Saturday, May 8, 2021

Mufti Pahang Nafi Khutbah Jumaat Berbaur Politik; Dakwa DAP Nak Jadikan Malaysia Republik

PETALING JAYA: Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman, menggunakan khutbah Jumaat bagi menggesa penganut Islam memastikan Malaysia “terus kekal” diperintah bangsa Melayu dan menegaskan “haram hukumnya” jika bukan Melayu menguasai Putrajaya.

Ketika dihubungi FMT, Rahman menolak sebarang andaian khutbah itu berbaur politik atau bersifat diskriminasi terhadap parti politik bukan Melayu seperti DAP.

Sebaliknya, lebih menekankan penyatuan ummah demi kebaikan kaum Melayu dan orang Islam, dan orang bukan Islam, katanya.

Namun, beliau menyifatkan DAP sebagai parti yang berhasrat menjadikan Malaysia sebuah republik dan mahukan “orang Melayu ikut dia”.

Khutbah kedua khas bagi Mei 2021 yang dimuatnaik di laman Jabatan Mufti Pahang (JMP) itu menjangka Malaysia akan menghadapi PRU15 “tidak lama lagi”.

“Oleh itu menjadi kewajipan umat Islam untuk memastikan negara kita terus kekal berada di bawah pemerintahan bangsa Melayu Islam yang memelihara agama Islam dan Raja Berperlembagaan.

“Haram hukumnya jika negara kita diperintah oleh orang bukan Islam,” menurut khutbah kedua khas itu, tanpa huraian lanjut.

Rahman memberitahu FMT bahawa khutbah itu tidak mempunyai sebarang agenda politik, atau cenderung kepada parti pemerintah mahu pun menolak pembangkang.

“Kita sebenarnya tidak ada unsur politik. Selama ini, kita orang Melayu tidak bersatu. Memang agama kita menyuruh umat Islam bersatu, tidak kira PAS, Umno, PKR, Pejuang, Amanah, Bersatu, semua perlu bersatu, (dan) orang Melayu Islam mesti memerintah, kerana negara ini majoriti orang Melayu, tanah Melayu.

“Yang (bangsa) lain bersama menyokong,” katanya.

Rahman berkata apabila negara diterajui pemimpin Islam, ia akan membawa kebaikan untuk semua, termasuk penganut bukan Islam.

“Kalau orang Islam memerintah, kita ada dasar kita, dia akan berfikir cara Islam, bagaimana nak majukan Islam, dan apabila kita majukan Islam, orang bukan Islam akan turut maju. Kita kena faham begitu,” katanya.

Rahman menolak sebarang tanggapan mesej dalam khutbah itu tidak berlaku adil kepada kaum lain.

“Bukan bererti kita cakap begitu, (maka) kita hendak wujud perkauman. Ia tidak benar sama sekali. Kita adil kepada semua bangsa, tak perlu bimbang. Kita tidak nampak akan berlakunya diskriminasi (bila Islam memimpin). Ia tidak akan berlaku ke atas bangsa lain.”

Bagaimanapun beliau mempertikaikan agenda DAP.

“Kita tidak menolak dia (DAP). Tapi kita nampak mereka bukan nak ikut kita. Mereka nak orang Melayu ikut dia, buat dia memerintah, dia nak jadikan sebuah negara republik. Adakah kita (Melayu) nak begitu?” katanya.

Semasa pemerintahannya selama 22 bulan, kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad sering dituduh di bawah telunjuk DAP yang ketika ini mempunyai Ahli Parlimen paling ramai dalam gagasan itu.

DAP juga sering dituduh oleh musuh politiknya sebagai anti-Melayu, namun dakwaan itu dinafikan keras oleh DAP dan parti komponen lain dalam PH.

Kerajaan PH tumbang Febuari tahun lalu apabila Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menarik keluar parti itu daripada PH dan menubuhkan kerajaan baharu dengan sokongan beberapa parti lain, termasuk Umno dan PAS.

Bagaimanapun Umno memutuskan kerjasama politiknya dengan Bersatu, manakala hubungannya dengan PAS, juga dilaporkan rapuh.

Rahman menegaskan khutbah yang diluluskan JMP itu bukan mesej terbuka kepada orang awam.

“Kita nak bercakap kepada orang Melayu dan orang Islam itu sahaja. Kita tak boleh nak politikkan. Kita nak beritahu kepada orang Melayu supaya bersatu itu sahaja. Itu matlamatnya.

“Kita orang Islam, kita mesti memerintah. Kalau tak ada pemahaman begitu, ertinya rosak – orang Melayu akan terjejas, agama sendiri tergadai, umat ini tergadai,” kata beliau.

Penggal kerajaan Perikatan Nasional, hanya berakhir pada Mei 2023, sungguhpun PRU diuar-uarkan pada penghujung tahun ini. - freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment