Tanya diri kita, siapakah diri kita yang sebenarnya? Kalau kita kata, “Saya Ahmad”, dan kita letak nama Ahmad itu di atas gambar, adakah gambar itu menjadi Ahmad? Kalau benar, bermakna gambar kita menentukan siapa kita. Oleh sebab itu, cuba lihat ke dalam cermin. Kita nampak gambar diri kita dalam cermin. Kemudian dengan memandang gambar kita dalam cermin dan memandang diri kita di luar cermin, tanya siapa diri kita yang sebenar? Adakah diri kita yang sebenar kita yang "melihat" cermin itu, atau apa yang "dilihat" dalam cermin itulah diri kita?
Yang "dilihat" (dalam cermin) wajah kita 10 tahun yang lalu, sama atau tidak dengan kita yang kini? Tentu tidak sama. Sebab organ fizikal kita sentiasa berubah. Ertinya yang "dilihat" dalam cermin itu adalah fizikal kita yang selalu berubah. Diri kita yang sebenar adalah roh kita yang "melihat" diri kita dalam cermin. Sebab orang yang "melihat" itu adalah diri kita (roh orang yang sama) yang tidak berubah, walaupun fizikal/jasad kita sudah berubah.
Dengan memahami konsep mengenali diri, (membezakan antara diri fizikal dengan diri roh kita) ini, barulah kita tahu prioriti. Iaitu prioriti diri kita yang mana lebih perlu diperbetulkan; roh atau jasad? Tentu kita tidak lagi terlalu fokus setiap hari untuk sangat sibuk dan teliti, hendak mencantikkan diri fizikal/jasad kita sahaja, apabila kita telah tahu yang mana prioriti diri. Sebab kecantikan fizikal/jasad lebih untuk dilihat dan dinilai, agar mendapat penghargaan, pujian dan pengiktirafan manusia.
Lazimnya, semakin banyak kita mencari perhatian orang lain, maka semakin kurang masa kita untuk memberikan perhatian kepada orang yang terdekat dengan kita (keluarga), malah keadaan menjadi lebih buruk apabila kita semakin tidak berkesempatan meluangkan masa untuk Allah. Ingatlah, jika kita tidak ada masa untuk Allah, Allah juga tidak ada masa untuk kita. Sebab dalam pangkal ayat 7 surah Az-Zumar, jelas kita fahami firman Allah ini, “Jika kamu kafir, maka sesungguhnya Allah tidaklah memerlukan kamu....” Jangan kita menyangka, bahawa Allah yang sangat mengharapkan pengabdian kita kepada-Nya, sehingga seandainya kita ingkar Allah berasa rugi dan kedudukan-Nya sebagai Yang Maha Berkuasa terjejas.
Kalau kita faham diri kita yang sebenar ialah roh, kita akan menjadi seorang yang sangat fokus kepada pembersihan jiwa dan memberikan makanan kerohanian/spiritual kepada roh kita dengan ilmu dan amal. Hal ini adalah kerana, roh diri kita yang akan menghadap Allah sedangkan jasad akan binasa hancur bersemadi menjadi tanah. Oleh sebab itu kita sentiasa bertaubat dan berniat memperbaiki diri. Jaga akhlak, "dunia dalaman" kita menentukan "dunia luaran" kita. Iaitu apa yang ada dalam minda dan hati kita menggambarkan fizikal/jasad kita. Semuanya bermula dari fikiran/minda/akal maka kerana itu betapa perlunya kita mengawalnya agar sentiasa berada dalam posisi yang positif.
Keadaan frekuensi gelombang otak dalam diri seseorang menentukan aktiviti fikiran dan tingkah laku seseorang dalam kehidupan seharian kita. Frekuensi gelombang otak manusia berbeza-beza mengikut emosi atau suasana. Kajian menunjukkan frekuensi gelombang otak bukan sahaja menunjukkan keadaan fikiran dan tubuh seseorang, tetapi dapat juga dirangsang untuk mengubah keadaan mental seseorang.
Sebab itulah dalam konsep pemikiran "Reset Minda" ditekankan tentang bagaimana dengan mengawal fikiran dan emosi, respons atau tindakan kita juga dapat dikawal. Sebab itu dalam peribahasa Melayu banyak dikias ibaratkan tentang akal dengan tindakan dan personaliti seseorang ditentukan oleh akal.
Antaranya, “Akal akar berpulas tak patah” maksudnya, orang yang pandai, tak akan mudah kalah dalam perdebatan. “Akal labah-labah; di gua buruk suka merakut (memasang jaring)” bererti, orang jahat yang suka menipu orang. “Akal sebagai makan nasi lecek” maknanya, orang yang fikirannya seperti anak-anak. Demikianlah hakikatnya, mental/fikiran, spiritual/kerohanian dan emosi mempengaruhi manifestasi kepada fizikal kita. Oleh sebab itu bersihkan jiwa/roh kita daripada emosi dan fikiran negatif.
Membersih jiwa
Kita tidak akan membersihkan jiwa kita selagi kita hanya sibuk melihat keburukan dalam diri orang lain. Salah satu cara Allah memberikan kebaikan atau hidayah kepada seseorang, adalah apabila kita sibuk melihat kesilapan diri dan sibuk melihat kebaikan orang lain, hingga kita tidak sempat hendak melihat keburukan orang. Manusia paling malang ialah manusia yang menyembunyikan keburukan diri, tetapi sibuk mencanangkan keburukan orang, dan sentiasa berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.
Namun begitu, hakikatnya bolehkah kita nampak diri kita sendiri? Bukankah pandangan mata kita mempunyai batasan untuk boleh melihat diri kita sendiri? Tanpa bantuan cermin kita tidak dapat melihat diri kita sendiri. Hanya mata orang lain yang dapat melihat kita dan menilai siapa kita di matanya. Cerminlah diri kita dengan orang yang rapat dengan kita, (pasangan kita suami/isteri, ibu bapa, atau sahabat sejati).
Cari orang yang boleh menjadi cermin diri dan keperibadian kita, yang akan jujur memberikan pendapat serta menegur kita apabila nampak kesilapan dan kekurangan kita, sesungguhnya inilah langkah pertama untuk memperbaiki diri. Langkah kedua, untuk memperbaiki diri, cari guru yang baik, yang boleh memberikan nasihat dan membersihkan hati kita daripada hidup dalam "kesedaran keegoan" yang tinggi kepada ‘kesedaran ketuhanan’ yang tinggi.
Ketiga, manfaatkan orang yang tidak baik dengan kita atau musuh kita. Sunnatullah tidak semua orang suka akan kita, dan tentu ada orang yang iri hati dan benci akan kita, atas sebab-sebab tertentu, kerana kita tidak mampu memuaskan hati semua orang yang pelbagai fiilnya. Orang menyakitkan hati kita dengan kata-kata, adalah peluang untuk kita perbetulkan diri dan belajar bersabar.
Jadilah kita orang yang sangat suka menerima teguran, serta tidak suka dipuji dan tidak takut dikeji. Untuk mengetahui kekurangan dan kelemahan kita tanyalah musuh kita, tetapi untuk mengetahui kebaikan kita tanyalah kawan-kawan kita. Kelemahan kita walaupun sedikit akan diperbesar-besarkan oleh musuh kita. Tetapi, kawan-kawan demi menjaga hati dan hubungan dengan kita, mereka akan bercakap yang baik-baik sahaja tentang kita.
Sebab kawan-kawan lazimnya untuk masa bersuka sahaja dan bermuka-muka, macam duit syiling; di depan lain di belakang lain. Tetapi, bagi seorang sahabat, sahabat seperti cermin; apabila kita gembira dia turut gembira, apabila kita sedih dia turut bersedih, apabila kita sakit dia juga turut berasa sakit, susah senang tetap bersama. Sahabat akan bercakap benar tentang kebaikan dan keburukan kita. Biarpun dia tahu kita tidak suka mendengarnya, tetapi demi kebaikan, dia tetap menyatakannya dengan ikhlas dengan harapan kita memperbaiki kelemahan dan bersemangat dengan kelebihan kita.
Terimalah kritikan itu sebagai teguran. Ingatlah, pada hari kita tidak boleh menerima teguran, bermakna pada detik itu bermulalah kejatuhan kita dan kita tidak menemui jalan memperbaiki diri, agar menjadi lebih baik daripada semalam. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.
Sumber : utusan malaysia
No comments:
Post a Comment