Thursday, May 6, 2021

One Fathom Bank, ‘Kompas’ PATI

Bunyinya kedengaran gah! Namun, di sebalik nama itu, selain menjadi lubuk kaki pancing, ada rahsia lain yang mungkin tidak diketahui umum.

Siapa sangka, rumah api ini yang berfungsi membantu kapal-kapal belayar di Selat Melaka rupa-rupanya menjadi ‘kompas’ penting kepada tekong-tekong bot yang membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya dari Indonesia ke perairan Selangor melalui Pulau Ketam pada waktu malam. Cahaya lampu dari Rumah Api One Fathom Bank menjadi panduan kepada mereka supaya tidak tersasar ke tempat lain.

Lagipun jarak Pulau Ketam dalam daerah Klang dan Tanjung Balai, Sumatera bukan pun jauh sangat, hanya kira-kira 30 batu nautika. Kalau naik bot laju, tidak sampai sejam sudah sampai. Umpama kita memandu dari ibu negara ke Seremban, Negeri Sembilan.

Pulau Ketam dijadikan transit PATI sebelum dibawa ke lokasi-lokasi lain seperti Sabak Bernam, Sekinchan, Kapar, Jeram dan Tanjung Sepat.

Pengalaman saya sendiri semasa berkhidmat di Biro Selangor sebelum ini, apabila setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, hati sentiasa tidak tenteram. Takut-takut ada bot yang mahu membawa pulang warga Indonesia untuk berhari raya ke kampung halaman masing-masing secara haram, karam. Beberapa kali gerak hati saya itu betul apabila terpaksa membuat liputan tragedi tersebut. Namun, PATI ini memang tidak pernah serik walaupun tahu risikonya cukup tinggi, maut menanti.

Kalau masih sangsi, Pasukan Petugas Khas (NTF) ada statistik tangkapan PATI, tekong dan penyeludup seperti dinyatakan sendiri Penolong Pengarah Pengoperasian Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Ahmad Radzi Hussain semasa liputan media Operasi Benteng (Op Benteng) Sektor 5 di Pulau Ketam, baru-baru ini.

“Pulau Ketam menjadi pintu masuk pilihan kepada PATI dan penyeludupan barang kontraban. Rumah Api One Fathom Bank menjadi pedoman kepada PATI, seperti ada daya tarikan.

“Dari 1 Januari sehingga 26 April lalu, sebanyak 242 PATI berjaya ditangkap di sekitar Pulau Ketam manakala kontraban bernilai RM5.3 juta dirampas,” katanya. 

Selangor sahaja mencatat jumlah keseluruhan 802 tangkapan bagi tempoh sama meliputi PATI (746), tekong (36) dan penyeludup (20). Negeri itu merupakan yang kedua tertinggi selepas Johor dengan 871 tangkapan.

Selain Rumah Api One Fathom Bank atau nama lainnya Rumah Api Permatang Sedepa, cahaya dari menara Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kapar, Klang turut menjadi pedoman kepada PATI untuk merapati Pulau Ketam.

KENAPA PULAU KETAM?
Kedudukannya yang terasing diambil kesempatan oleh sindiket dengan menjadikannya sebagai lubuk transit bagi aktiviti penyeludupan PATI dan kontraban. Faktor bentuk muka bumi yang mempunyai hutan paya bakau, alur sungai yang kecil dan fenomena air laut pasang surut memberi kelebihan kepada tekong dan PATI untuk bersembunyi daripada dikesan pihak berkuasa.

Mereka juga menggunakan bot tempatan dan khidmat nelayan tempatan sebagai orang tengah bagi aktiviti jenayah rentas sempadan. Nelayan tempatan ini juga menjadi sumber maklumat kepada mereka mengenai operasi penguatkuasaan pasukan keselamatan.

POS KAWALAN TERAPUNG
Tidak hairanlah kerajaan baru-baru ini meluluskan peruntukan sebanyak RM5.4 juta bagi pembinaan pos gabungan keselamatan terapung di Pulau Ketam bagi memperkukuhkan kawalan sempadan negara daripada pencerobohan.

Pangkalan sebegini adalah lebih sesuai daripada membina pos kekal. Kedudukan pos ini boleh dialihkan mengikut kesesuaian pasang surut air laut atau mengubah strategi pada bila-bila masa bagi mengelirukan penceroboh sempadan.

Dalam komponen darat Op Benteng, Batalion 4 Briged Tengah PGA diberi tanggungjawab mengawasi pesisir pantai Selangor sepanjang 337 kilometer antara Pos Sungai Lang, Sabak Bernam dan Pos Bagan Lalang, Sepang. Terdapat 21 pos kawalan dalam enam daerah iaitu Sepang, Kuala Langat, Klang Utara, Klang Selatan, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

COVID-19
Op Benteng pada awalnya diwujudkan bagi membanteras kemasukan PATI serta mengekang penularan wabak Covid-19 menerusi penubuhan NTF pada 6 Mei 2020.

NTF menggabungkan 19 agensi penguatkuasaan dan pasukan keselamatan di bawah satu bumbung. Melalui kerjasama bersepadu ini, NTF berjaya mempertingkatkan keselamatan negara dan memudahkan proses kerja setiap agensi dalam mencapai misi operasi.

Hari ini genap setahun penubuhan NTF. Sepanjang tempoh ini, banyak kejayaan dicapai dalam menjejaki tekong dan tali barut kegiatan jenayah rentas sempadan dan mematahkan cubaan penyeludupan barang, dadah, haiwan, hasil hutan dan tangkapan ikan haram. - utusan malaysia

No comments:

Post a Comment