Friday, May 14, 2021

Jangan Lembik Seperti Kijang, Jadi Garang Seperti Singa Membela Diri

Aidilfitri: Kita dambakan pemimpin tak apologetik di tampuk kuasa
ALHAMDULILLAH, kita baru sahaja selesai menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan yang merupakan salah satu dari Rukun Islam. Tanggal 1 Syawal, iaitu Hari Raya Aidilfitri kita raikan setiap tahun sebagai tanda kemenangan kita melawan nafsu.

Sememangnya, bulan Ramadan pada tahun ini amat mencabar bagi kita semua. Pelbagai isu-isu yang menguji kesabaran kita sebagai umat Islam, dari isu pukul pekerja kerana berpuasa, isu ‘rebus umat Islam seperti katak’ sehinggalah replika ‘lembu bersongkok’. Saya pasti ianya telah mendidik kita bahawa provokasi terhadap maruah umat Islam tidak akan pernah berhenti. Mereka mahu kita menjadi kijang yang pengecut berbanding singa yang garang.

Namun, apalah sangat jika nak dibandingkan dengan ujian saudara-saudara kita di Palestin. Ramadan mereka jauh lebih mencabar. Mereka diserang ketika solat tarawih di Masjid Al-Aqsa. Mereka ditindas saban hari di rumah-rumah mereka, di jalanan-jalanan dan di mana sahaja secara fizikal dan mental. Apa yang kita dapat lihat, warga Palestin tidak lembik seperti kijang, malah garang seperti singa membela diri. Inilah yang saya dambakan, agar umat Islam punyai jati diri dan kecekalan sebegini.

Lebih menginspirasikan lagi, selain rakyat mereka yang punyai jati diri yang luar biasa, kita dapat lihat munculnya pemimpin mereka di tengah-tengah kekalutan tersebut dengan lebih bertenaga, garang dan menggerunkan. Saya melihat bagaimana Ismail Haniyeh, pemimpin rakyat Gaza dan Hamas berucap dengan begitu tegas di media secara langsung, menyatakan tuntutan-tuntutan kepada musuh laknatullah itu. Kita di Malaysia mendambakan pemimpin-pemimpin tidak apologetik sebegitu di tampuk kuasa.

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالحَمْدُ لِلهَ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian Dan Subhanallah (Maha Suci Allah) pagi dan petang.

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الكَافِرُونَ
Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, Dengan ikhlas untuk Agama (Islam), Walaupun dibenci oleh golongan kafir.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Oleh: Haji Aminuddin Yahaya

Aidilfitri: Kita mesti berani pertahan Islam walau apa cara sekalipun

ALHAMDULILLAH kita telah sampai ke bulan Syawal. Bulan kemenangan dan kegembiraan buat umat Islam. Namun di sebalik kegembiraan tersebut, kita tidak dapat lari dari realiti umat yang sangat perit dan pedih.

Pada awal Ramadan yang lalu, dua orang pekerja Melayu yang berpuasa telah dipukul oleh majikan mereka kerana tidak mahu berbuka. Tidak lama selepas itu, kita menyaksikan iklan judi yang dipromosikan oleh pelakon-pelakon Melayu sebagai cara mudah mendapatkan wang bagi berbelanja di Hari Raya.

Terbaru, kesabaran umat Islam tercabar apabila replika lembu memakai songkok dan kain samping diletakkan di bulatan Jalan Air Itam, Pulau Pinang. Dikatakan sebagai dekorasi menyambut Syawal.

Hari-hari terakhir Ramadan pula menjadi saksi kekejaman Zionis ke atas umat Islam di Palestin. Sengsara yang mereka tanggung amat meruntun jiwa. Ya Allah hancurkanlah Zionis laknatullah ya Allah.

Semua ini mengguris hati kita umat Islam. Ujian demi ujian berlaku dan pastinya Allah SWT menghendaki kita mempelajari sesuatu daripada ujian ini.

Ramadan hadir bagi membentuk semangat perjuangan dalam diri. Kita harus berani dan teguh mempertahankan Islam walau dalam apa cara sekalipun.

Buat wanita khususnya,
Teruslah tingkatkan jiwa kerana jiwa yang kuat sahaja yang berjaya di dalam perjuangan. Hadapilah hidup dengan penuh ketabahan, keyakinan dan semangat juang yang tinggi. Pilihlah jalan yang ditunjukkan oleh baginda SAW. Kuatkan pergantungan kepada Allah kerana Allah adalah sebaik-baik Pelindung dan Pemelihara.

Melangkahlah ke dalam 1 Syawal dengan kalimah takbir yang membesarkan Allah. Raikanlah Aidilfitri kali ini dengan penuh semangat dan prinsip perjuangan seperti saudara-saudara kita di Palestin dan yakinlah bahawa kemenangan hakiki itu pasti akan tiba.

Allahu Akbar.. Allahu Akbar… Allahu Akbar… Walillahilhamd…

Oleh: Dr Suriani Sudi

No comments:

Post a Comment