Sekali lagi kerajaan DAP Pulau Pinang melakukan provokasi dalam soal sambutan Hari Kebangsaan ke-58. Pendirian kerajaan negeri untuk menggunakan tema berlainan daripada Sehati Sejiwa, sesuatu yang menjijikkan. Apatah lagi memilih tema Bersih yang ada kaitan dengan rancangan perhimpunan haram tidak lama lagi, sebelum menukar kepada Bersih, Cekap dan Amanah selepas mendapat bantahan ramai.
Masih segar dalam ingatan Awang bagaimana suatu ketika dulu DAP memperlekehkan slogan Bersih, Cekap dan Amanah di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad. Nampaknya kini pemimpin DAP sudah "insaf" atau bagai menjilat ludah sendiri dengan mahu mengangkat slogan itu menjadi tema sambutan.
Awang sebut menjijikkan kerana DAP keterlaluan dalam berpolitik. Tema sambutan Hari Kebangsaan sepatutnya dikongsi bersama oleh semua kerajaan negeri tidak kira dikuasai parti mana. Itulah amalan dan konvensyen di seluruh dunia, semua parti politik menjunjung Hari Kebangsaan negara masingmasing sebagai simbol patriotisme dan kedaulatan. Tidak timbul sama sekali menggunakan tema berasingan walaupun di wilayah autonomi. Berbeza kerajaan negeri Pulau ini, yang sejak 2012 menggunakan temanya sendiri.
Ternyata Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah memberi mesej yang salah kepada rakyat Malaysia. Sama ada disengajakan atau tidak dengan niat tertentu, Awang tidak pasti. Apakah ini juga satu lagi petunjuk ke arah membawa Pulau Pinang keluar daripada Malaysia dan setapak lagi keyakinan DAP menuju impian agar tanah air ini menjadi negara republik? Awang tiada jawapan. Yang pasti negeri itu masih di bawah Malaysia dan Guan Eng hanya Ketua Menteri (bukan menjadi Perdana Menteri). Selagi itu realitinya, berpeganglah kepada pepatah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Buruh asing yang baharu tiga bulan membanting tulang di bumi bertuah ini, pun faham maksudnya.
No comments:
Post a Comment