Thursday, May 27, 2021

Adakah GLC Malaysia Tiada Polisi ICV Untuk Bantu Pengeluar Tempatan?

BARU-BARU ini penulis bertemu dengan seorang rakan yang merupakan seorang ahli teknologi yang terlibat sebagai pengilang dan pembekal satu produk industri yang diperlukan dalam pengeluaran bagi sebuah industri melibatkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) besar negara.

Beliau meluahkan kepada penulis terhadap masalah yang dihadapi oleh perniagaannya yang tidak mendapat sokongan dan dukungan selayaknya daripada GLC sebagai pengilang tempatan.

Syarikatnya mengeluarkan komponen untuk pengeluaran bagi satu industri. Cuma penulis tidak boleh menyatakan di sini industri apakah itu. Ini adalah kerana jika penulis nyatakan industri tersebut kita semua akan tahu apakah GLC yang dimaksudkan itu.

Demi untuk mengelakkan kesulitan kepada rakan penulis itu, maka penulis tidak akan mendedahkan GLC dan industri yang terlibat itu di dalam rencana ini.

Prinsip mengutamakan pengilang tempatan dalam perolehan kerajaan atau GLC ini dipanggil sebagai In Country Value (ICV). Ia bermaksud negara yang mempunyai polisi seperti ini akan memberi keutamaan kepada pengilang-pengilang tempatan dalam pembelian atau perolehan kerajaan atau GLC.

Penulis ada membuat sedikit carian untuk memastikan samada ada prinsip ini terpakai untuk polisi perbekalan kerajaan Malaysia. Daripada carian penulis memang ada. Namun itu untuk perbekalan kerajaan.

Barangkali untuk untuk GLC ia tidak tertakluk kepada polisi ini. Menurut rakan penulis itu yang sudah 30 tahun terlibat dalam bidang ini memang tiada polisi ICV untuk GLC di Malaysia.

Menurut beliau, ini sangat berbeza dengan negara seperti Korea, Jepun, Arab Saudi, malah negara jiran Indonesia sendiri yang sangat mementingkan pengilang tempatan dalam industri tempatan dalam perolehan kerajaan dan GLC mereka.

Malah Indonesia katanya lebih toleran terhadap pengeluar tempatan dengan tetap memilih pengeluar tempatan walau pun harganya lebih tinggi tetapi tidak melebihi 10 peratus.

Tiada masalah harga dan kualiti
Pada mulanya penulis fikir bahawa GLC Malaysia menolak komponen yang dikeluarkan oleh rakan penulis ini kerana masalah kualiti dan harga. Ini adalah satu situasi yang sinonim apabila kita bercakap tentang produk tempatan terutama dalam bidang teknologi. Ini persepsi yang banyak terpasak dalam kepala kita rakyat Malaysia.

Biasanya syarikat tempatan yang masih baharu tidak mempunyai ekonomi skala dan kurang efisien menjadikan harga produk mereka lebih mahal. Atau pun kepakaran mereka tidak mampu menandingi pengeluar antarabangsa sedia ada yang mampu mengeluarkan produk mereka dengan kualiti yang sepatutnya. Jadi mereka ditolak GLC. Namun terbukti sangkaan penulis silap.

Menurut rakan penulis itu syarikat beliau merupakan salah daripada tiga syarikat yang diiktiraf oleh MOSTI dengan anugerah kecemerlangan teknologi bersama dua syarikat lagi dari bidang berbeza.

Tambah beliau lagi, syarikat beliau adalah satu-satunya syarikat yang mampu mengeluarkan produk tersebut di AsiaTenggara. Sementara di peringkat Asia pula selain syarikat beliau, hanya negara China dan India sahaja yang mempunyai syarikat yang membuat produk tersebut.

Dari segi kualiti, beliau mendakwa bahawa syarikat beliau memang diiktiraf oleh sebuah badan dunia sebagai salah satu daripada lima syarikat di dunia yang mendapat pengiktirafan itu. Dua syarikat dari Amerika Syarikat, satu syarikat dari Ivory Coast, satu syarikat dari Jepun dan satu lagi adalah syarikat beliau milik anak Malaysia, anak Melayu!

Dari segi harga pula beliau memberi satu peristiwa di mana pada satu ketika GLC tersebut membuat perancangan untuk membeli empat unit produk seperti yang dikeluarkan oleh syarikat rakan penulis itu. GLC tersebut melantik satu syarikat kontraktor utama untuk mendapatkan pembekal-pembekal yang sesuai.

Menurut rakan penulis itu, syarikatnya memberikan sebut harga seunit produk tersebut ialah pada harga RM1 juta. Jadi untuk empat unit yang bakal dibeli GLC tersebut jumlahnya ialah RM4 juta. Namun, dipendekkan cerita GLC tersebut akhirnya membuat keputusan membeli daripada satu syarikat pengeluar dari luar negara dengan harga RM3 juta seunit dan kos keseluruhan ialah RM12 juta.

Terbukti kualiti dan harga bukan isu terhadap penolakan GLC Malaysia kepada produk keluaran syarikat rakan penulis ini.

Beliau mendedahkan antara sebab pengurus-pengurus GLC tersebut tidak berminat untuk membeli daripada syarikat tempatan adalah kerana mereka akan kehilangan peluang untuk makan angin ke luar negara. Ini adalah kerana apabila mereka membeli daripada pembekal di luar negara mereka perlu membiayai perjalanan lawatan ke kilang pembuatan.

Dengan kualiti yang tinggi dan diiktiraf dan harga yang jauh lebih rendah maka tidak masuk akal untuk syarikat mereka tidak diberi peluang sekali pun untuk mendapat ‘inquiry’ untuk sebut harga daripada GLC tersebut. Bahkan beliau mendakwa syarikat beliau seolah-olah diboikot.

Namun beliau tidak pasti samada polisi syarikat beliau yang tidak mahu terlibat untuk memberi apa-apa ‘imbuhan peribadi’ kepada pengurus-pengurus GLC ini menyebabkan urusniaga kelihatan tidak menarik kepada mereka.

Banyak yang kecewa lari ke luar negara
Beliau juga menceritakan kepada penulis bahawa bukan beliau sahaja pernah melalui kekecewaan ini. Ramai lagi. Seorang rakan beliau yang turut terlibat sebagai pengeluar satu produk lain untuk industri yang sama juga pernah melalui penolakan daripada GLC ini.

Menurut beliau, rakannya itu akhirnya membawa diri, kepakaran dan syarikatnya ke Oman. Dan akhirnya rakannya itu berjaya membina perniagaan di Oman. Syarikat rakannya itu pada masa ini menguasai 80 peratus daripada pasaran produk tersebut di Oman.

Dan yang lucunya kini ada syarikat dari Malaysia pula yang berminat untuk menjadi agen syarikat ini untuk memasarkannya di Malaysia. Barangkali kena keluar negara baru produk itu diterima oleh GLC di negara ini!

Pada masa ini pun rakan penulis itu dalam peringkat perbincangan dengan bakal rakan strategiknya di Indonesia untuk membekalkan produk ini di Indonesia kerana tiada pengilang tempatan yang mengeluarkan produk ini di sana.

Menurut beliau memang sekiranya tiada rezeki beliau di tanah airnya sendiri beliau juga terpaksa berhijrah ke negara lain untuk mencari rezeki. Hujan emas itu terpaksa dicari di tanah air orang lain.

Sebenarnya beliau sangat berharap supaya kerajaan dapat membuat satu polisi ICV untuk negara Malaysia. Sekiranya anak Melayu yang bersusah payah berusaha untuk menjadi ahli teknologi dan mampu mengeluarkan produk yang boleh bersaing dengan syarikat luar maka sia-sia sahaja segala galakan yang kerajaan lakukan selama ini.

Menjadi satu kerugian apabila sebuah syarikat milik seorang anak Melayu dengan kakitangan-kakitangan yang mempunyai kepakaran, ada PHD yang semuanya Melayu, namun tidak dapat sokongan daripada GLC kerajaan.

Penulis melihat bahawa mereka ini mempunyai semangat patriotisme yang tinggi untuk membuktikan kemampuan anak Melayu dan orang Malaysia dalam menandingi kemampuan negara-negara maju seperti yang dihasratkan kerajaan. Namun ia dilihat habis di situ sahaja.

Tapi setelah mereka membuktikan dan menguasainya hasilnya mereka tidak dapat tuai di bumi mereka sendiri.

Beliau juga berharap agar slogan untuk membantu Melayu dan Bumiputera yang sering dilaungkan kerajaan mestilah benar-benar dilaksanakan dan bukan sekadar retorik.

Oleh: IBNU JANIE

No comments:

Post a Comment