nuffnang

Friday, August 7, 2015

Hang Tuah Bukan Kisah Dongeng

KUALA LUMPUR –Sepasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemukan tiga sumber utama untuk membuktikan kewujudan pahlawan Melaka, Laksamana Hang Tuah sebagai satu sejarah dan bukannya kisah dongeng.

Pensyarah Fakulti Bahasa Mo­den dan Komunikasi UPM, Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa berkata, tiga sumber tersebut terdiri daripada satu dokumen dan satu artifak yang diterima daripada kerajaan Ryukyu serta satu dokumen dari Portugal.

Katanya, dua dokumen tersebut merupakan dokumen rasmi kerajaan Ryukyu, Rekidai Hoan, yang mencatatkan hubungan kerajaan bebas itu dengan Korea dan negara-negara Asia Tenggara serta catatan pengembaraan Alfonso de Albuquerque yang diterbitkan pada 1774.

“Menurut Rekidai Hoan, hubungan antara Melaka dan Ryukyu terjalin sejak abad ke-15 dan dibuktikan dengan penghantaran 10 surat yang melibatkan kedua-dua kerajaan dan salah satu daripada surat berkenaan dihantar sendiri oleh Hang Tuah. Ini termasuklah penghantaran keris berluk sembilan sebagai tanda hubungan erat kedua-dua negara.

“Catatan Albuquerque turut menerangkan mengenai Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka. Sewaktu Portugis menawan Melaka, mereka cuba memujuk Hang Tuah yang ketika itu lari ke Singapura untuk berkhidmat bersama penjajah itu, namun gagal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengisytiharkan kewujudan Hang Tuah dalam sejarah negara, di sini hari ini.

Yang turut hadir Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Madya Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dan pensyarah kanannya, Dr. Rohaidah Kamaruddin.

Hashim Musa (tengah) bersama Rohaidah Kamaruddin (kiri) dan Abdul Muati @ Zamri Ahmad berbincang sesuatu berkenaan bukti sahih Hang Tuah benar wujud di Universiti Putra Malaysia, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Hashim berkata, sumber utama yang diperoleh itu sudah cukup untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah sewaktu era Kesultanan Melayu Melaka.

Katanya, perihal mengenai Hang Tuah dalam catatan Albuquerque cukup jelas dinyatakan termasuklah umur pahlawan Melayu itu yang berusia sekitar 80-an ketika meninggalkan Melaka.

“Hang Tuah disifatkan sebagai Laksamana yang mempunyai reputasi baik, handal, taat, berpengetahuan, berani dan pantang berundur. Semua ciri tersebut cukup untuk melambangkan pahlawan Melayu,” katanya.

Sementara itu, Abdul Mua’ti berkata, penemuan keris berluk sembilan tanpa hulu dan sarung di pekarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu berhampiran Istana Shuriji itu merupakan satu bukti kukuh hubungan terjalin antara Melaka dan negara tersebut.

“Keris tersebut dijumpai di dasar laut dan mempunyai sembilan luk yang lazimnya dihadiahkan Kesultanan Melaka kepada kerajaan lain. Ini kerana keris yang luknya kurang daripada sembilan kebiasaannya dihadiahkan kepada individu ter­tentu,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment