KATA-KATA amarah orang Melayu kini cukup memuncak. Sehinggakan ada antaranya berkata, apa UMNO telah buat kepada orang Melayu selama ini?
Yang bercakap begitu ialah pegawai kerajaan, yang bekerja dengan kerajaan pimpinan UMNO, yang menerima gaji daripada kerajaan dan membesarkan anak-anak melalui sistem itu.
Saya tak salahkan orang itu. Orang yang marah selalunya akan melakukan perbuatan yang tidak masuk akal, kerana akalnya tidak tenteram.
Suasana politik orang Melayu hari ini cukup mencabar.
Sehinggakan profesional Melayu pun terpengaruh.
Sekiranya fiasco yang berlaku hari ini - sama ada betul atau tidak - dicipta semata mata untuk kehancuran kerajaan Melayu yang ada ini - orang yang merencanakan itu cukup berjaya.
Arkiteknya sekarang boleh melagakan botol bir dan berkata “tahniah misi hampir berjaya”. Misi harus istiqamah sehingga PRU-14.
Jika kita imbas semula isu yang ditimbulkan kita tahu siapa yang mencetuskannya. Tak perlulah saya sebut di sini.
Kecelaruan fikiran orang Melayu yang berlaku sekarang sama seperti sebelum tertubuhnya UMNO pada tahun 1946. Ketika itu British melancarkan apa yang dikenali sebagai Malayan Union atau Kesatuan Tanah Melayu yang antaranya untuk mengekang kuasa Melayu dan raja-rajanya.
Orang Melayu sedar akan muslihat orang putih pada masa itu. Itu kerana pada masa itu tidak ada WhatsApp atau Facebook dan Twitter, maka fokus ke arah pembetulan telah dilakukan.
Jika teknologi itu ada pada masa tersebut, suasananya sama seperti yang dirasai hari ini. Semua orang mahu memberi pendapat, pandangan, komen, dialah yang maha bijak, dan tahu serba-serbi.
Oleh kerana Melayu bersatu pada masa itu maka tertubuhlah UMNO bagi menentang Malayan Union.
Tujuan saya menulis mengenai hal ini pada hari ini bukan mahu menyebelahi sesiapa, tiada arahan daripada sesiapa pun.
Ini adalah daripada hati saya. Saya berkongsi perasaan dengan seorang kawan itu tadi yang kini menolak segala-gala kebaikan yang selama ini dikecapinya semata-mata kerana marah dan amarah.
Namun saya hari ini masih waras. Saya masih berpijak di bumi nyata, iaitu bumi Tanah Melayu yang sungguh dicemburui banyak pihak ini.
Saya menganalisis mengapa satu demi satu institusi milik orang Melayu mahu dicemarkan bermula dengan 1MDB, Tabung Haji, Mara dan seluruh kerajaan milik kaum Bumiputera ini.
Apa motifnya sebenar? Mengapa Pas juga mahu dihancurkan dan dipecahbelahkan dalam waktu yang singkat ini?
Seperti yang saya selalu sebut, parti politik hak Melayu hanya ada dua sahaja di negara ini iaitu UMNO dan Pas?
UMNO kini menghadapi dugaaannya yang paling getir dalam sejarah penubuhannya. Ini diakui sendiri oleh mantan Setiausaha Agungnya, Tan Sri Sanusi Junid baru-baru ini.
Jika Pas juga sedang diadudombakan, siapakah tangan-tangan ghaib yang melakukan itu? Siapa yang menaja penubuhan Pasma dan kini Gerakan Harapan Baru, yang bunyinya sahaja ala-ala sebuah pertubuhan Kristian?
Wahai orang Melayu sedarlah, musuh-musuh kamu kini sudah terlalu ramai - sama ada dalam lingkungan sendiri mahupun luaran termasuk elemen luar negara sendiri.
Mereka mahu memastikan institusi ini dihancurkan dan satu negara baharu dibentuk. Itulah tujuan Arab Spring sebenarnya. Itulah yang terjadi sehinggakan Syria hancur-lebur dan Palestin tiada siapa yang peduli.
Sedarkah orang Melayu siapa yang mewujudkan IS, Islamic State atau Negara Islam dan mengapa media barat sudah tidak menyebut al-Qaeda lagi?
Siapa agaknya yang mewujudkan kedua-dua pertubuhan itu? Jika al-Qaeda diwujudkan kononnya oleh CIA bagi melawan Rusia di Afghanistan, siapa pula yang mewujudkan IS?
Adakah kerana al-Qaeda gagal memberi impak untuk merosakkan Islam, lalu ia ditiadakan? Lalu dilenyapkan Osama Ben Laden, yang tiada berkubur itu, yang kononnya dibuang Amerika ke laut itu?
Lalu tiba-tiba muncul pula IS yang tindakannya terlalu kejam bagi memberi impak maksimum mengenai teruknya orang Islam. Diberi lagi impak namanya pula ialah Islam, lalu disebut hari-hari oleh media dunia dengan panggilan Islamic State.
Kini kekejaman itu lebih nyata lagi. Islam diburukkan seburuk-buruknya dalam sejarah dunia.
Nampak tak? Ia adalah taktik. Sama ada dalam peperangan atau dalam politik, taktik gerak saraf boleh digunakan semaksimum mungkin bagi menghancurkan sesebuah bangsa, negara, agama dan tanah air.
Begitulah yang terjadi kepada Islam dan Malaysia hari ini.
Apapun musuh kita akan gagal jika kita masih waras, bertenang. Tetapi malangnya yang marah, kecoh, banyak bercakap, keliru, kebengongan adalah orang Melayu sendiri. Kaum-kaum lain senyap dan terus beristiqamah dalam pekerjaan mereka.
Jika benar wujud kekhilafan kepada mana-mana pihak kita mendoakan Allah SWT menyebelahi kita. Sebagai orang Islam kita berserahlah kepada-Nya. Ia adalah mercu kita.
Sesungguhnya Malaysia ini ada keramatnya. Silih berganti krisis yang berlaku, ia akhirnya dapat diatasi dengan jayanya.
Itu pasal pepatah Melayu itu amat kaya. Antaranya, Jangan Takut Dengan Bayang-Bayang, Menang Sorak Kampung Tergadai, Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh.
Sesungguhnya UMNO sebagai sebuah institusi tidak bersalah. Sesungguhnya kejayaan mana-mana anak Melayu hari ini adalah kerana parti itu dan para pemimpinnya yang terdahulu. Walaupun kita tidak mahu mengakuinya, itulah hakikatnya.
Saya mahu memetik satu kisah yang saya terima:
Wahai anak-anak muda Melayu dan orang Melayu sendiri. Kaji dan bacalah sejarah. Jadikan sejarah sebagai teladan supaya bangsa ini takkan lenyap di arus zaman.
Jangan jadi Melayu Champa, daripada kerajaan yang hebat suatu masa dulu kini merempat di bumi sendiri, Kemboja!
Oleh itu, Janganlah Kerana Marahkan Nyamuk Kelambu Dibakar...
Yang salah ialah nyamuk bukan kelambunya...
Oleh : Cuit Zaini Hassan
No comments:
Post a Comment