Sunday, May 23, 2021

Apa Di Sebalik Normalisasi?

Cubaan pemimpin di beberapa negara Arab kukuhkan kuasa
NORMALISASI bukan sahaja berkaitan dengan hubungan diplomatik semata mata. Ianya bermula dengan Perjanjian Camp David tahun 1978 antara Mesir dengan Israel selepas peperangan Mesir-Israel tahun 1973 yang berpihak kepada Mesir. Mesir telah dapat mengambil semula Semenanjung Sinai.

Usaha dari Presiden AS ketika itu Jimmy Carter sebagai orang tengah mendamaikan antara Mesir dan Israel.

Hasilnya, Israel berjaya memisahkan Mesir dari dunia Arab. Semasa Perang tahun 1973, Mesir mendapat sokongan dan bantuan dari negara negara Arab.
Kesannya amat besar terhadap geopolitik dan ekonomi Mesir semuanya perlu tunduk kepada AS.

Kebergantungan ekonomi Mesir dengan AS terlalu tinggi. Camp David telah mengikat Mesir dalam semua urusan negara sehingga pengeluaran pertanian negara dikawal oleh AS, termasuk subsidi dan semua bantuan untuk rakyat.

Normalisasi terus berjalan melibatkan beberapa buah negara Arab, malah yang terkini melibatkan empat buah negara Arab secara rasmi.

Negara Arab terakhir akan diikuti oleh Arab Saudi yang belum dilaksanakan secara rasmi tetapi hubungan tidak rasmi telah sedia terjalin.

Apa disebalik normalisasi terakhir ini? Secara ringkas boleh dikatakan ianya adalah cubaan pemimpin beberapa buah negara Arab untuk mengukuhkan kuasa mereka. Arab Spring telah mengajar mereka beberapa orang pimpinan negara Arab tersungkur. Kerajaan baru agak lemah kerana selalu berlaku pertukaran kerajaan, maka beberapa pimpinan negara Arab yang masih berkuasa memerlukan bantuan untuk menyelamatkan kuasa mereka.

Mereka berpendapat bahawa melakukan hubungan baik dengan Israel adalah antara jalan yang terbaik, memandangkan kedudukan Israel berpengaruh besar dalam geopolitik dunia kerana negara Barat penyokong kuat Israel.

Kononnya dengan bermesra dengan Israel akan mengekalkan kuasa mereka. Inilah realiti kepimpinan negara Islam sekarang terutamanya negara-negara Arab. Mereka hilang jati diri. Mereka mengejar kuasa dan pangkat. Rela bermesra dengan musuh utama Yahudi laknatullah demi kuasa dan pangkat.

Krisis ini telah pun merebak di negara-negara Islam yang lain termasuk Malaysia. Kegilaan untuk mengejar kuasa dan pangkat akan memusnahkan agama, bangsa dan negara. Rakyat harus berwaspada dengan pemimpin yang sedemikian. Padah sedang menanti jika rakyat leka dengan sogokan dan tawaran palsu yang mengghairahkan.

Mudah-mudahan kemenangan Peperangan Saif Al Quds akan mengubah segala- galanya. Kekuatan Israel hanya benteng yang diperbuat dari susu sebagaimana kenyataan Mosye Dayan Menteri Pertahanan Israel ketika itu apabila kalah dengan Mesir ketika perang pada tahun 1973 di Sinai.

Sebenarnya benteng Bar Lev sempena nama Jeneral Israel waktu itu yang dibanggakan kekuatannya adalah ibarat susu beku.

Oleh: Ustaz Sharipudin Abdul Kadir
           Ketua Perhubungan ISMA Negeri Kelantan

No comments:

Post a Comment