Thursday, May 20, 2021

I Am Israel

Aku Israel.
Aku datang ke negeri tidak bertuan untuk bangsa yang tidak bernegeri. Mereka yang pernah menetap di sini, tidak punya hak, dan bangsaku memutuskan mereka harus beredar atau mati, sambil kami meruntuhkan 400 halaman rakyat Palestin, memadam sejarahnya.

Aku Israel. Segelintir rakyatku melakukan pembunuhan beramai-ramai dan akhirnya dilantik menjadi Perdana Menteri mewakili aku. Pada 1948, Menachem Begin mengepalai unit yang membunuh penduduk Deir Yassin, antaranya 100 wanita dan kanak-kanak. Pada 1953, Ariel Sharon mengetuai pembunuhan penduduk Qibya dan pada 1982, mengatur rancangan bersama sekutu kami, menyembelih mati hampir 2,000 pelarian di kem Sabra dan Shatila.

Aku Israel. Pada 1948, aku menjajah 78 peratus bumi Palestin, menghalau penduduknya dan digantikan dengan penganut Yahudi dari Eropah dan segenap ceruk dunia. Sedang anak watan asal dan keluarga mereka yang telah menghuni bumi ini beribu tahun lamanya dinafikan untuk pulang. Bangsa Yahudi dari seluruh pelosok dunia dipelawa masuk bersama tawaran kerakyatan serta-merta.

Aku Israel. Pada 1967, aku ratah bumi Palestin yang berbaki – Jerusalem Timur, Semenanjung Barat dan Gaza, meletakkan penduduknya di bawah penindasan rejim tentera, mengawal dan merobek setiap inci kehidupan mereka. Matlamat aku agar mereka faham bahawa keberadaan mereka tidak diraikan dan akhirnya mereka akan dipaksa keluar menyertai jutaan pelarian Palestin yang hidup melarat di kem-kem di Lebanon dan Jordan.

Aku Israel. Aku menguasai dasar Amerika. Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Israel-Amerika berkuasa mengangkat atau menghancurkan mana-mana ahli politik pilihan, dan benar, mereka bertanding untuk tunduk berkhidmat kepada aku. Semua kuasa dunia tidak berdaya melawanku, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang aku kuasai melalui kuasa veto Amerika Syarikat untuk menghalang apa sahaja bentuk kecaman terhadap jenayah perangku. Seperti dabik Sharon, “Kami menguasai Amerika.”

Aku Israel. Aku menguasai media arus perdana Amerika yang sentiasa melaporkan berita yang dipastikan memihak kepada aku. Aku laburkan jutaan dolar dalam perwakilan PR, CNN dan New York Times dan mereka yang bersama mempromosi segala propaganda Israel dengan baik. Bandingkan sahaja dengan sumber berita antarabangsa yang lain, kamu pasti akan lihat perbezaannya.

Aku Israel. Kamu rakyat Palestin berhasrat ‘rundingan damai’? Malangnya kamu tidak selicik aku. Aku berunding sekadar membenarkan kamu menduduki perbandaran sedang aku mengawal sempadan, sumber air, ruang udara dan segala kepentingan. Tatkala kita kononnya sedang ‘berunding,’ aku jajah setiap puncak bukit, membina pendudukan, lalu didiami rakyat ganasku yang paling ganas, lengkap bersenjata dari kepala ke kaki. Penempatan yang dihubungkan dengan jalan-jalan yang tidak mungkin dapat kamu lalui, dan kamu akan terpenjara di dalam Bantustan kecilmu yang di sekelilingnya sarat kawalan dari segenap arah.

Aku Israel. Memiliki kuasa tentera keempat terkuat di dunia, lengkap bersenjata nuklear. Berani sungguh anak-anak kecilmu melontarkan batu-batu melawan kekejamanku, apakah tidak kamu sedar tentera pasti tidak teragak-agak membedil hancur kepala mereka? Dalam tempoh 17 bulan, aku telah membunuh 900 dan mencederakan 17,000 rakyat kamu, yang hampir semuanya orang awam tidak berdosa, dan aku diberi mandat meneruskan kekejaman ini saat masyarakat dunia lain hanya bisu memerhati. Pedulikan ratusan tentera simpananku yang melanggar arahan untuk meneruskan kawalan ke atas tanahmu, naluri murni mereka tidak akan menyelamatkan kamu.

Aku Israel. Kamu mahukan kebebasan? Aku memiliki senjata, kereta kebal, peluru berpandu, Apache dan F-16 untuk melenyapkan kamu. Bandar-bandar kamu kini di bawah kepungan, tanah-tanah dirampas, pokok-pokok ditumbangkan, rumah-rumah dirobohkan, dan kamu masih menuntut kebebasan? Apakah tidak kamu faham? Kamu tidak akan pernah aman mahupun bebas, kerana aku adalah Israel. - Norman G. Finkelstein

No comments:

Post a Comment