Tuesday, May 18, 2021

Kenyataan Chang Kim Biadap, Tidak Patriotik

PETALING JAYA: Tindakan pemimpin DAP yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang yang mengkritik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pendirian tegas Malaysia terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin, adalah satu perbuatan biadab dan tidak patriotik.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Datuk Razali Idris berkata, kritikan Teng Chang Khim yang juga Exco kerajaan Selangor tidak melambangkan keperibadian beliau sebagai seorang Exco, ADUN dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kemakmuran dan kedamaian sejagat.

“Anda patut malu dengan diri sendiri dan malu kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya !

“Justeru, saya mendesak Teng Chang Khim memohon maaf kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia serta menarik balik kenyataan biadab beliau.

“Saya juga hendak mempersoalkan adakah tindakan YB Teng Chang Khim ini sebagai ejen provokasi kerajaan Israel yang mencuba memanipulasikan keadaan semasa termasuk mengkritik kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) ?

“Adakah tindakan pemimpin DAP dan parti DAP mempunyai kaitan langsung dengan arahan negara haram Israel bagi menganggu-gugat ketenteraman awam, kestabilan politik dan keselamatan negara seperti Malaysia yang menyokong kuat kepada perjuangan dan kemanusiaan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan.

Razali juga memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat tindak-tanduk pemimpin DAP yang mungkin menjadi boneka kepada negara Israel.

Beliau mengulangi pendirian tegas bagi parti BERSATU supaya jangan ada pihak-pihak tertentu yang mencuba menganggu-gugat keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Kenyataan media beliau ini sebagai mengulas tindakan biadab pemimpin Chang Khim yang mengkritik tindakan Muhyiddin menyatakan pendirian tegas Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin yang ketika ini berdepan pencerobohan serta keganasan tentera Israel.

“Pendirian negara Malaysia terhadap Palestin tidak ada kena mengena langsung dengan pandemik COVID-19 kerana ia adalah dua isu yang sangat berbeza. Isu yang berlaku di bumi Palestin bukannya diminta tetapi akibat kerakusan dan kekejaman Israel yang dirancang dan berulang-ulang.

“Maka tidak berasas langsung andainya dakwaan bahawa Perdana Menteri cuba mengalih persepsi rakyat Malaysia dalam permasalahan dalaman negara seperti pandemik COVID-19. Kerajaan PN sentiasa fokus dalam apa jua bentuk demi kesejahteraan rakyat dan prihatin dengan permasalahan sejagat,” kata Razali. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment