Tuesday, May 4, 2021

Rasuah Seni Yang Merosakkan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini melaporkan 55 peratus daripada 1,902 tangkapan rasuah sejak 2013 di negara ini terdiri dalam kalangan belia berusia 40 tahun ke bawah.

Ini menjadi kerisauan kepada kita kerana belia ialah angkatan yang akan mengisi segmen utama pembangunan negara. Jika seawal ini mereka telah diherotkan oleh kleptokrasi, sukar untuk kepercayaan rakyat yang terhakis mendapat kembali tempatnya pada masa akan datang.

Integriti itu amanah. Apabila ia bocor, sukar untuk menampalnya. Jika dapat sekalipun, tentu sukar untuk membersihkan kesan dan bekas yang masih melekat pada tangan pelakunya walaupun telah dijahit dengan baju baharu.

Untuk mengetahui serius atau tidak rasuah di negara ini, saya ingin berkongsi data-data penting yang dikutip daripada buku kecil ringkasan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 terbitan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Dinyatakan sebanyak RM1.1 trilion telah dibelanjakan kerajaan untuk pembangunan bekalan dan perkhidmatan selama 20 tahun daripada Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) hingga ke RMK-10.

Lebih 50 peratus daripada jumlah itu, kontraknya telah dianugerahkan kepada usahawan bumiputera. Namun, jumlah usahawan bumiputera masih kecil berbanding bukan bumiputera. Kurang sembilan peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera direkodkan pada 2015.

Tidak syak lagi, rasuah telah merompak, menceroboh dan mensabotaj ekonomi negara serta menyebabkan agenda bumiputera telah terpesong daripada tujuan asal.
Satu lagi yang membimbangkan rasuah kini telah menjadi seni. Kerja untuk mencapai tahap seni memerlukan satu proses yang lama.

Sebagai contoh, terdapat sekumpulan perasuah menggunakan kelicikan memperdaya pembuat keputusan untuk mendapatkan kontrak kerajaan yang nilainya berbilion-bilion ringgit. Kerja ini telah mereka lakukan selama puluhan tahun.

Kartel itu beroperasi dengan cara memberi rasuah kepada orang dalam untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat, masa sesuai untuk menghantar borang tender dan sebut harga.

Dalam perniagaan, ia dinamai sebagai taktik ‘mengepung harga’ iaitu menyertai sesuatu tender dengan harga tertinggi dan terendah dikawal menggunakan sejumlah besar syarikat yang berada di bawah kawalan sindiket sama. Hasilnya, kelulusan tender berlegar di sekitar kartel berkenaan sahaja.

Sejak 2014, kartel itu telah memenangi tender kerajaan bernilai hampir RM3.8 billion dengan hanya menukar ‘baju’ sahaja. Memang berseni, sehinggakan kejelikan kerja mereka itu terlalu sukar dihidu.

Ini contoh terpilih bagaimana membarahnya rasuah sehingga ia diasah menjadi seni untuk memperdaya dan membolot kekayaan negara dalam kalangan beberapa perut sahaja.

Bayangkan peruntukan untuk rakyat akhirnya disabotaj oleh sesetengah kelompok sahaja. Kekayaan nampaknya berlegar dalam kalangan perasuah sahaja.

Kelompok berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) tidak menerima manfaat. Mereka mendapat sedikit sekali.

Kitaran kemiskinan akan terus kekal untuk beberapa lapisan generasi jika gejala tidak bermoral itu terus dipertahankan dan membudaya dalam masyarakat perdagangan.

Ingatlah, tekad untuk melawan rasuah ini tidak akan berjaya tanpa kemahuan politik untuk menjayakannya.

Oleh: Muhamad Hanapi Jamaludin
          Felow Penyelidik Majlis Belia Malaysia (MBM)

No comments:

Post a Comment