Thursday, May 27, 2021

Penjarakan Sahaja Pesalah Tegar

PADA 15 Mei lalu, dilaporkan jenazah dan mayat pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh terpaksa disimpan di dalam kontena kerana peningkatan kes kematian dan kekurangan ruang simpanan mayat.

Terkini, jumlah kes harian yang disahkan positif melebihi 7,000 orang dan dijangka terus meningkat dan berkemungkinan mencecah 10,000 kes sehari.

Namun, saat barisan hadapan bertarung nyawa berkorban jiwa raga menyelamatkan keadaan, sedaya upaya mengekang penularan jangkitan, masih ada segelintir masyarakat kita yang tidak bertanggungjawab tegar melanggar undang-undang.

Tanpa segan silu berkongsi cerita di media sosial, seolah-olah bangga dapat melanggar undang-undang negara. Gesaan dan amaran akan bahana yang mungkin melanda saat kita melanggar prosedur operasi standard (SOP) dipandang enteng malah diperlekehkan.

Natijahnya, seluruh negara bungkam berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi. Bagi mereka yang dapat menikmati hidangan penuh dengan lauk-pauk, wang mengalir dalam akaun tanpa henti, bisa pula tidur lena berbantal empuk, PKP mungkin bukan satu masalah.

Kehidupan mereka masih diteruskan seperti biasa, masih selesa dan galak berkongsi senyum tawa di media sosial.

Namun, ini bukan keadaan bagi semua orang. PKP adalah tamparan maha hebat. Ia pastinya mengundang resah. Ia bererti kehidupan dalam segala kepayahan. Mungkin juga tidur dalam kelaparan. Kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu ada rezeki.

Malangnya pihak berkuasa seakan mengamalkan layanan bersifat pilih kasih. Pak menteri dan selebriti sewenangnya ke sana ke sini sedang rakyat marhaen dengan pantas dikenakan tindakan.

Saman dahulu, rayu kemudian. Namun, untuk golongan kayangan, acap kali ada laporan, yang kita dengar adalah siasatan akan dibuat, kenyataan akan diambil, pertuduhan akan dibuat. Bukan serta-merta.

Lebih mengguris hati rakyat kebanyakan, golongan kayangan yang melanggar SOP ini walaupun telah dikenakan hukuman, terus menerus menguji kesabaran semua dengan menayang aksi melanggar peraturan tanpa alasan munasabah. Pada mereka, undang-undang tiada nilai dan boleh dibayar dengan kekayaan serta populariti.

PENJARA SEBAGAI PENGAJARAN
Dalam sistem keadilan sesebuah negara, hampir setiap peraturan didatangkan bersamanya hukuman bagi mereka yang didapati bersalah melanggar undang-undang.

Dalam konteks undang-undang jenayah, hukuman dikenakan untuk mencapai beberapa tujuan antara lain, menghukum, mencegah, memulih dan menidakupaya. Hukuman denda umpamanya lebih bersifat menghukum manakala hukuman penjara lebih bersifat mencegah.

Mutakhir ini terdapat gesaan dibuat agar hukuman lebih tegas dikenakan terhadap ikon Muslimah negara, Noor Neelofa dan suami, Pencetus Ummah, Haris Ismail susulan tindakan mereka yang beberapa kali melanggar arahan pergerakan rentas negeri.

Terdahulu, dia dan suami telah pun dikenakan denda berjumlah RM60,000 kerana melanggar SOP majlis perkahwinan. Tindakannya merentas negeri ke Pulau Langkawi dan tidak lama kemudian ke Nilai, Negeri Sembilan mengundang kecaman hebat di media sosial. Terkini, sambutan Hari Raya Aidilfitri pula.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa Neelofa sahaja yang dikecam sedangkan ada individu lain yang melakukan kesalahan serupa? Pasti banyak bezanya.

Neelofa, walaupun tiada kuasa politik, mempunyai kuasa dan pengaruh media sosial yang sangat kuat. Tindak-tanduknya mampu mempengaruhi 8.6 juta pengikut Instagram dan 2.9 juta komuniti Twitter.

Lebih menyedihkan, dia tampil dengan imej wanita berniqab. Imej yang sepatutnya menonjolkan ketertiban dan kesopanan, bukan culas melanggar peraturan.

Maka wajarkah dia dipenjarakan kerana merentas negeri untuk membeli karpet? Saya katakan ada kewajaran. Tindakannya merentas negeri sekadar untuk membeli karpet bukan hanya salah di sisi undang-undang, tetapi juga moral. Ia seolah-olah mencabar kedaulatan undang-undang.

Sudahlah karpet itu bukan satu keperluan mendesak untuk meneruskan kehidupan. Jauh sekali penentu hidup mati. Jika diperlukan untuk tujuan amal sekalipun, pembelian boleh sahaja dilakukan di hujung jari.

Selayaknya hukuman yang lebih berat dikenakan. Bukan sekadar bertujuan menghukum tetapi juga pengajaran kepada pesalah berulang dan masyarakat umum. Lebih-lebih lagi ke atas tokoh masyarakat. Hukuman denda seakan sangat ringan untuk mereka yang mempunyai keupayaan harta.

Keupayaan yang bukan rahsia saat dia sendiri menawarkan diri untuk membayar bagi pihak penjual burger yang didenda RM100,000 kerana melanggar SOP.

Dalam kes ini, yang diperlukan adalah ketegasan undang-undang dan hukuman yang bukan sahaja bersifat menghukum tetapi mempunyai nilai teladan yang jelas dan tegas.

POPULARITI BUKAN PERCUMA
Pak Cik Ben pernah berpesan kepada Peter Parker: “With great power comes great responsibility.” Begitu juga populariti, ia hadir dengan tanggungjawab.

Apatah lagi jika populariti yang diraih adalah hasil sumbangan masyarakat umum yang tidak jemu mengangkat nama individu tersebut, menyokong perjalanan karier malah tidak keterlaluan jika saya katakan kekayaan yang dimiliki juga separuhnya hasil kemasyhuran yang dijulang para pengikut tegar.

Lebih berat tanggungjawab yang harus dipikul saat keterampilan individu itu dikaitkan dengan imej agama. Bertutup litup, berjubah dan berkopiah bermakna tanggungjawab sosial yang lebih berat.

Harus dijaga dan ditutup bukan sekadar kulit yang terlihat dek mata kasar, tetapi juga tatatertib dan tingkah laku di mata umum. Kerana setiap langkah adalah contoh, setiap ucapan adalah teladan.

Suka atau tidak, setiap gerak geri akan diperhatikan. Jangan kerana kelalaian seketika, seluruh imej agama ditohmah dan menjadi fitnah kepada umat Islam.

Oleh: Mizan Muhammad

No comments:

Post a Comment