Wednesday, May 19, 2021

Pastikan Integriti Siasatan Terhadap Dakwaan Wujudnya “Kartel Polis”....

Isu ‘kartel polis’ dan campur tangan politik perlu tindakan segera, Ahli Parlimen gesa KPN
PETALING JAYA: Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu, Acryl Sani Abdullah Sani perlu memberi perhatian segera terhadap dakwaan salah laku dalam pasukannya dan campur tangan politik dalam urusan polis, gesa Charles Santiago.

Turut menyokong seruan Ahli Parlimen Klang itu adalah jurucakap dari Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) dan Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE).

Santiago berkata, Acryl perlu memastikan integriti siasatan terhadap dakwaan wujudnya “kartel polis”, dan memantau sehingga siasatan tamat.

“Ini tuduhan serius yang perlu disiasat. Jika tidak, rakyat akan mendakwa polis korup,” kata beliau.

Santiago merujuk kepada dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, bahawa terdapat sekumpulan pegawai polis muda telah membentuk kartel untuk mendominasi pasukan polis bagi memudahkan mereka membuat “kerja kotor”.

Santiago juga berharap Acryl dapat menegaskan kebebasannya dalam menjalankan tugas dan bukan “hanya mengambil arahan dari Menteri Dalam Negeri”.

Sebelum bersara, Hamid mendedahkan bahawa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menggunakan Cawangan Khas bagi tujuan politik.

Pada 30 April, Hamzah mengaku bahawa suara yang didengar dalam rakaman audio meminta seorang pegawai polis di Perak dinaikkan pangkat, adalah milik beliau.

Pengarah C4 Cynthia Gabriel menggesa Acryl menyiasat Hamzah kerana disyaki “campur tangan dalam pelantikan polis”.

Kata beliau, KPN baharu sepatutnya memupuk budaya akauntabiliti untuk menangani defisit kepercayaan terhadap polis.

“Pembaharuan skala penuh diperlukan. (KPN) perlu bertindak segera,” katanya.

Tambah Cynthia, pegawai-pegawai yang disyaki melindungi pesalah laku perlu disiasat segera.

Hamid bulan lalu mendakwa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard polis cuba menyembunyikan perbuatan salah laku.

Beliau mendakwa para pegawainya membenarkan individu yang memberi “habuan” kepada penyiasat terlepas daripada hukuman.

Cynthia turut menyeru agar Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan segera.

Presiden ACFE Malaysia, Akhbar Satar berkata bagi mendapatkan kepercayaan rakyat, Acryl perlu mengekalkan “warisan” Hamid, dengan membersihkan pasukan polis daripada amalan korup.

Beliau menyarankan syarat kemasukan ke pasukan polis dinaiktaraf bagi meningkatkan profesionalisme.

Ini termasuk menyerap individu yang memiliki kelulusan dalam bidang keadilan jenayah atau pentadbiran penguatkuasaan undang-undang. - freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment