Thursday, May 27, 2021

Siapa Peduli Pencuci Pinggan?

KRISHNA, seorang balu berumur 38 tahun, menelefon saya baru-baru ini kerana Lembaga Air Perak (LAP) telah memotong bekalan airnya. Bil air yang tidak dibayar mencecah RM400. Suaminya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, lima tahun lalu.

Dia meminta bantuan bagi memohon pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Oleh sebab perkahwinan mereka tidak didaftarkan, Perkeso hanya meluluskan RM500 sebulan kepadanya kerana dia mempunyai seorang anak berumur enam tahun.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan buruk kepadanya. Krishna bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran di Sungai Siput, Perak.

Kadar bayaran gaji adalah RM35 sehari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Tiada kerja, bermakna tiada gaji. Setiap kali PKP dikuatkuasakan, pendapatan wanita ini akan menurun kerana restoran tidak memerlukan pencuci pinggan apabila hanya menyediakan perkhidmatan bawa pulang.

Krishna cuba mendapatkan kerja sebagai pekerja pembersihan hospital tetapi tiada jawatan kosong.

Adalah tidak berguna kita hanya sekadar melaungkan ‘kita jaga kita’ sekiranya kita tidak menangani realiti bahawa PKP mempengaruhi lapisan masyarakat yang berbeza dengan kesan berbeza.

Pesara berpencen seperti saya tidak selesa dengan sekatan pergerakan tetapi pendapatan kami terjamin. Kakitangan kerajaan juga lebih kurang sama, dilindungi.

Pekerja-pekerja formal dalam sektor swasta secara keseluruhannya mendapat bantuan daripada skim subsidi pekerjaan dan mempunyai pilihan untuk mengeluarkan sebahagian simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Namun, ramai pekerja dalam sektor informal seperti Krishna mengalami penurunan yang signifikan dalam pendapatan mereka.

Satu kajian oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Kuala Lumpur mendapati, separuh daripada 500 keluarga berpendapatan rendah (B20) yang ditinjau mengalami penurunan pendapatan sebanyak 30 peratus atau lebih besar lagi semasa PKP 1.0 dengan separuh daripada mereka mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,000 sebulan.

Pekerja bergaji harian seperti Krishna, pengusaha-pengusaha gerai kecil dan lain-lain dalam sektor informal adalah paling teruk terjejas oleh PKP dan wujud keperluan untuk memberikan bantuan kewangan bersasar kepada mereka.

Memberi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dua kali setahun adalah tidak mencukupi. Mereka akan terus tenggelam dalam hutang dan terpaksa mengurangkan perbelanjaan keperluan asas seperti makanan dan kesihatan.

Dijangkakan terdapat kira-kira 750,000 keluarga berada dalam kategori ini. Penyaluran wang sebanyak RM500 sebulan kepada ketua keluarga akan melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM375 juta sebulan atau RM4.5 bilion setahun.

Ini adalah satu jumlah besar tetapi jauh lebih rendah berbanding RM10 bilion yang telah digunakan setiap kali BPR dibayar kepada lebih kurang 10 juta penerima.

Ada pesara berpencen, kakitangan kerajaan dan pekerja sektor formal menerima bayaran BPR ini walaupun ramai dalam kalangan mereka tidak mengalami penurunan dalam pendapatan.

Oleh: DR. JEYAKUMAR DEVARAJ
          Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM)

No comments:

Post a Comment