Wednesday, May 5, 2021

Rakyat Kecewa Tanah Rizab PDRM Pindah Milik, Jejas Imej Polis

Bimbang jika ini adalah satu ‘bunga-bunga’ berkaitan rasuah
Presiden Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM), Datuk Sirajuddin Salleh menegaskan, isu penukaran hakmilik sebidang tanah rizab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mukim Kamunting kepada sebuah organisasi gereja di Melaka perlu dipandang serius oleh pihak berwajib.

Menyifatkan ia sebagai mengejutkan, beliau berkata, sekiranya benar laporan tersebut, maka siasatan segera perlu dilaksanakan kerana ia melibatkan imej PDRM sendiri.

“Polis adalah badan penguat kuasa paling tinggi yang dipercayai untuk menjaga harta benda dalam negara ini.

“Sekiranya perkara ini berlaku, seolah-olah ia mengecewakan rakyat. Rakyat akan hilang keyakinan terhadap badan yang kita harapkan dapat menjaga kita dan harta benda kita. Seolah-olahnya begitu.

“Kejadian ini perlu diambil serius. Kerana kita bimbang akan menjejaskan reputasi PDRM. Tambahan pula bekas Ketua Polis Negara sebelum ini ada sebut berkenaan rasuah berleluasa.

“Kita bimbang jika ini satu lagi ‘bunga-bunga’ berkaitan aktiviti rasuah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa pihak gereja menuntut hak milik tanah seluas 0.55 hektar di Mukim Kamunting yang merupakan tanah milik PDRM.

Sumber berkata, semakan mendapati tanah rizab Persekutuan itu merupakan bekas tapak berek kelamin dan rumah ketua balai berpangkat Sarjan.

Penukaran tanah milik PDRM itu terbongkar selepas polis menerima surat daripada sebuah syarikat peguam yang mewakili pihak gereja pada 14 April lalu.

Mengulas lanjut, Sirajuddin yang merupakan mantan Datuk Bandar Ipoh berkata, pihak berkuasa termasuk PDRM harus melakukan siasatan secepat dan sedalam mungkin hingga ke akar umbi.

“Perlu disiasat secara bebas di mana salah dan silapnya, apa puncanya. Tak dapat dinafikan ada kemungkinan soal rasuah atau salah guna kedudukan.

“Seolah-olah ada pihak yang telah berbuat janji dengan mana-mana pihak tertentu untuk memberi tanah kepada gereja sehingga membolehkan pejabat peguam membuat tuntutan. Ini menggambarkan seolah-olah ada masalah urus tadbir,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, pihak yang bertanggungjawab perlu dihukum sewajarnya di mahkamah supaya menjadi pengajaran pada pihak dan agensi lain.

“Daripada kejadian ini, agensi lain yang mempunyai tanah rizab atau tanah milik jabatan berkenaan, jika tidak diurus dengan baik, perkara-perkara ini akan berlaku dan boleh berlaku.

“Pihak berwajib perlu ambil pengajaran secara serius supaya isu ini tidak berulang dan tidak berlaku di mana-mana tempat sekalipun. Ia hanya memberi gambaran bahawa pengurusan tidak begitu kemas. Kerana tidak logik, tanah polis nak dituntut pihak gereja. Tiada kaitan langsung.

“Walhal, tanah itu nanti mungkin nak diguna untuk pembangunan masa hadapan pihak polis sendiri. Kita minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk mengambil perhatian pada isu ini,” katanya.

Terbaharu, susulan penerimaan surat tuntutan daripada syarikat peguam, satu laporan dibuat pada 20 April lalu oleh polis sendiri untuk menyiasat status milikan tanah yang sebelum ini merupakan tanah PDRM.

Pihak polis kini dilaporkan dalam proses mendapatkan dokumen asal tanah tersebut dan juga sedang mengesan saksi bagi tujuan merakam keterangan. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment