UNGKAPAN dan kepercayaan bahawa sejarah Pulau Pinang bermula dari tahun 1786 masih berlanjutan. Apakah kita mahu kekalkan satu mitos dalam sejarah negara?
Secara khususnya, sejarah dan persejarahan Pulau Pinang amat dikhianati. Saya merujuk kepada makalah Dr. Chandra Muzaffar (Utusan Malaysia 5 Julai 2015) yang memberi reaksi terhadap apa yang dipaparkan dalam laman web rasmi Pulau Pinang. Terlebih awal ialah pada 12 Jun di mana seorang lagi cendekiawan, Prof. Datuk Seri Md. Salleh Yaapar dari Universiti Sains Malaysia telah menyangkal kenyataan laman web tersebut. Sumber laman itu ialah Biro Penerangan Pulau Pinang.
Umumnya rakyat Malaysia dan Pulau Pinang (termasuk Melayu Pulau Pinang sendiri) tidak mempedulikan kepentingan kenyataan yang berbunyi: “Sejarah Pulau Pinang hanya bermula dari tahun 1786.”
Kebelakangan ini, ada yang memberi reaksi bahawa ia bukan satu isu sebab sentimen umum masyarakat di negara ini maklum akan keadaan pengambilan Pulau Pinang oleh Francis Light. Pengalaman saya menyaksikan pelbagai cemuhan dan penghinaan selama ini terutama melalui media sosial apabila menampilkan mengenai sejarah Pulau Pinang sebelum tahun 1786.
Saya perhatikan Ilmu Sejarah Pulau Pinang berlandaskan kepada citra budaya dominan arus perdana Pulau Pinang. Dan ia begitu keras menafikan sejarah Pulau Pinang wujud sebelum tahun 1786. Walaupun penduduk Melayu seluruh Pulau Pinang lebih kurang 50 peratus, citra sejarah dan paparan imej Melayu amat daif dan terpinggir.
Chandra menerusi makalah itu bertanya, kenapa fakta-fakta tentang sejarah Pulau Pinang tidak diketahui umum dan tidak menjadi sebahagian daripada pengetahuan arus perdana? Beliau mencadangkan bahawa keadaan ini mungkin kerana kejahilan sebahagian besar golongan yang berpengaruh dalam masyarakat. Ya, golongan itu jahil. Dan tidak, mereka maklum tetapi dalam penafian.
Golongan ini bergantung kepada Light bagi meraikan dan meriakkan susur galur etnik dan budaya, idea asal-usul dan kesahihannya mengenai perkembangan masyarakat majmuk di wilayah yang digelar sebagai ‘Georgetown’. Kononnya, Light membawa tamadun ke Pulau Pinang. Sebelum 1786, Pulau Pinang ‘tidak ada tamadun’ dan segala wacana merujuk zaman sebelum itu disifatkan sebagai ‘pra-sejarah’ Pulau Pinang.
Beberapa tahun dahulu dalam satu seminar di Pulau Pinang, sebelum saya dapat menghabiskan perenggan kedua pembentangan saya, mereka yang hadir, konon daripada golongan berpengaruh, berkecuali dan ‘multicultural’ amat cepat melenting dan mendesak bukti “kukuh”. Soalan-soalan seperti, “Mana ada Melayu di Pulau Pinang sebelum Francis Light datang?”, dilontarkan dengan lantangnya.
Saya merujuk kepada Masjid Jamek Batu Uban dibina pada tahun 1734. Saya sebut nama Muhammad Salleh @ Nakhoda nan Intan berasal dari Kampung Bodi (Buadi) Payakumbuh, kini di Sumatera Barat. Saya kata peneroka awal di Pulau Pinang bermastautin di Batu Uban, dan sebelum itu di Tanjung Penaga, berasal dari wilayah Minangkabau.
Sebaliknya beberapa persoalan ditanya mereka antaranya: “Jika orang Minangkabau mengasaskan masjid di Batu Uban, mengapa bumbung masjid itu tidak ada gonjong seperti seni bina di Minangkabau itu sendiri?” dan “Apakah sumbangan peneroka-peneroka seperti Nakhoda nan Intan, Datuk Jenaton dan Nakhoda Kecil kepada pembangunan Pulau Pinang?”. Pertanyaan itu mirip kepada menafi dan mentohmah para peneroka awal sebelum 1786.
Sejarah Melayu Pulau Pinang sebelum 1786 tidak diiktiraf dan tidak disebut dalam buku teks mata pelajaran Sejarah di sekolah. Apa yang disebut ialah ‘Kapten Francis Light.’ Malah, gelaran “Kapten” itu pun tidak betul dan tidak disebut dalam surat-surat rasmi antara beliau dan pihak berkuasa penjajah Inggeris di India. Sebutan dan gelaran yang diberi ialah ‘encik’ (mister).
Kewujudan Melayu di Pulau Pinang juga tidak disebut, dan ditonjolkan dalam permohonan Georgetown dan Melaka sebagai Bandar Warisan. Tahun 1786 dipaparkan sebagai bermulanya sejarah dan tamadun Pulau Pinang. Ini satu penipuan besar!
Naratif dalam Wikipedia melalui ‘George Town, Penang’ menyatakan, bandar itu ditemui pada 11 Ogos 1786 oleh Light, seorang pedagang untuk Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) sebagai pangkalan untuk syarikat itu dalam negeri-negeri Melayu. Beliau telah memperoleh Pulau Pinang daripada Sultan Kedah. Light tidak pernah bekerja dengan SHTI. Beliau bekerja dengan firma Jourdain Sullivan and de Souza yang mewakili SHTI.
Fakta sejarah yang kita perlu tahu, Light bukan hanya berhubung dan berunding dengan Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778-1797), tetapi juga dengan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II (1710-1778), ayahanda Sultan Abdullah. Perundingan itu bukan sebagai beliau mewakili kerajaan Inggeris, tetapi mewakili firma perdagangan Jourdain Sullivan and de Souza. Butiran-butiran ini mestilah diletakkan dalam perspektif yang betul.
Dan apakah perspektif kita mengenai kedaulatan Pulau Pinang sebelum 1786? Hakikatnya telah wujud tamadun sebelum tahun 1786. Buktinya, masyarakat Melayu di Pulau Pinang bermastautin di sepanjang Sungai Pinang (awal 1700), Tanjong Penegeri dan Batu Uban, serta Kelawai (Kuala Awal) pada tahun-tahun 1730-an mengamalkan undang-undang Kedah. Batu Uban ialah sebuah pekan dan pelabuhan pada masa itu.
Dalam buku saya (sedang diterbitkan) bertajuk, “Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang (Dewan Bahasa dan Pustaka: 2015)”, saya menyifatkan Melayu di Pulau Pinang ini sebagai pengemis sejarah. Saya harap keadaan tersebut tidak berlarutan.
Usaha penghayatan sejarah Pulau Pinang sebelum 1786 tidak ada noktah. Usaha berterusan mesti dilakukan bagi meluruskan naratif melalui pelbagai cara. Selain daripada penulisan buku, makalah, ceramah dan sebagainya, sejarawan dan cendekiawan Melayu mesti menonjolkan diri dalam memaparkan sejarah Melayu Pulau Pinang (dan Kedah serta rantau ini) di pentas-pentas persidangan antarabangsa sebagai usaha melobi kepada masyarakat dunia yang kian lama disogok dengan cerita mitos. Catatan kolonial sendiri menyebut kewujudan Melayu di Tanjong sebelum tahun 1786.
Malah, catatan dan surat-surat Light menyebut bahawa beliau mempunyai ramai kawan keturunan Minangkabau dan Batak. Ini telah diakui oleh salah seorang generasi keenam Light bernama Noel Francis Light Purdon (penulis, pengkritik dan bekas ahli akademik Universiti Cambridge) dalam pertemuan kami di Adelaide, Australia, awal bulan ini.
Catatan beliau sendiri tidak menafikan Melayu sebelum 1786. Namun begitu, salah satu sebab mengapa mitos ini berlarutan ialah hampir setiap kali penulisan mengenai sejarah awal Pulau Pinang terpampang dalam surat khabar dan majalah berbahasa Melayu sekian lama yang saya ingat, imej, gambar dan tugu Light disiarkan walaupun tidak pernah relevan dengan cerita yang disampaikan. Mengapa pihak sidang pengarang Melayu sendiri tidak peka bahawa tindakan sebegitu akan hanya mengekalkan mitos tersebut?
Oleh : A. Murad Merican
No comments:
Post a Comment