Friday, May 7, 2021

Pengguna Tertipu Promosi Data Internet

KETIKA sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan diperkenal semula selepas Hari Raya Aidilfitri ini, ramai dalam kalangan ibu bapa yang tercari-cari pelan data internet yang sesuai dan paling menjimatkan untuk digunakan.

Oleh kerana tidak semua kawasan mempunyai rangkaian fiber optik, jadi ibu bapa terpaksa menggunakan telefon bimbit yang mempunyai keupayaan capaian internet.

Rata-rata melanggan pakej internet sama ada secara mingguan atau bulanan yang dikatakan menawarkan data internet tanpa had.

Malangnya, ramai ibu bapa tertipu kerana pelan data tanpa had itu hanya gimik untuk melariskan jualan semata-mata.

Ini kerana setiap syarikat telekomunikasi mempunyai fair usage policy (FUP) atau dasar penggunaan yang adil iaitu apabila telah mencapai kuota tertentu, kelajuan internet

akan dikurangkan kepada 512 kilobit sesaat (Kbps) dan bukan kelajuan biasa antara tiga megabit sesaat (Mbps) hingga enam Mbps.

Dengan kelajuan seperti siput itu, sudah pastilah PdPR tidak boleh dijalankan dengan lancar.

Perkara itu menjadi bahan jenaka dalam kalangan pengguna sehingga perkhidmatan syarikat-syarikat telekomunikasi terbabit digelar sebagai maximum slow.

Kepada syarikat-syarikat telekomunikasi terbabit, sudah-sudahlah mengelirukan pengguna dengan pakej data cukup pemurah ala untuk pengguna kayangan tetapi sebenarnya hanya gimik semata-mata.

Oleh: DIN BERAMBOI
          Rawang, Selangor

No comments:

Post a Comment