Saturday, August 22, 2015

Suami Penentu Hala Tuju Keluarga

Menjadi penghuni syurga atau sebaliknya
SUAMI gelaran yang mudah disebut dan pastinya diimpikan oleh setiap lelaki, namun tanggungjawab untuk menjadi ketua dalam rumahtangga itu tidaklah semudah disangka.

Bukan sahaja perlu memikirkan hal dalam rumah tangga, malah lebih daripada itu kerana suami juga yang menentukan hala tuju ahli keluarga sama ada bakal menghuni syurga atau menerima azab neraka di akhirat kelak.

Ini kerana, institusi keluarga yang terdiri daripada anak-anak dan isteri merupakan anugerah dan amanah daripada Allah SWT terhadap suami dalam membentuk peribadi mereka untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat kelak.

Ia sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang kasar, bengis (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah terhadap setiap perkara yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap (setia) melaksanakan segala yang diperintahkan.” (al-Tahrim: 6)

Oleh itu, sebagai seorang suami dan bapa, ilmu, daya tahan iman yang utuh, stamina amal yang teguh, kemahiran dan kesabaran dalam mendidik merupakan aspek terpenting dalam membawa keluarga kepada haluan lebih baik.

Terdapat tiga perkara yang perlu diambil kira oleh ketua keluarga iaitu memberikan pendidikan dan tarbiah Islam kepada anggota keluarga; menjaga dan memelihara anak dan isteri serta menghidupkan budaya syariat Islam dalam rumah tangga.

ILMU DAN TARBIAH ISLAM
Peredaran semasa menjadikan dunia semakin berkembang maju dan pastinya zaman seorang bapa adalah berbeza dengan kehidupan anak-anak. Inilah yang perlu dititikberatkan oleh seorang bapa dalam mendidik anak-anak dengan menyediakan ilmu pengetahuan duniawi kepada isteri dan anak-anak, malah dalam masa sama perlu turut menguasai perkembangan ilmu tersebut.

Dalam mengejar ilmu dunia, ilmu akhirat tidak boleh dilupakan tetapi perlu diseimbangkan. Mendidik anak-anak dan isteri menguasai pelbagai ilmu agama juga merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dipandang remeh oleh seorang suami.

Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia”, (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikit pun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami dari azab neraka”. Mereka itulah yang akan mendapat kebaikan yang baik daripada apa yang telah mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.” (al-Baqarah: 200-202)

MEMELIHARA KELUARGA
Institusi keluarga merupakan tunjang kepada kesinambungan rantaian manusia daripada satu generasi ke generasi yang lain. Justeru, generasi keluarga yang mengamalkan hidup Islam tulen bakal menghasilkan generasi baharu Muslim yang unggul.

Namun jika sebaliknya, keadaan keluarga yang porak peranda, haru-biru, kacau-bilau dan tiada hala tuju, pastinya kelahiran generasi Muslim akan terencat dan terbantut.

Lantaran itu Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan berilah peringatan dan amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.” (al-Syuara’: 214)

Peringatan paling penting ialah supaya berpegang teguh dengan akidah Islam dan jangan sesekali mensyirikkan Allah SWT. Inilah yang telah dipesan oleh seorang bapa contoh yang bernama Luqman al-Hakim kepada anak-anaknya.

Ia sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Hai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (al-Luqman : 13)

MEMBUDAYAKAN ISLAM
Kedengaran mudah, namun asas membudayakan Islam menuntut kesabaran yang tinggi. Perkara itu adalah termasuk mendirikan solat dan memerintahkan setiap ahli keluarga melaksanakannya.

Selain itu, perkara yang perlu dijadikan budaya dalam kalangan ahli keluarga ialah perihal pengurusan kewangan keluarga. Anak-anak perlu didik supaya menjadi amanah, berbelanja berdasarkan keperluan, bersedekah, mengamalkan sikap berjimat cermat dan membuat simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan.

Semua perkara ini tidak akan dapat dijadikan budaya tanpa ada kerjasama daripada isteri. Sehubungan itu, keserasian dengan isteri dan sentiasalah berbincang bersama dalam membentuk sebuah keluarga bahagia dan harmoni bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat.

Susunan Mohd. Shah Che Ahmad

No comments:

Post a Comment