Saturday, May 1, 2021

Peduli Perasaan Orang Melayu...

MCA salahkan DAP tak iktiraf UEC ketika berkuasa
Parti berasaskan kaum MCA memberi amaran supaya tidak memperbesar-besarkan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), sebaliknya menggesa semua pihak ‘melepaskan’ isu berkenaan.

Jurucakap MCA, Saw Yee Fung berkata, jika ditanya pendapat calon UEC mengenai kepentingan mengiktiraf UEC, kemungkinan besar mereka pun tidak kisah.

“Saya rasa ia hanya isu politik, sama ada akan ada perbincangan mengenainya di masa akan datang, contohnya dijadikan manifesto pilihan raya, pendapat peribadi saya, semua pihak patut lepaskan saja isu UEC.

“Saya rasa calon UEC tidak kisah pun kepentingan pengiktirafan UEC kerana ia hanyalah isu yang melibatkan persetujuan antara kaum, parti politik dan masyarakat,” katanya seperti dilapor CinCaiNews pada 28 April lalu.

Yee Fung yang juga Setiausaha MCA Pahang ketika ditemubual CincaiNews dilaporkan berkata, jika Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya 2018, BN akan mengiktiraf UEC kerana pengiktirafan UEC julung kalinya dijadikan manifesto pada PRU ke-14.

“Berdasarkan rekod lepas, pelaksanaan manifesto BN adalah lebih dari 90 peratus, kami juga tidak pernah berkata manifesto bukan kitab suci.

“Inilah kekuatan BN, buat julung kalinya UEC boleh dijadikan manifesto pilihan raya, pada pendapat saya ia adalah pencapaian baru, sayang kami kalah, jadi tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.

Menurut janji BN ketika itu, rakyat Malaysia yang memiliki sijil SPM, STPM atau memiliki sijil pelajaran luar negara yang setaraf dengannya, hanya perlu memenuhi syarat mendapat kredit dalam peperiksaan Bahasa Melayu.

Selain itu, lulus mata pelajaran sejarah untuk kemasukan ke IPTA, syarat ini juga telah diterima untuk sijil UEC.

Menurut Saw Yee Fung, dulu ada tiga peluang untuk mengiktiraf UEC, iaitu sebelum PRU-13, ketika PRU pada 2018 dan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Katanya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah mengusulkan pengiktirafan UEC pada 2013 dengan syarat calon UEC wajib mendapat kredit dalam peperiksaan Bahasa Melayu.

“Malangnya perbincangan itu tidak berhasil, tapi itulah waktu kita hampir berjaya. Pada 2018 pula, BN memasukkannya dalam manifesto pilihan raya, adakah saya yakin BN akan mengiktiraf UEC jika menang pada PRU 2018, saya yakin BN akan lakukannya,” katanya.

Dakwanya lagi, peluang ketiga ialah ketika DAP – PH – memerintah, mereka pernah berjanji akan mengiktiraf UEC.

“Jika mereka segera mengumumkan (pengiktirafan UEC) pada awal pemerintahan mereka, tentangan terhadapnya tidaklah begitu hebat, kerana terus melaksanakannya adalah langkah yang berkesan.

“Tapi sebaik sahaja ia ditangguh, untuk mendapatkan pandangan pakar dan menubuhkan jawatankuasa untuk mendapatkan pandangan rakyat, maka terjadilah pelbagai kontroversi.

“Justeru saya berpendapat mereka tidak ikhlas, kerana bila sudah berjanji maka perlu ditunaikan, bukannya memberi alasan perlu mengambil kira perasaan orang Melayu,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment