. Kerana itu, jangan biarkan. Carilah hingga ke lubang cacing. Semoga Allah menyelamatkan tuan-tuan yang budiman. -Anekdot Ahad

SPRM vs polis
Ketegangan hubungan antara Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi isu paling panas diperkatakan sekarang.

SPRM mendakwa penahanan beberapa pegawainya sebagai cubaan mengganggu siasatan terhadap kes 1Malaysia Development (1MDB) sementara polis menegaskan ia bagi menangani kes kebocoran maklumat dokumen rasmi.

Setakat hari ini, sentimen orang ramai lebih memihak kepada SPRM tetapi hal seperti ini tidak mengejutkan Awang.

Begitu juga keadaannya di Indonesia yang kerap menyaksikan perbalahan antara Komuniti Pencegah Korupsi (KPK) dan Polis Republik Indonesia (POLRI). Masyarakat di sana juga menyokong KPK.

Dalam konteks sejarah hubungan SPRM dan Polis, belum pernah berlaku situasi sebagaimana sekarang. Kini, gelombang kemarahan SPRM sudah sampai mesejnya kepada semua pihak. Pada masa yang sama, Awang yakin dengan jaminan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bahawa tidak timbul soal polis mengganggu siasatan SPRM (badan bebas, telus dan profesional seperti termaktub dalam Akta SPRM 2009).

Para pegawai SPRM yang diakui komited memerangi rasuah dan salahguna kuasa, juga harus menerima hakikat peranan polis.

Kebocoran maklumat menjadi ancaman besar kepada negara dan polis berhak melaksanakan tanggungjawab mereka biarpun perlu menyoal dan menahan pegawai SPRM. Sesiapa pun tidak terkecuali. Kepentingan keselamatan negara mengatasi segala-galanya. Di banyak negara terutama China, tiada kompromi dalam perbuatan membocorkan maklumat dan dokumen rasmi yang hukumannya amat berat.

Awang berharap kemelut SPRM dan polis dapat diselesaikan segera. Kedua-dua institusi penting negara itu perlu terus dihormati dan diyakini, bukannya sebaliknya. Khalid dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed boleh merintis kepada pemulihan hubungan dengan mengambil semangat bulan Syawal. Buang yang keruh, ambil yang jernih.-Awang Selamat

Polis siasat anggota SPRM perkara biasa
Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan satu kelaziman kerana prosedur sama turut dilakukan ke atas pegawai agensi lain.

Pengerusi Yayasan Antirasuah Kelantan, Datuk Wan Rosdi Mat Rasik berkata, semua pihak sepatutnya memandang perkara tersebut sebagai sesuatu yang positif bagi memastikan pegawai SPRM bersih daripada sebarang gejala salah laku.

Katanya, hal ini kerana SPRM merupakan satu badan khas yang ditubuhkan bagi mengawal selia dan mencegah kegiatan rasuah yang berlaku di negara ini dan sebarang penyelewengan atau salah laku dalam agensi itu perlu dibanteras.

“Hal-hal yang membabitkan integriti seseorang penjawat awam perlu dititikberatkan SPRM bagi memastikan siasatan yang telus dapat dilakukan terutama yang melibatkan dokumen-dokumen rasmi kerajaan dan perbankan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam memberi jaminan tiada tindakan lanjut akan dikenakan ke atas pegawai SPRM yang diambil keterangan berhubung kebocoran maklumat dokumen rasmi kerajaan.

Menurut Ahmad Zahid, PDRM hanya mahu mendapatkan keterangan daripada beberapa pegawai terbabit mengenai kebocoran maklumat di media sosial.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdi berkata, tindakan memindahkan pegawai-pegawai SPRM ke jabatan dan agensi kerajaan lain bakal memberikan nafas baharu kepada badan siasatan tersebut.- www.utusan.com.my

PPPR tuntut dua pegawai SPRM dikembalikan semula
Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) menuntut dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategiknya, Datuk Rohaizad Yaakob dikembalikan semula kepada badan tersebut dengan serta merta.

Pengerusinya, Tan Sri Johan Jaafar berkata, ini bagi membolehkan dua pegawai kanan itu meneruskan tugas masing-masing di SPRM.

Katanya, pihaknya percaya pertukaran itu akan meningkatkan lagi suasana tegang seperti yang berlaku ketika ini sekiranya tiada tindakan untuk menangani situasi itu dilakukan secepat mungkin.

“PPPR terkejut dengan tindakan yang diambil ke atas dua pegawai kanan SPRM semalam. Malah, pertukaran itu juga akan mencetuskan lebih banyak persoalan berbanding jawapan yang sekali gus akan mewujudkan syak wasangka dan teori konspirasi.

“Sehubungan itu, PPPR menuntut dua pegawai kanan itu dikembalikan semula dengan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Johan, panel itu turut menyokong saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu sebarang bentuk diskriminasi dan tindakan terhadap pegawai kanan SPRM dihentikan.

Selain itu, Johan turut memuji pendirian Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdul yang menawarkan diri sebagai pengganti pertukaran kepada dua pegawai kanan itu yang hanya bertindak atas arahannya.

“Meskipun, PPPR berpendapat pendirian Mohd. Shukri ini sesuatu yang terhormat tetapi tidak perlu sama sekali,” katanya.-www.utusan.com.my

DAP menangguk
Seperti yang dijangka, DAP bersama PKR dan Gerakan Harapan Baru atau GHB (kumpulan serpihan yang ditolak oleh akar umbi Pas) bertindak cepat menangguk di air keruh dalam isu siasatan polis ke atas beberapa pegawai SPRM.

Kalau selama ini, DAP banyak menghina dan mentohmah SPRM terutama dalam kes kematian Teoh Beng Hock, kali ini mempertahankannya.

Hanya disebabkan siasatan SPRM melibatkan pemimpin kerajaan maka parti itu tanpa rasa malu mahu berbaik dengan SPRM sambil menyerlahkan sekali lagi siapa sebenarnya musang berbulu ayam.

Sebab itu Awang senyum lebih-lebih lagi melihat gambar penasihat DAP, Lim Kit Siang di pejabat SPRM di Putrajaya.

Cuma agak hairan mengapa SPRM dalam situasi yang panas membenarkan delegasi pembangkang masuk ke bangunan dan berdialog.

Seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan pegawai tertentu dan ia mengundang pelbagai tafsiran termasuk dilihat "cuba bermain politik".

Memandangkan Kit Siang mahu jadi hero, Awang berharap DAP setuju untuk telus dalam soal mendedahkan sumber dana politik.

Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak telah menyatakan komitmen Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat untuk berbuat demikian, mengapa DAP masih enggan. Jika benar-benar mahu membuktikan integriti, tidak perlu takut melainkan memang terlalu banyak yang mahu disembunyikan.-Awang Selamat

No comments:

Post a Comment