Hapuskan DEB?
AKHBAR China Press bertarikh 18 Ogos 2015 menyiarkan artikel yang menyorot kembali polisi Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang pernah dipertikaikan oleh pembangkang.Artikel ditulis oleh Lai Shao Kwang bertajuk ‘Tidak boleh hapuskan DEB’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15. Berkaitan isu itu, DAP ditanya tentang pendirian mereka. Malah penulis secara menyindir juga bertanyakan sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mencadangkan untuk menghapuskan DEB sebelum beliau disumbat ke dalam penjara.
Sebelum 2008, Pakatan Rakyat (PR) diketuai Anwar pernah mempertikaikan polisi DEB yang memberi keadilan kepada rakyat khususnya masyarakat Cina. Isu ini juga telah dibahaskan dalam sidang-sidang dewan. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum dan pakatan pembangkang dapat kuasa memerintah di beberapa buah negeri, isu DEB yang diperjuangkan oleh ‘pahlawan-pahlawan’ yang dikatakan penyelamat bangsa ini, semakin pudar.
Mereka tidak lagi berteriak untuk berbincang sama ada hendak menghapuskan polisi DEB ataupun tidak. Penulis mewakili pengundi juga tertanya-tanya sekiranya isu berkenaan sudah tidak penting lagi atau PR seboleh-bolehnya tidak mahu menyebut atau menyentuh perkara itu lagi.
Pada 2012, menerusi ‘buku’ dicetak PR yang menggantikan Laporan Bajet, Anwar mengkritik keras polisi DEB yang disifatkan beliau sebagai polisi lapuk. Lim Kit Siang juga pernah meminta Tun Abdullah Ahmad Badawi agar membincangkan isu DEB dalam Perhimpunan Agung UMNO ketika itu. Polisi DEB, katanya, tidak adil melainkan dibuat semata-mata untuk kepentingan parti pemerintah dan orang politik sahaja.
Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan think tank kerajaan Pulau Pinang, Dr. Ong Kim Fat dalam artikelnya menyebut polisi DEB pada hakikatnya tiada kaitan dengan sesuatu kaum kerana orang Melayu Islam sendiri tidak dilayan dengan adil.
Katanya lagi, polisi DEB tidak dapat membantu orang Melayu yang benar-benar hidup susah selain tidak mampu membina semangat kaum Bumiputera itu untuk berjuang. Buktinya, kaum itu masih belum dapat bersaing biarpun kerajaan sudah menghulurkan bantuan.
Kembali kepada persoalan penulis, apakah perjuangan DAP untuk menghapuskan polisi DEB masih relevan dan bertepatan ketika ini? Hakikatnya, bukan senang DAP dapat memerintah Pulau Pinang, justeru Guan Eng diminta tidak terus terperangkap dengan perjuangan itu.
Malah Ong Kim Fat dan Liew Chin Tong mencadangkan agar PR merangka strategi yang lebih jelas menggantikan sistem sedia ada demi survival parti, sekurang-kurangnya strategi yang dapat mengimbangi kepentingan pemimpin PR pada masa depan.
Walaupun kunci kuasa sudah ada di tangan, namun DAP masih tidak mampu menghalang hasrat Pas mahu melaksanakan hukum hudud, justeru kenapa pula mahu membantah DEB habis-habisan?
Sumber : utusan malaysia
No comments:
Post a Comment