Wednesday, August 26, 2015

Al-Kisah Melayu Tanjung, DAP Dan Lupa Daratan

ORANG MELAYU Pulau Pinang bukan simpati pun dengan apa yang berlaku di Kampung Mutiara. Benarkah? Itu yang saya diberitahu oleh Melayu Tanjung yang lain.

Sebaliknya orang Melayu masih mengagumi kepemimpinan Lim Guan Eng.

Mereka kata LGE baik. Setiap tahun LGE menaja orang-orang Me­layu mengerjakan haji.

Malah derma LGE dihebah-hebahkan kepada jemaah lain di Mekah. Maka orang Melayu lain yang mendengarnya ternganga mulut.

Kumpulan yang naik haji di bawah tajaan kerajaan Pulau Pinang ini tidaklah sebesar yang dihantar oleh 1MDB, tetapi mereka merata dan tinggal dengan muassasah yang lain.

Menurut mereka apa yang berlaku di Kampung Mutiara itu kecil sahaja. Demi pembangunan apa salahnya?

Namun percayalah, apa yang berlaku kepada penduduk Kampung Mutiara itu akan senyap dalam beberapa minggu lagi. Macam Kampung Buah Pala, siapa yang bercakap lagi?

Macam penduduk kampung di Balik Pulau, siapa peduli lagi?

Alah, orang Melayu Penang ini hingaq depa sat saja.

Kerajaan Pulau Pinang sungguh halus dan kasar cara mereka menangani soal tanah dan perumahan. Kerajaan BN Pulau Pinang dulu bersopan dan tertib, tapi itu pun jatuh juga, ditolak oleh orang Melayu Pulau Pinang.

Selangor dan Pulau Pinang sama sahaja senarionya. Kedua-dua negeri itu kaya. UMNO dahulu juga masing-masing kaya.

Oleh itu jangan main-main de­ngan politik. Rakyat kini bukan rakyat dahulu lagi. Rakyat dahulu tidak ada media sosial. Rakyat sekarang walau pun perkara bohong yang dipaparkan kepada mereka, mereka percaya.

Apatah lagi jika perkara yang didedahkan itu benar-benar berlaku.

Nampaknya kerajaan DAP begitu menitikberatkan soal geopolitik atau kawasan geografi politik mereka.

Di Selangor, geopolitik atau kawasan politik orang Melayu juga kini semakin terhakis.

Pemimpin UMNO dahulu juga amat menitikberatkan geopolitik. Ia penting untuk survival politik mereka. Maka itu rumah-rumah murah diwujudkan di merata tempat di Lembah Klang dari Datuk Keramat sehingga ke Shah Alam.

Kini Kampung Kerinchi sudah hapus, Kampung Abdullah Hukum sudah hilang, Datuk Keramat apa sudah jadi, Sentul, Bukit Lanjan semua sudah jadi terlalu mewah.

Di Shah Alam kemungkinan kekuasaan Melayu akan semakin mengecil. Dahulu orang lain tidak suka dengan Shah Alam. Kini mereka sudah berpusu-pusu masuk.

Kononnya ada satu projek kondo di Seksyen 14, Shah Alam (di te­ngah-tengah bandar raya) kuota bukan bumi terpaksa ditambah kerana permintaan yang tinggi.

Kononnya lagi, permohonan pemaju swasta kondo itu yang di JV dengan sebuah anak syarikat kerajaan negeri, sudahpun diluluskan. Kuota bukan bumi dinaikkan dan logiknya sudah pastilah kuota bumi pula terpaksa dikurangkan? Hairan ya, orang Melayu yang mahu membeli di situ diberitahu “sudah habis”.

Itulah hakikatnya.
Sebaliknya DAP yang mendapat mandat memerintah, sedang me­lakukan apa yang dilakukan UMNO pada tahun-tahun 70-an dan awal 80-an dahulu.

Itulah yang berlaku di Pulau Pinang. Mereka sedang melakukan aktiviti pecah dan perintah terhadap orang Melayu di kawasan pulau.

Apa yang pasti tapak Kampung Mutiara itu akan menjadi kondo dan pangsapuri yang melepasi kemam­puan orang Melayu untuk membeli­nya.

Berbeza dengan rancangan rumah murah di Lembah Klang sekitar 70-an dulu, di Pulau Pinang mereka akan membina rumah-rumah mewah.

Ikut perangkaan yang disiarkan semalam oleh Institut Penyelidikan Khazanah purata harga rumah di Pulau Pinang mencecah RM300,000.

Bagi saya apa yang dilakukan kerajaan DAP LGE itu betul. Seperti dalam perlawanan sukan, siapa yang cepat, bijak dan bermain dengan penuh strategi dia akan menang.

Sebaliknya, siapa yang lupa daratan dan tak sedar diri akan tersungkur.

Monday, August 24, 2015

Cermin Diri Dan Betulkan Diri

Tanya diri kita, siapakah diri kita yang sebenarnya? Kalau kita kata, “Saya Ahmad”, dan kita letak nama Ahmad itu di atas gambar, adakah gambar itu menjadi Ahmad? Kalau benar, bermakna gambar kita menentukan siapa kita. Oleh sebab itu, cuba lihat ke dalam cermin. Kita nampak gambar diri kita dalam cermin. Kemudian dengan memandang gambar kita dalam cermin dan memandang diri kita di luar cermin, tanya siapa diri kita yang sebenar? Adakah diri kita yang sebenar kita yang "melihat" cermin itu, atau apa yang "dilihat" dalam cermin itulah diri kita?

Yang "dilihat" (dalam cermin) wajah kita 10 tahun yang lalu, sama atau tidak dengan kita yang kini? Tentu tidak sama. Sebab organ fizikal kita sentiasa berubah. Ertinya yang "dilihat" dalam cermin itu adalah fizikal kita yang selalu berubah. Diri kita yang sebenar adalah roh kita yang "melihat" diri kita dalam cermin. Sebab orang yang "melihat" itu adalah diri kita (roh orang yang sama) yang tidak berubah, walaupun fizikal/jasad kita sudah berubah.

Dengan memahami konsep mengenali diri, (membezakan antara diri fizikal dengan diri roh kita) ini, barulah kita tahu prioriti. Iaitu prioriti diri kita yang mana lebih perlu diperbetulkan; roh atau jasad? Tentu kita tidak lagi terlalu fokus setiap hari untuk sangat sibuk dan teliti, hendak mencantikkan diri fizikal/jasad kita sahaja, apabila kita telah tahu yang mana prioriti diri. Sebab kecantikan fizikal/jasad lebih untuk dilihat dan dinilai, agar mendapat penghargaan, pujian dan pengiktirafan manusia.

Lazimnya, semakin banyak kita mencari perhatian orang lain, maka semakin kurang masa kita untuk memberikan perhatian kepada orang yang terdekat dengan kita (keluarga), malah keadaan menjadi lebih buruk apabila kita semakin tidak berkesempatan meluangkan masa untuk Allah. Ingatlah, jika kita tidak ada masa untuk Allah, Allah juga tidak ada masa untuk kita. Sebab dalam pangkal ayat 7 surah Az-Zumar, jelas kita fahami firman Allah ini, “Jika kamu kafir, maka sesungguhnya Allah tidaklah memerlukan kamu....” Jangan kita menyangka, bahawa Allah yang sangat mengharapkan pengabdian kita kepada-Nya, sehingga seandainya kita ingkar Allah berasa rugi dan kedudukan-Nya sebagai Yang Maha Berkuasa terjejas.

Kalau kita faham diri kita yang sebenar ialah roh, kita akan menjadi seorang yang sangat fokus kepada pembersihan jiwa dan memberikan makanan kerohanian/spiritual kepada roh kita dengan ilmu dan amal. Hal ini adalah kerana, roh diri kita yang akan menghadap Allah sedangkan jasad akan binasa hancur bersemadi menjadi tanah. Oleh sebab itu kita sentiasa bertaubat dan berniat memperbaiki diri. Jaga akhlak, "dunia dalaman" kita menentukan "dunia luaran" kita. Iaitu apa yang ada dalam minda dan hati kita menggambarkan fizikal/jasad kita. Semuanya bermula dari fikiran/minda/akal maka kerana itu betapa perlunya kita mengawalnya agar sentiasa berada dalam posisi yang positif.

Keadaan frekuensi gelombang otak dalam diri seseorang menentukan aktiviti fikiran dan tingkah laku seseorang dalam kehidupan seharian kita. Frekuensi gelombang otak manusia berbeza-beza mengikut emosi atau suasana. Kajian menunjukkan frekuensi gelombang otak bukan sahaja menunjukkan keadaan fikiran dan tubuh seseorang, tetapi dapat juga dirangsang untuk mengubah keadaan mental seseorang.

Sebab itulah dalam konsep pemikiran "Reset Minda" ditekankan tentang bagaimana dengan mengawal fikiran dan emosi, respons atau tindakan kita juga dapat dikawal. Sebab itu dalam peribahasa Melayu banyak dikias ibaratkan tentang akal dengan tindakan dan personaliti seseorang ditentukan oleh akal.

Antaranya, “Akal akar berpulas tak patah” maksudnya, orang yang pandai, tak akan mudah kalah dalam perdebatan. “Akal labah-labah; di gua buruk suka merakut (memasang jaring)” bererti, orang jahat yang suka menipu orang. “Akal sebagai makan nasi lecek” maknanya, orang yang fikirannya seperti anak-anak. Demikianlah hakikatnya, mental/fikiran, spiritual/kerohanian dan emosi mempengaruhi manifestasi kepada fizikal kita. Oleh sebab itu bersihkan jiwa/roh kita daripada emosi dan fikiran negatif.

Membersih jiwa
Kita tidak akan membersihkan jiwa kita selagi kita hanya sibuk melihat keburukan dalam diri orang lain. Salah satu cara Allah memberikan kebaikan atau hidayah kepada seseorang, adalah apabila kita sibuk melihat kesilapan diri dan sibuk melihat kebaikan orang lain, hingga kita tidak sempat hendak melihat keburukan orang. Manusia paling malang ialah manusia yang menyembunyikan keburukan diri, tetapi sibuk mencanangkan keburukan orang, dan sentiasa berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.

Namun begitu, hakikatnya bolehkah kita nampak diri kita sendiri? Bukankah pandangan mata kita mempunyai batasan untuk boleh melihat diri kita sendiri? Tanpa bantuan cermin kita tidak dapat melihat diri kita sendiri. Hanya mata orang lain yang dapat melihat kita dan menilai siapa kita di matanya. Cerminlah diri kita dengan orang yang rapat dengan kita, (pasangan kita suami/isteri, ibu bapa, atau sahabat sejati).

Cari orang yang boleh menjadi cermin diri dan keperibadian kita, yang akan jujur memberikan pendapat serta menegur kita apabila nampak kesilapan dan kekurangan kita, sesungguhnya inilah langkah pertama untuk memperbaiki diri. Langkah kedua, untuk memperbaiki diri, cari guru yang baik, yang boleh memberikan nasihat dan membersihkan hati kita daripada hidup dalam "kesedaran keegoan" yang tinggi kepada ‘kesedaran ketuhanan’ yang tinggi.

Ketiga, manfaatkan orang yang tidak baik dengan kita atau musuh kita. Sunnatullah tidak semua orang suka akan kita, dan tentu ada orang yang iri hati dan benci akan kita, atas sebab-sebab tertentu, kerana kita tidak mampu memuaskan hati semua orang yang pelbagai fiilnya. Orang menyakitkan hati kita dengan kata-kata, adalah peluang untuk kita perbetulkan diri dan belajar bersabar.

Jadilah kita orang yang sangat suka menerima teguran, serta tidak suka dipuji dan tidak takut dikeji. Untuk mengetahui kekurangan dan kelemahan kita tanyalah musuh kita, tetapi untuk mengetahui kebaikan kita tanyalah kawan-kawan kita. Kelemahan kita walaupun sedikit akan diperbesar-besarkan oleh musuh kita. Tetapi, kawan-kawan demi menjaga hati dan hubungan dengan kita, mereka akan bercakap yang baik-baik sahaja tentang kita.

Sebab kawan-kawan lazimnya untuk masa bersuka sahaja dan bermuka-muka, macam duit syiling; di depan lain di belakang lain. Tetapi, bagi seorang sahabat, sahabat seperti cermin; apabila kita gembira dia turut gembira, apabila kita sedih dia turut bersedih, apabila kita sakit dia juga turut berasa sakit, susah senang tetap bersama. Sahabat akan bercakap benar tentang kebaikan dan keburukan kita. Biarpun dia tahu kita tidak suka mendengarnya, tetapi demi kebaikan, dia tetap menyatakannya dengan ikhlas dengan harapan kita memperbaiki kelemahan dan bersemangat dengan kelebihan kita.

Terimalah kritikan itu sebagai teguran. Ingatlah, pada hari kita tidak boleh menerima teguran, bermakna pada detik itu bermulalah kejatuhan kita dan kita tidak menemui jalan memperbaiki diri, agar menjadi lebih baik daripada semalam. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Sumber : utusan malaysia

Sunday, August 23, 2015

Menuju Republic Of Pulau Pinang

Tema dan DAP
Sekali lagi kerajaan DAP Pulau Pinang melakukan provokasi dalam soal sambutan Hari Kebangsaan ke-58. Pendirian kerajaan negeri untuk menggunakan tema berlainan daripada Sehati Sejiwa, sesuatu yang menjijikkan. Apatah lagi memilih tema Bersih yang ada kaitan dengan rancangan perhimpunan haram tidak lama lagi, sebelum menukar kepada Bersih, Cekap dan Amanah selepas mendapat bantahan ramai. 

Masih segar dalam ingatan Awang bagaimana suatu ketika dulu DAP memperlekehkan slogan Bersih, Cekap dan Amanah di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad. Nampaknya kini pemimpin DAP sudah "insaf" atau bagai menjilat ludah sendiri dengan mahu mengangkat slogan itu menjadi tema sambutan. 

Awang sebut menjijikkan kerana DAP keterlaluan dalam berpolitik. Tema sambutan Hari Kebangsaan sepatutnya dikongsi bersama oleh semua kerajaan negeri tidak kira dikuasai parti mana. Itulah amalan dan konvensyen di seluruh dunia, semua parti politik menjunjung Hari Kebangsaan negara masingmasing sebagai simbol patriotisme dan kedaulatan. Tidak timbul sama sekali menggunakan tema berasingan walaupun di wilayah autonomi. Berbeza kerajaan negeri Pulau ini, yang sejak 2012 menggunakan temanya sendiri. 

Ternyata Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah memberi mesej yang salah kepada rakyat Malaysia. Sama ada disengajakan atau tidak dengan niat tertentu, Awang tidak pasti. Apakah ini juga satu lagi petunjuk ke arah membawa Pulau Pinang keluar daripada Malaysia dan setapak lagi keyakinan DAP menuju impian agar tanah air ini menjadi negara republik? Awang tiada jawapan. Yang pasti negeri itu masih di bawah Malaysia dan Guan Eng hanya Ketua Menteri (bukan menjadi Perdana Menteri). Selagi itu realitinya, berpeganglah kepada pepatah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Buruh asing yang baharu tiga bulan membanting tulang di bumi bertuah ini, pun faham maksudnya.

Saturday, August 22, 2015

Suami Penentu Hala Tuju Keluarga

Menjadi penghuni syurga atau sebaliknya
SUAMI gelaran yang mudah disebut dan pastinya diimpikan oleh setiap lelaki, namun tanggungjawab untuk menjadi ketua dalam rumahtangga itu tidaklah semudah disangka.

Bukan sahaja perlu memikirkan hal dalam rumah tangga, malah lebih daripada itu kerana suami juga yang menentukan hala tuju ahli keluarga sama ada bakal menghuni syurga atau menerima azab neraka di akhirat kelak.

Ini kerana, institusi keluarga yang terdiri daripada anak-anak dan isteri merupakan anugerah dan amanah daripada Allah SWT terhadap suami dalam membentuk peribadi mereka untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat kelak.

Ia sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang kasar, bengis (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah terhadap setiap perkara yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap (setia) melaksanakan segala yang diperintahkan.” (al-Tahrim: 6)

Oleh itu, sebagai seorang suami dan bapa, ilmu, daya tahan iman yang utuh, stamina amal yang teguh, kemahiran dan kesabaran dalam mendidik merupakan aspek terpenting dalam membawa keluarga kepada haluan lebih baik.

Terdapat tiga perkara yang perlu diambil kira oleh ketua keluarga iaitu memberikan pendidikan dan tarbiah Islam kepada anggota keluarga; menjaga dan memelihara anak dan isteri serta menghidupkan budaya syariat Islam dalam rumah tangga.

ILMU DAN TARBIAH ISLAM
Peredaran semasa menjadikan dunia semakin berkembang maju dan pastinya zaman seorang bapa adalah berbeza dengan kehidupan anak-anak. Inilah yang perlu dititikberatkan oleh seorang bapa dalam mendidik anak-anak dengan menyediakan ilmu pengetahuan duniawi kepada isteri dan anak-anak, malah dalam masa sama perlu turut menguasai perkembangan ilmu tersebut.

Dalam mengejar ilmu dunia, ilmu akhirat tidak boleh dilupakan tetapi perlu diseimbangkan. Mendidik anak-anak dan isteri menguasai pelbagai ilmu agama juga merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dipandang remeh oleh seorang suami.

Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia”, (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikit pun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami dari azab neraka”. Mereka itulah yang akan mendapat kebaikan yang baik daripada apa yang telah mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.” (al-Baqarah: 200-202)

MEMELIHARA KELUARGA
Institusi keluarga merupakan tunjang kepada kesinambungan rantaian manusia daripada satu generasi ke generasi yang lain. Justeru, generasi keluarga yang mengamalkan hidup Islam tulen bakal menghasilkan generasi baharu Muslim yang unggul.

Namun jika sebaliknya, keadaan keluarga yang porak peranda, haru-biru, kacau-bilau dan tiada hala tuju, pastinya kelahiran generasi Muslim akan terencat dan terbantut.

Lantaran itu Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan berilah peringatan dan amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.” (al-Syuara’: 214)

Peringatan paling penting ialah supaya berpegang teguh dengan akidah Islam dan jangan sesekali mensyirikkan Allah SWT. Inilah yang telah dipesan oleh seorang bapa contoh yang bernama Luqman al-Hakim kepada anak-anaknya.

Ia sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Hai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (al-Luqman : 13)

MEMBUDAYAKAN ISLAM
Kedengaran mudah, namun asas membudayakan Islam menuntut kesabaran yang tinggi. Perkara itu adalah termasuk mendirikan solat dan memerintahkan setiap ahli keluarga melaksanakannya.

Selain itu, perkara yang perlu dijadikan budaya dalam kalangan ahli keluarga ialah perihal pengurusan kewangan keluarga. Anak-anak perlu didik supaya menjadi amanah, berbelanja berdasarkan keperluan, bersedekah, mengamalkan sikap berjimat cermat dan membuat simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan.

Semua perkara ini tidak akan dapat dijadikan budaya tanpa ada kerjasama daripada isteri. Sehubungan itu, keserasian dengan isteri dan sentiasalah berbincang bersama dalam membentuk sebuah keluarga bahagia dan harmoni bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat.

Susunan Mohd. Shah Che Ahmad

Thursday, August 20, 2015

Apa Surat Khabar Cina Kata....

Hapuskan DEB?
AKHBAR China Press bertarikh 18 Ogos 2015 menyiarkan artikel yang menyorot kembali polisi Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang pernah dipertikaikan oleh pembangkang.

Artikel ditulis oleh Lai Shao Kwang bertajuk ‘Tidak boleh hapuskan DEB’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15. Berkaitan isu itu, DAP ditanya tentang pendirian mereka. Malah penulis secara menyindir juga bertanyakan sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mencadangkan untuk menghapuskan DEB sebelum beliau disumbat ke dalam penjara.

Sebelum 2008, Pakatan Rakyat (PR) diketuai Anwar pernah mempertikaikan polisi DEB yang memberi keadilan kepada rakyat khususnya masyarakat Cina. Isu ini juga telah dibahaskan dalam sidang-sidang dewan. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum dan pakatan pembangkang dapat kuasa memerintah di beberapa buah negeri, isu DEB yang diperjuangkan oleh ‘pahlawan-pahlawan’ yang dikatakan penyelamat bangsa ini, semakin pudar.

Mereka tidak lagi berteriak untuk berbincang sama ada hendak menghapuskan polisi DEB ataupun tidak. Penulis mewakili pengundi juga tertanya-tanya sekiranya isu berkenaan sudah tidak penting lagi atau PR seboleh-bolehnya tidak mahu menyebut atau menyentuh perkara itu lagi.

Pada 2012, menerusi ‘buku’ dicetak PR yang menggantikan Laporan Bajet, Anwar mengkritik keras polisi DEB yang disifatkan beliau sebagai polisi lapuk. Lim Kit Siang juga pernah meminta Tun Abdullah Ahmad Badawi agar membincangkan isu DEB dalam Perhimpunan Agung UMNO ketika itu. Polisi DEB, katanya, tidak adil melainkan dibuat semata-mata untuk kepentingan parti pemerintah dan orang politik sahaja.

Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan think tank kerajaan Pulau Pinang, Dr. Ong Kim Fat dalam artikelnya menyebut polisi DEB pada hakikatnya tiada kaitan dengan sesuatu kaum kerana orang Melayu Islam sendiri tidak dilayan dengan adil.

Katanya lagi, polisi DEB tidak dapat membantu orang Melayu yang benar-benar hidup susah selain tidak mampu membina semangat kaum Bumiputera itu untuk berjuang. Buktinya, kaum itu masih belum dapat bersaing biarpun kerajaan sudah menghulurkan bantuan.

Kembali kepada persoalan penulis, apakah perjuangan DAP untuk menghapuskan polisi DEB masih relevan dan bertepatan ketika ini? Hakikatnya, bukan senang DAP dapat memerintah Pulau Pinang, justeru Guan Eng diminta tidak terus terperangkap dengan perjuangan itu.

Malah Ong Kim Fat dan Liew Chin Tong mencadangkan agar PR merangka strategi yang lebih jelas menggantikan sistem sedia ada demi survival parti, sekurang-kurangnya strategi yang dapat mengimbangi kepentingan pemimpin PR pada masa depan.

Walaupun kunci kuasa sudah ada di tangan, namun DAP masih tidak mampu menghalang hasrat Pas mahu melaksanakan hukum hudud, justeru kenapa pula mahu membantah DEB habis-habisan?

Sumber : utusan malaysia

Wednesday, August 19, 2015

UMNO Dan Orang Melayu Hari Ini

Image result for UMNOKATA-KATA amarah orang Melayu kini cukup memuncak. Sehinggakan ada antaranya berkata, apa UMNO telah buat kepada orang Melayu selama ini?

Yang bercakap begitu ialah pegawai kerajaan, yang bekerja dengan kerajaan pimpinan UMNO, yang menerima gaji daripada kerajaan dan membesarkan anak-anak melalui sistem itu.

Saya tak salahkan orang itu. Orang yang marah selalunya akan melakukan perbuatan yang tidak masuk akal, kerana akalnya tidak tenteram.

Suasana politik orang Melayu hari ini cukup mencabar.

Sehinggakan profesional Melayu pun terpengaruh.

Sekiranya fiasco yang berlaku hari ini - sama ada betul atau tidak - dicipta semata mata untuk kehancuran kerajaan Melayu yang ada ini - orang yang merencanakan itu cukup berjaya.

Arkiteknya sekarang boleh melagakan botol bir dan berkata “tahniah misi hampir berjaya”. Misi harus istiqamah sehingga PRU-14.

Jika kita imbas semula isu yang ditimbulkan kita tahu siapa yang mencetuskannya. Tak perlulah saya sebut di sini.

Kecelaruan fikiran orang Melayu yang berlaku sekarang sama seperti sebelum tertubuhnya UMNO pada tahun 1946. Ketika itu British melancarkan apa yang dikenali sebagai Malayan Union atau Kesatuan Tanah Melayu yang antaranya untuk mengekang kuasa Melayu dan raja-rajanya.

Orang Melayu sedar akan muslihat orang putih pada masa itu. Itu kerana pada masa itu tidak ada WhatsApp atau Facebook dan Twitter, maka fokus ke arah pembetulan telah dilakukan.

Jika teknologi itu ada pada masa tersebut, suasananya sama seperti yang dirasai hari ini. Semua orang mahu memberi pendapat, pandangan, komen, dialah yang maha bijak, dan tahu serba-serbi.

Oleh kerana Melayu bersatu pada masa itu maka tertubuhlah UMNO bagi menentang Malayan Union.

Tujuan saya menulis mengenai hal ini pada hari ini bukan mahu menyebelahi sesiapa, tiada arahan daripada sesiapa pun.

Ini adalah daripada hati saya. Saya berkongsi perasaan dengan seorang kawan itu tadi yang kini menolak segala-gala kebaikan yang selama ini dikecapinya semata-mata kerana marah dan amarah.

Namun saya hari ini masih waras. Saya masih berpijak di bumi nyata, iaitu bumi Tanah Melayu yang sungguh dicemburui banyak pihak ini.

Saya menganalisis mengapa satu demi satu institusi milik orang Melayu mahu dicemarkan bermula dengan 1MDB, Tabung Haji, Mara dan seluruh kerajaan milik kaum Bumiputera ini.

Apa motifnya sebenar? Mengapa Pas juga mahu dihancurkan dan dipecahbelahkan dalam waktu yang singkat ini?

Seperti yang saya selalu sebut, parti politik hak Melayu hanya ada dua sahaja di negara ini iaitu UMNO dan Pas?

UMNO kini menghadapi dugaaannya yang paling getir dalam sejarah penubuhannya. Ini diakui sendiri oleh mantan Setiausaha Agungnya, Tan Sri Sanusi Junid baru-baru ini.

Jika Pas juga sedang diadudombakan, siapakah tangan-tangan ghaib yang melakukan itu? Siapa yang menaja penubuhan Pasma dan kini Gerakan Harapan Baru, yang bunyinya sahaja ala-ala sebuah pertubuhan Kristian?

Wahai orang Melayu sedarlah, musuh-musuh kamu kini sudah terlalu ramai - sama ada dalam lingkungan sendiri mahupun luaran termasuk elemen luar negara sendiri.

Mereka mahu memastikan institusi ini dihancurkan dan satu negara baharu dibentuk. Itulah tujuan Arab Spring sebenarnya. Itulah yang terjadi sehinggakan Syria hancur-lebur dan Palestin tiada siapa yang peduli.

Sedarkah orang Melayu siapa yang mewujudkan IS, Islamic State atau Negara Islam dan mengapa media barat sudah tidak menyebut al-Qaeda lagi?

Siapa agaknya yang mewujudkan kedua-dua pertubuhan itu? Jika al-Qaeda diwujudkan kononnya oleh CIA bagi melawan Rusia di Afghanistan, siapa pula yang mewujudkan IS?

Adakah kerana al-Qaeda gagal memberi impak untuk merosakkan Islam, lalu ia ditiadakan? Lalu dilenyapkan Osama Ben Laden, yang tiada berkubur itu, yang kononnya dibuang Amerika ke laut itu?

Lalu tiba-tiba muncul pula IS yang tindakannya terlalu kejam bagi memberi impak maksimum mengenai teruknya orang Islam. Diberi lagi impak namanya pula ialah Islam, lalu disebut hari-hari oleh media dunia dengan panggilan Islamic State.

Kini kekejaman itu lebih nyata lagi. Islam diburukkan seburuk-buruknya dalam sejarah dunia.

Nampak tak? Ia adalah taktik. Sama ada dalam peperangan atau dalam politik, taktik gerak saraf boleh digunakan semaksimum mung­kin bagi menghancurkan se­sebuah bangsa, negara, agama dan tanah air.

Begitulah yang terjadi kepada Islam dan Malaysia hari ini.

Apapun musuh kita akan gagal jika kita masih waras, bertenang. Tetapi malangnya yang marah, kecoh, banyak bercakap, keliru, kebengongan adalah orang Melayu sendiri. Kaum-kaum lain senyap dan terus beristiqamah dalam pekerjaan mereka.

Jika benar wujud kekhilafan kepada mana-mana pihak kita mendoakan Allah SWT menyebelahi kita. Sebagai orang Islam kita berserahlah kepada-Nya. Ia adalah mercu kita.

Sesungguhnya Malaysia ini ada keramatnya. Silih berganti krisis yang berlaku, ia akhirnya dapat diatasi dengan jayanya.

Itu pasal pepatah Melayu itu amat kaya. Antaranya, Jangan Takut Dengan Bayang-Bayang, Menang Sorak Kampung Tergadai, Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh.

Sesungguhnya UMNO sebagai sebuah institusi tidak bersalah. Sesungguhnya kejayaan mana-mana anak Melayu hari ini adalah kerana parti itu dan para pemimpinnya yang terdahulu. Walaupun kita tidak mahu mengakuinya, itulah hakikatnya.

Saya mahu memetik satu kisah yang saya terima:

Wahai anak-anak muda Melayu dan orang Melayu sendiri. Kaji dan bacalah sejarah. Jadikan sejarah sebagai teladan supaya bangsa ini takkan lenyap di arus zaman.

Jangan jadi Melayu Champa, daripada kerajaan yang hebat suatu masa dulu kini merempat di bumi sendiri, Kemboja!

Oleh itu, Janganlah Kerana Marahkan Nyamuk Kelambu Dibakar...

Yang salah ialah nyamuk bukan kelambunya...

Oleh : Cuit Zaini Hassan

Saturday, August 15, 2015

Strategi DAP Dengan impian Malaysianya

DAP sejak ditubuhkan pada 1965, mempunyai impian besar untuk memerintah Malaysia. Roh PAP Singapura yang dimilikinya walaupun sudah bertukar kepada Impian Malaysia tetapi tekad Malaysian Malaysia tetap tidak berubah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) DAP telah berjaya mempengaruhi orang Cina menjadi faktor penting dalam Pakatan Rakyat (PR) dan membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas memenangi banyak kerusi. DAP dan sebahagian besar orang Cina menjadi de facto atau bukti nyata menggugat UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara jangka panjang.

DAP tahu kekuatan UMNO dan BN tidak mudah digugat melainkan orang Melayu dalam PKR dan Pas bersama. DAP menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai aset utama melakukan lonjakan ke Putrajaya walaupun DAP tahu Anwar juga liabiliti atau beban bagi strategi perjuangannya dan melunakkan Pas dengan perjuangan negara Islamnya kepada negara berkebajikan.

Seperti diketahui DAP mempunyai sikap yang jauh berbeza dengan perjuangan Pas. DAP boleh bersetuju dengan Islam yang sifatnya individual bukan negara atau sistem. Ternyata apabila Pas ingin kembali kepada perjuangan Islam dan aplikasi Syariah Islamiah tembelang sebenar DAP terlihat.

Anwar dan PKR mengambil sikap yang sama dengan DAP walaupun Enakmen Syariah Kelantan itu dalam batas takzir bukan hudud yang sebenar. Anwar boleh menyokong DAP walaupun Anwar pernah memimpin Angkatan Belia Islam (ABIM) dan mahu menjadikan Islam sebagai suatu sistem yang diperkasakan tetapi kini berubah hala kerana muslihat politik dan ingin menguasai Putrajaya.

Kemelut yang sedang berlaku dalam UMNO kini boleh memberi keuntungan kepada strategi DAP dan strategi DAP mendukung Gerakan Harapan Baru (GHB) adalah usaha melemahkan Pas dan menyediakan regu dalam PR untuk menjadi ‘lembu-laga’ dan menjatuhkan UMNO, BN dan Pas.

Lim Kit Siang yang menjadi dalang utama menggerakkan GHB dalam sebuah majlis di Pontian baru-baru ini seperti yang dilaporkan oleh The Star Online menyatakan: “Ini nanti (pelancaran GHB) akan menjadi suatu sejarah buat politik Malaysia di mana akan lahirnya sebuah parti Islam (baharu) yang inklusif dan lebih terbuka min­danya”.

Apa maksud Kit Siang parti Islam yang inklusif dan lebih terbuka mindanya? Parti Islam yang inklusif pada hemat penulis bukan sifatnya peribadi dalam batas ritual semata tetapi harus menepati maksud Islam itu sendiri sebagai suatu sistem kepercayaan dan juga cara Hidup.

Cara hidup Islam kalau difahami oleh DAP mengutarakan asas keadilan dan kesaksamaan. Islam pernah muncul sebagai suatu tamadun lebih 700 tahun dan menyebabkan berlakunya pencerahan di Barat dengan integrasi ilmu agama, sains dan teknologi. Pendekatan DAP adalah liberal sekular dan menolak agama sebagai unsur penting dalam bernegara.

Peliknya ada kelompok-kelompok gerakan Islam bersama dalam Impian Malaysia DAP dan menentang Pas dan ingin menjatuhkan kerajaan memahami bahawa DAP memperjuangkan keadilan, kesamarataan bukan mengambil pendekatan Islam tetapi pendekatan liberal dan sekular pragmatik berorientasikan sosialis demokratik.

Pendekatan ini sangat bercanggah dengan pendekatan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan ABIM yang puluhan tahun sistem tarbiahnya memperkasa Islam dalam sistem dan menjadikan patuh syariah sebagai asas binaan sistem dan negara.

Apa muslihat politik mereka tidak mahu bersama dengan gerakan politik yang menjadikan Islam sebagai strategi pemerkasaan sistem dan negara yang sedang berlaku di Malaysia kini walaupun dengan cara gradual dan sederhana.

Melakukan analisis mengenai Impian Malaysia DAP, ia berkait rapat dengan strategi PAP di Singapura. Dr. Lily Zubaidah dalam bukunya ‘The Singapore Dilemma: The political and Educational Marginiality of the Malay Community’, Oxford University Press, 1998, menunjukkan perbezaan pekerja lelaki Melayu dan Cina selepas 23 tahun Singapura mencapai kemerdekaan sebagai sebuah negara republik.

Didorong sama ada oleh agenda politik yang menjurus untuk memajukan kepentingan politik PAP ataupun kerana memang betul-betul jahil tentang sejarah, budaya dan penduduk pribumi di rantau ini, Lee Kuan Yew mengaitkan orang Melayu Malaysia dari keturunan Indonesia sebagai pendatang yang sepatutnya setaraf dengan masyarakat pendatang lain (Mauzy, 1983:32).

Faktor sejarah dan budaya jelas menyatakan bahawa Malaysia, Si­ngapura dan Indonesia berada dalam lingkungan Dunia Melayu atau Alam Melayu seperti entiti Taiwan dan Hong Kong berada dalam lingkungan Dunia Cina dan Alam Cina. Kedatangan orang Melayu dari Indonesia ke Singapura dan Tanah Melayu (Malaysia) adalah perpindahan dalam dunia mereka dan bukannya pendatang asing.

Straits Times Singapore, 3 Februari 1988 menyatakan Banci Penduduk 1980 secara samar-samar mentakrif Melayu atau Indonesia seperti orang Jawa tanpa mengaitkannya dengan Islam. Walaupun sembilan Ahli Parlimen Melayu mengusulkan kepada Jawatankuasa Pilihan untuk Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) supaya memasukkan kriteria Islam ke dalam takrif Melayu tetapi Jawatankuasa Pilihan tersebut mentakrif Melayu bukan dari segi Islam.

Maklumat di atas menjadi terlalu jelas mengenai peminggiran orang Melayu di Singapura se­perti yang sedang berlaku di Pulau Pinang dalam isu perumahan rak­yat mampu milik.

Impian Malaysia mengambil model Singapura yang memberi fokus kepada Malaysian Malaysia boleh terjadi kerana majoriti orang Cina yang menyokong DAP dan sekutunya menguasai sumber ekonomi dan pendidikan juga aktif dalam pembangunan bandar-bandar ba­haru dan mendalamkan lagi jurang ekuiti serta memba­ngunkan perumahan mewah sebagai tanda berlakunya pertumbuhan dan memberi fokus kepada pembangunan harta tanah yang tidak mampu dibeli oleh orang Melayu dan menyebabkan taburan penduduk menyumbang kepada politik DAP jangka panjang dan boleh meminggirkan orang Melayu akhirnya.

Senario ini sangat penting diinsafi oleh orang Melayu kerana pemerintahan yang ada memberi ruang luas untuk orang Cina penyertai pembangunan ekonomi dan juga pendidikan di samping membangun keadaan ketidakseimbangan yang dialami oleh orang Me­layu.

Oleh : Ibn Hikam

Tuesday, August 11, 2015

Krisis Politik Melayu Membimbangkan

KRISIS politik dalam kalangan orang Melayu adalah sesuatu yang membimbangkan. Sejarah UMNO dan Pas sentiasa berdepan dengan konflik dan perpecahan. Perpecahan itu akhirnya berhujung. UMNO dan Pas kembali semula kuat dan ahli-ahlinya bersatu.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) walaupun ada pasang surutnya masih tetap menjadi kerajaan yang memerintah. Orang Melayu masih memikirkan soal kuasa dan negara. Pas walaupun bersama dengan pakatan pembangkang masih belum lagi menguasai Putrajaya. Lebih-lebih lagi Pas sedang menghadapi krisis dengan komponen Pakatan Rakyat dan krisis dalaman, muncul pula kecenderungan ahlinya me­nubuhkan parti baharu dalam kalangan mereka yang kalah dalam pemilihan Muktamar Pas baru-baru ini.

Bila UMNO menghadapi cabaran akhir-akhir ini dikatakan defisit sokongan terjadi. Ada beza antara persepsi awam dan kelompok yang memang diketahui anti UMNO dan kerajaan dengan kelompok majoriti yang masih bertahan mendukung kerajaan. Penyusunan semula Kabinet dan pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dilihat dalam berbagai perspektif dan andaian kemungkinan.

Pertama ia adalah prerogatif atau bidang kuasa Perdana Menteri yang mengambil keputusan yang kontroversi. Kedua, rentetan daripadanya mungkin berlaku konflik dalam UMNO sekiranya usaha menyantuninya tidak terjadi.

Perpecahan yang berlaku dalam Pas menggerakkan DAP merangsang penubuhan parti baharu bersumber dari Gerak­an Harapan Baru (GHB) dan menonjolkan Mohamad Sabu sebagai tokoh utamanya. DAP bersungguh-sungguh melakukan ini kerana ingin menggantikan Pas dalam pakatan baharu yang bakal ditubuhkan. Ini mungkin memberi kesan politik umat Melayu masa depan.

Kemelut yang sedang berlaku dalam UMNO kini menuntut pendekatan bijaksana jangan sampai perpecahan terjadi dan menyebabkan UMNO lemah dan menghadapi defisit sokong­an dan sukar menghadapi situsai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Politik Malaysia amat memerlukan kekuatan orang Me­layu menguasai kerajaan. DAP dengan Impian Malaysianya melakukan strategi pecah-perintah ini dengan terancang dan ada orang Melayu dan generasi muda yang mula terpikat dengan cita-cita DAP menguasai Malaysia menerusi Sekolah Demokrasi yang ditubuhkan untuk merekrut pelajar-pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT).

UMNO dan Pas menyedari apa yang sedang berlaku. Tentang­an UMNO terhadap cita-cita DAP itu disedari sejak awal penubuh­an parti itu kerana menyedari semangat PAP ada dalam roh perjuangan Malaysian Malaysia DAP. Pas semakin faham bahawa DAP dalam Pakatan Rakyat menjadi faktor penentu dalam gagasan pembangkang dan berusaha menjatuhkan imej Pas.

Tetapi bagaimana UMNO dan Pas dengan jiwa besar mampu menyantuni situasi ini dengan perancangan yang bijak dan strategi yang berhemah supaya penubuhan parti baharu serpihan Pas tidak sampai menyebabkan Pas hilang sokongan dan kemelut yang sedang terjadi dalam UMNO jangan sampai membawa perpecahan.

Kehilangan sokongan terhadap Pas dalam peringkat ke­pimpinan kelompok serpihan dan juga akar umbi serta dukungan orang bukan Islam adalah cabaran utama bagi Pas menghadapi PRU-14 nanti. Perpecahan sekiranya berlaku dalam UMNO boleh melemahkan parti itu dan BN.

Malapetaka kehilangan kuasa boleh terjadi. Peristiwa ini sedang ditunggu oleh DAP kerana DAP hanya boleh menang dengan menggunakan orang Melayu sebagai faktor utama dan krisis serta kemelut yang sedang berlaku dalam Pas dan UMNO kini menjadi sebab penting ia boleh terjadi.

Sekiranya Pas melakukan kerjasama dengan UMNO selepas selesai kemelut, ia menjadi hujah kuat golongan serpihan yang anti UMNO memperkukuh momentum dan menarik pihak yang benci UMNO menyokong mereka. Pas tidak boleh berdiri sendiri selepas keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya nasib orang Melayu ingin diselamatkan. Pas kena ada perkiraan politik praktis di samping jiwa tawakal yang tinggi bagi menyelamatkan kekuatan umat Melayu.

Oleh itu, UMNO harus mampu menyelesaikan kemelut yang ada dengan baik dan bijaksana dan Pas harus mampu menghalang ahli partinya berhijrah ke parti baharu supaya UMNO mempunyai dukungan yang baik untuk menghadapi PRU 14 dan Pas berada dalam posisi yang baik juga untuk me­lakukan lonjakan.

Kuasa politik orang Melayu di Malaysia amat penting dipertahankan. Jalannya di tengah-tengah krisis dan kemelut tidak mudah. Penggerak politik Melayu harus menginsafi sekali kuasa politik itu hilang kesannya amat besar kepada orang Melayu dan untuk mendapatnya kembali amat sukar kerana strategi DAP itu sedang mendapat dukungan orang Melayu. Apa yang telah berlaku di Singapura dan sedang berlaku di Pulau Pinang adalah bukti nyata yang boleh berlaku bagi Malaysia juga. Minta dijauhkan Allah ia terjadi. - Dari Jendela To'ki

Sunday, August 9, 2015

Kisah SPRM....!

SPRM, Rakyat Bersama Anda
Tragedi yang berlaku kepada SPRM di mana beberapa pegawai-pegawai yang menyiasat kes profil tinggi syarikat SRC International ditahan oleh polis hingga melumpuhkan siasatan tidak boleh dipandang ringan.

Tidak cukup itu ditambah pula dengan tindakan menukar dua pegawai kanan yang mengendalikan kes tersebut ke Jabatan Perdana Menteri (JPM). 

Ia memperlihatkan satu tindakan terdesak, panik, tidak ada strategi dan seterusnya memberikan gambaran tentang wujudnya "dalang" dan tangan-tangan ghaib membantutkan siasatan yang telah memakan masa yang lama. Adakah penukaran Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohamad Zin yang bersumpah untuk mencari dalang hingga ke lubang cacing suatu kebetulan? 

Banyak sangatkah "kebetulan" hingga pegawai kanan yang hendak dikeluarkan dari SPRM pun "kebetulan" yang mengepalai siasatan ke atas SRC? Tetapi semacam bukan kebetulan apabila Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shukri Abdull lantang mendesak JPM memulangkan pegawai kanannya kerana dia sendiri yang bertanggungjawab memberikan arahan kepada mereka. Kebetulankah itu? 

Kalaupun pertukaran perlu dilakukan, kenapa tidak menunggu Bahri menyelesaikan siasatannya? Daripada ini kita boleh membuat kesimpulan bahawa Bahri sangat "bernilai" untuk disenyapkan. 

Serang hendap yang bertalu-talu terhadap SPRM sebuah badan yang sepatutnya bebas, telus dan profesional sebagaimana yang termaktub dalam Akta SPRM 2009 telah memberikan isyarat wujudnya "tangan ghaib" ke atas SPRM. Ini membina persepsi mungkin hasil siasatan tidak begitu "menggembirakan". 

Kepada warga SPRM, kerja mulia dan pengorbanan anda, kami rakyat marhaen yang disangka dungu ini sentiasa menyanjunginya. Walaupun kami ini marhaen dan tidak ada kuasa tetapi tidak mudah ditipu atau tertipu. 

Kami juga tahu bahawa jihad menentang rasuah bukan mudah kerana rasuah telah mendarahdaging dalam kalangan sesetengah kita. Kerana itu, jangan biarkan. Carilah hingga ke lubang cacing. Semoga Allah menyelamatkan tuan-tuan yang budiman. -Anekdot Ahad

SPRM vs polis
Ketegangan hubungan antara Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi isu paling panas diperkatakan sekarang.

SPRM mendakwa penahanan beberapa pegawainya sebagai cubaan mengganggu siasatan terhadap kes 1Malaysia Development (1MDB) sementara polis menegaskan ia bagi menangani kes kebocoran maklumat dokumen rasmi.

Setakat hari ini, sentimen orang ramai lebih memihak kepada SPRM tetapi hal seperti ini tidak mengejutkan Awang.

Begitu juga keadaannya di Indonesia yang kerap menyaksikan perbalahan antara Komuniti Pencegah Korupsi (KPK) dan Polis Republik Indonesia (POLRI). Masyarakat di sana juga menyokong KPK.

Dalam konteks sejarah hubungan SPRM dan Polis, belum pernah berlaku situasi sebagaimana sekarang. Kini, gelombang kemarahan SPRM sudah sampai mesejnya kepada semua pihak. Pada masa yang sama, Awang yakin dengan jaminan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bahawa tidak timbul soal polis mengganggu siasatan SPRM (badan bebas, telus dan profesional seperti termaktub dalam Akta SPRM 2009).

Para pegawai SPRM yang diakui komited memerangi rasuah dan salahguna kuasa, juga harus menerima hakikat peranan polis.

Kebocoran maklumat menjadi ancaman besar kepada negara dan polis berhak melaksanakan tanggungjawab mereka biarpun perlu menyoal dan menahan pegawai SPRM. Sesiapa pun tidak terkecuali. Kepentingan keselamatan negara mengatasi segala-galanya. Di banyak negara terutama China, tiada kompromi dalam perbuatan membocorkan maklumat dan dokumen rasmi yang hukumannya amat berat.

Awang berharap kemelut SPRM dan polis dapat diselesaikan segera. Kedua-dua institusi penting negara itu perlu terus dihormati dan diyakini, bukannya sebaliknya. Khalid dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed boleh merintis kepada pemulihan hubungan dengan mengambil semangat bulan Syawal. Buang yang keruh, ambil yang jernih.-Awang Selamat

Polis siasat anggota SPRM perkara biasa
Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan satu kelaziman kerana prosedur sama turut dilakukan ke atas pegawai agensi lain.

Pengerusi Yayasan Antirasuah Kelantan, Datuk Wan Rosdi Mat Rasik berkata, semua pihak sepatutnya memandang perkara tersebut sebagai sesuatu yang positif bagi memastikan pegawai SPRM bersih daripada sebarang gejala salah laku.

Katanya, hal ini kerana SPRM merupakan satu badan khas yang ditubuhkan bagi mengawal selia dan mencegah kegiatan rasuah yang berlaku di negara ini dan sebarang penyelewengan atau salah laku dalam agensi itu perlu dibanteras.

“Hal-hal yang membabitkan integriti seseorang penjawat awam perlu dititikberatkan SPRM bagi memastikan siasatan yang telus dapat dilakukan terutama yang melibatkan dokumen-dokumen rasmi kerajaan dan perbankan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam memberi jaminan tiada tindakan lanjut akan dikenakan ke atas pegawai SPRM yang diambil keterangan berhubung kebocoran maklumat dokumen rasmi kerajaan.

Menurut Ahmad Zahid, PDRM hanya mahu mendapatkan keterangan daripada beberapa pegawai terbabit mengenai kebocoran maklumat di media sosial.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdi berkata, tindakan memindahkan pegawai-pegawai SPRM ke jabatan dan agensi kerajaan lain bakal memberikan nafas baharu kepada badan siasatan tersebut.- www.utusan.com.my

PPPR tuntut dua pegawai SPRM dikembalikan semula
Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) menuntut dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategiknya, Datuk Rohaizad Yaakob dikembalikan semula kepada badan tersebut dengan serta merta.

Pengerusinya, Tan Sri Johan Jaafar berkata, ini bagi membolehkan dua pegawai kanan itu meneruskan tugas masing-masing di SPRM.

Katanya, pihaknya percaya pertukaran itu akan meningkatkan lagi suasana tegang seperti yang berlaku ketika ini sekiranya tiada tindakan untuk menangani situasi itu dilakukan secepat mungkin.

“PPPR terkejut dengan tindakan yang diambil ke atas dua pegawai kanan SPRM semalam. Malah, pertukaran itu juga akan mencetuskan lebih banyak persoalan berbanding jawapan yang sekali gus akan mewujudkan syak wasangka dan teori konspirasi.

“Sehubungan itu, PPPR menuntut dua pegawai kanan itu dikembalikan semula dengan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Johan, panel itu turut menyokong saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu sebarang bentuk diskriminasi dan tindakan terhadap pegawai kanan SPRM dihentikan.

Selain itu, Johan turut memuji pendirian Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdul yang menawarkan diri sebagai pengganti pertukaran kepada dua pegawai kanan itu yang hanya bertindak atas arahannya.

“Meskipun, PPPR berpendapat pendirian Mohd. Shukri ini sesuatu yang terhormat tetapi tidak perlu sama sekali,” katanya.-www.utusan.com.my

DAP menangguk
Seperti yang dijangka, DAP bersama PKR dan Gerakan Harapan Baru atau GHB (kumpulan serpihan yang ditolak oleh akar umbi Pas) bertindak cepat menangguk di air keruh dalam isu siasatan polis ke atas beberapa pegawai SPRM.

Kalau selama ini, DAP banyak menghina dan mentohmah SPRM terutama dalam kes kematian Teoh Beng Hock, kali ini mempertahankannya.

Hanya disebabkan siasatan SPRM melibatkan pemimpin kerajaan maka parti itu tanpa rasa malu mahu berbaik dengan SPRM sambil menyerlahkan sekali lagi siapa sebenarnya musang berbulu ayam.

Sebab itu Awang senyum lebih-lebih lagi melihat gambar penasihat DAP, Lim Kit Siang di pejabat SPRM di Putrajaya.

Cuma agak hairan mengapa SPRM dalam situasi yang panas membenarkan delegasi pembangkang masuk ke bangunan dan berdialog.

Seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan pegawai tertentu dan ia mengundang pelbagai tafsiran termasuk dilihat "cuba bermain politik".

Memandangkan Kit Siang mahu jadi hero, Awang berharap DAP setuju untuk telus dalam soal mendedahkan sumber dana politik.

Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak telah menyatakan komitmen Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat untuk berbuat demikian, mengapa DAP masih enggan. Jika benar-benar mahu membuktikan integriti, tidak perlu takut melainkan memang terlalu banyak yang mahu disembunyikan.-Awang Selamat

Friday, August 7, 2015

Hang Tuah Bukan Kisah Dongeng

KUALA LUMPUR –Sepasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemukan tiga sumber utama untuk membuktikan kewujudan pahlawan Melaka, Laksamana Hang Tuah sebagai satu sejarah dan bukannya kisah dongeng.

Pensyarah Fakulti Bahasa Mo­den dan Komunikasi UPM, Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa berkata, tiga sumber tersebut terdiri daripada satu dokumen dan satu artifak yang diterima daripada kerajaan Ryukyu serta satu dokumen dari Portugal.

Katanya, dua dokumen tersebut merupakan dokumen rasmi kerajaan Ryukyu, Rekidai Hoan, yang mencatatkan hubungan kerajaan bebas itu dengan Korea dan negara-negara Asia Tenggara serta catatan pengembaraan Alfonso de Albuquerque yang diterbitkan pada 1774.

“Menurut Rekidai Hoan, hubungan antara Melaka dan Ryukyu terjalin sejak abad ke-15 dan dibuktikan dengan penghantaran 10 surat yang melibatkan kedua-dua kerajaan dan salah satu daripada surat berkenaan dihantar sendiri oleh Hang Tuah. Ini termasuklah penghantaran keris berluk sembilan sebagai tanda hubungan erat kedua-dua negara.

“Catatan Albuquerque turut menerangkan mengenai Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka. Sewaktu Portugis menawan Melaka, mereka cuba memujuk Hang Tuah yang ketika itu lari ke Singapura untuk berkhidmat bersama penjajah itu, namun gagal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengisytiharkan kewujudan Hang Tuah dalam sejarah negara, di sini hari ini.

Yang turut hadir Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Madya Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dan pensyarah kanannya, Dr. Rohaidah Kamaruddin.

Hashim Musa (tengah) bersama Rohaidah Kamaruddin (kiri) dan Abdul Muati @ Zamri Ahmad berbincang sesuatu berkenaan bukti sahih Hang Tuah benar wujud di Universiti Putra Malaysia, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Hashim berkata, sumber utama yang diperoleh itu sudah cukup untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah sewaktu era Kesultanan Melayu Melaka.

Katanya, perihal mengenai Hang Tuah dalam catatan Albuquerque cukup jelas dinyatakan termasuklah umur pahlawan Melayu itu yang berusia sekitar 80-an ketika meninggalkan Melaka.

“Hang Tuah disifatkan sebagai Laksamana yang mempunyai reputasi baik, handal, taat, berpengetahuan, berani dan pantang berundur. Semua ciri tersebut cukup untuk melambangkan pahlawan Melayu,” katanya.

Sementara itu, Abdul Mua’ti berkata, penemuan keris berluk sembilan tanpa hulu dan sarung di pekarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu berhampiran Istana Shuriji itu merupakan satu bukti kukuh hubungan terjalin antara Melaka dan negara tersebut.

“Keris tersebut dijumpai di dasar laut dan mempunyai sembilan luk yang lazimnya dihadiahkan Kesultanan Melaka kepada kerajaan lain. Ini kerana keris yang luknya kurang daripada sembilan kebiasaannya dihadiahkan kepada individu ter­tentu,” jelasnya.

Thursday, August 6, 2015

Pulau Pinang Dan Pengkhianatan Sejarah

UNGKAPAN dan kepercayaan bahawa sejarah Pulau Pinang bermula dari tahun 1786 masih berlanjutan. Apakah kita mahu kekalkan satu mitos dalam sejarah negara?

Secara khususnya, sejarah dan persejarahan Pulau Pinang amat dikhianati. Saya merujuk kepada makalah Dr. Chandra Muzaffar (Utusan Malaysia 5 Julai 2015) yang memberi reaksi terhadap apa yang dipaparkan dalam laman web rasmi Pulau Pinang. Terlebih awal ialah pada 12 Jun di mana seorang lagi cendekiawan, Prof. Datuk Seri Md. Salleh Yaapar dari Universiti Sains Malaysia telah menyangkal kenyataan laman web tersebut. Sumber laman itu ialah Biro Penerangan Pulau Pinang.

Umumnya rakyat Malaysia dan Pulau Pinang (termasuk Melayu Pulau Pinang sendiri) tidak mempedulikan kepentingan kenyataan yang berbunyi: “Sejarah Pulau Pinang hanya bermula dari tahun 1786.”

Kebelakangan ini, ada yang memberi reaksi bahawa ia bukan satu isu sebab sentimen umum masyarakat di negara ini maklum akan keadaan pengambilan Pulau Pinang oleh Francis Light. Pengalaman saya menyaksikan pelbagai cemuhan dan penghinaan selama ini terutama melalui media sosial apabila menampilkan mengenai sejarah Pulau Pinang sebelum tahun 1786.

Saya perhatikan Ilmu Sejarah Pulau Pinang berlandaskan kepada citra budaya dominan arus perdana Pulau Pinang. Dan ia begitu keras menafikan sejarah Pulau Pinang wujud sebelum tahun 1786. Walaupun penduduk Melayu seluruh Pulau Pinang lebih kurang 50 peratus, citra sejarah dan paparan imej Melayu amat daif dan terpinggir.

Chandra menerusi makalah itu bertanya, kenapa fakta-fakta tentang sejarah Pulau Pinang tidak diketahui umum dan tidak menjadi sebahagian daripada pengetahuan arus perdana? Beliau mencadangkan bahawa keadaan ini mungkin kerana kejahilan sebahagian besar golongan yang berpengaruh dalam masyarakat. Ya, golongan itu jahil. Dan tidak, mereka maklum tetapi dalam penafian.

Golongan ini bergantung kepada Light bagi meraikan dan meriakkan susur galur etnik dan budaya, idea asal-usul dan kesahihannya mengenai perkembangan masyarakat majmuk di wilayah yang digelar sebagai ‘Georgetown’. Kononnya, Light membawa tamadun ke Pulau Pinang. Sebelum 1786, Pulau Pinang ‘tidak ada tamadun’ dan segala wacana merujuk zaman sebelum itu disifatkan sebagai ‘pra-sejarah’ Pulau Pinang.

Beberapa tahun dahulu dalam satu seminar di Pulau Pinang, sebelum saya dapat menghabiskan perenggan kedua pembentangan saya, mereka yang hadir, konon daripada golongan berpengaruh, berkecuali dan ‘multicultural’ amat cepat melenting dan mendesak bukti “kukuh”. Soalan-soalan seperti, “Mana ada Melayu di Pulau Pinang sebelum Francis Light datang?”, dilontarkan dengan lantangnya.

Saya merujuk kepada Masjid Jamek Batu Uban dibina pada tahun 1734. Saya sebut nama Muhammad Salleh @ Nakhoda nan Intan berasal dari Kampung Bodi (Buadi) Payakumbuh, kini di Sumatera Barat. Saya kata peneroka awal di Pulau Pinang bermastautin di Batu Uban, dan sebelum itu di Tanjung Penaga, berasal dari wilayah Minangkabau.

Sebaliknya beberapa persoalan ditanya mereka antaranya: “Jika orang Minangkabau mengasaskan masjid di Batu Uban, mengapa bumbung masjid itu tidak ada gonjong seperti seni bina di Minangkabau itu sendiri?” dan “Apakah sumbangan peneroka-peneroka seperti Nakhoda nan Intan, Datuk Jenaton dan Nakhoda Kecil kepada pembangunan Pulau Pinang?”. Pertanyaan itu mirip kepada menafi dan mentohmah para peneroka awal sebelum 1786.

Sejarah Melayu Pulau Pinang sebelum 1786 tidak diiktiraf dan tidak disebut dalam buku teks mata pelajaran Sejarah di sekolah. Apa yang disebut ialah ‘Kapten Francis Light.’ Malah, gelaran “Kapten” itu pun tidak betul dan tidak disebut dalam surat-surat rasmi antara beliau dan pihak berkuasa penjajah Inggeris di India. Sebutan dan gelaran yang diberi ialah ‘encik’ (mister).

Kewujudan Melayu di Pulau Pinang juga tidak disebut, dan ditonjolkan dalam permohonan Georgetown dan Melaka sebagai Bandar Warisan. Tahun 1786 dipaparkan sebagai bermulanya sejarah dan tamadun Pulau Pinang. Ini satu penipuan besar!

Image result for Batu Uban: Sejarah Awal Pulau PinangNaratif dalam Wikipedia melalui ‘George Town, Penang’ menyatakan, bandar itu ditemui pada 11 Ogos 1786 oleh Light, seorang pedagang untuk Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) sebagai pangkalan untuk syarikat itu dalam negeri-negeri Melayu. Beliau telah memperoleh Pulau Pinang daripada Sultan Kedah. Light tidak pernah bekerja dengan SHTI. Beliau bekerja dengan firma Jourdain Sullivan and de Souza yang mewakili SHTI.

Fakta sejarah yang kita perlu tahu, Light bukan hanya berhubung dan berunding dengan Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778-1797), tetapi juga dengan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II (1710-1778), ayahanda Sultan Abdullah. Perundingan itu bukan sebagai beliau mewakili kerajaan Inggeris, tetapi mewakili firma perdagangan Jourdain Sullivan and de Souza. Butiran-butiran ini mestilah diletakkan dalam perspektif yang betul.

Dan apakah perspektif kita mengenai kedaulatan Pulau Pinang sebelum 1786? Hakikatnya telah wujud tamadun sebelum tahun 1786. Buktinya, masyarakat Melayu di Pulau Pinang bermastautin di sepanjang Sungai Pinang (awal 1700), Tanjong Penegeri dan Batu Uban, serta Kelawai (Kuala Awal) pada tahun-tahun 1730-an mengamalkan undang-undang Kedah. Batu Uban ialah sebuah pekan dan pelabuhan pada masa itu.

Dalam buku saya (sedang diterbitkan) bertajuk, “Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang (Dewan Bahasa dan Pustaka: 2015)”, saya menyifatkan Melayu di Pulau Pinang ini sebagai pengemis sejarah. Saya harap keadaan tersebut tidak berlarutan.

Usaha penghayatan sejarah Pulau Pinang sebelum 1786 tidak ada noktah. Usaha berterusan mesti dilakukan bagi meluruskan naratif melalui pelbagai cara. Selain daripada penulisan buku, makalah, ceramah dan sebagainya, sejarawan dan cendekiawan Melayu mesti menonjolkan diri dalam memaparkan sejarah Melayu Pulau Pinang (dan Kedah serta rantau ini) di pentas-pentas persidangan antarabangsa sebagai usaha melobi kepada masyarakat dunia yang kian lama disogok dengan cerita mitos. Catatan kolonial sendiri menyebut kewujudan Melayu di Tanjong sebelum tahun 1786.

Malah, catatan dan surat-surat Light menyebut bahawa beliau mempunyai ramai kawan keturunan Minangkabau dan Batak. Ini telah diakui oleh salah seorang generasi keenam Light bernama Noel Francis Light Purdon (penulis, pengkritik dan bekas ahli akademik Universiti Cambridge) dalam pertemuan kami di Adelaide, Australia, awal bulan ini.

Catatan beliau sendiri tidak menafikan Melayu sebelum 1786. Namun begitu, salah satu sebab mengapa mitos ini berlarutan ialah hampir setiap kali penulisan mengenai sejarah awal Pulau Pinang terpampang dalam surat khabar dan majalah berbahasa Melayu sekian lama yang saya ingat, imej, gambar dan tugu Light disiarkan walaupun tidak pernah relevan dengan cerita yang disampaikan. Mengapa pihak sidang pengarang Melayu sendiri tidak peka bahawa tindakan sebegitu akan hanya mengekalkan mitos tersebut?

Oleh : A. Murad Merican

Wednesday, August 5, 2015

Tragedi Sumpahan Politik Pemimpin UMNO Bangsa Johor-Kenapa?

Baju Melayu Teluk Belanga sinonim dengan pakaian Melayu Johor. Apa beza baju Melayu Teluk Belanga dengan baju Melayu Cekak Musang.

Ianya semacam satu sumpahan politik bila banyak menimpa pemimpin UMNO bangsa Johor. Mereka selalu tersangkut dipost no 2 Timbalan Perdana Menteri selepas itu hilang dengan sebab yang berbagai.

Kenapa perkara ini berlaku? Kita review sejarah lihat apa yang telah terjadi...


Dato' Sri Onn bin Dato' Jaafar pengasas UMNO bersama Tan Sri Muhammad Noah bin Omar telah mengasaskan UMNO di Istana Johor pada 1946.

Onn Jaafar adalah bapa PM ke 3 Tun Hussein Onn, datuk kepada DS Hishamuddin Hussein. Muhammad Noah Omar adalah bapa mertua PM ke 2 Tun Razak dan PM ke 3 Tun Hussein, datuk kepada PM ke 6 DS Najib dan DS Hishamuddin.

Onn Jaafar dibesarkan di Istana Johor, anak angkat Sultan Johor namun kritikan beliau kepada Sultan Johor membuatkan beliau dibuang daerah ke Singapura.

Bila Onn Jaafar menjadi MB seperti bapanya , beliau lebih banyak memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu (UMNO) hinggakan Sultan Johor menegur beliau supaya fokus kepada bangsa Johor.

Onn Jaafar akhirnya menjadi Presiden UMNO yang pertama tetapi tidak lama oleh kerana usul pandangan beliau yang advance mendahului zaman mahu buka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu ditentang oleh majoriti pemimpin dan ahli UMNO menyebabkan beliau keluar dari UMNO.

Onn Jaafar pemimpin politik UMNO bangsa Johor tidak berjaya menjadi Perdana Menteri kerana mempertahankan pemikiran politik kepercayaannya. Muncul Tunku Abdul Rahman bangsa Kedah menjadi Presiden UMNO dan PM pertama Malaysia.

Tun Dr Ismail bin Dato' Abdul Rahman seorang lagi pemimpin UMNO bangsa Johor yang hebat. Beliau dan Tan Sri Muhammad Noah Omar adalah dari keluarga aristokrat Muar.

Berasal dari keturunan Raja Melayu Bugis Campa yang terkenal di Padang Muar sejak dari Kesultanan Melayu Melaka.

Tun Dr Ismail adalah seorang pemimpin yang tegas dan lebih Malaysia pemikiran dan tindaktanduknya. Pernah bersara dari menjadi Menteri kerana kecewa dengan Tindakan Tunku Abdul Rahman melepaskan Singapura selepas 1965.

Tun Dr Ismail kembali bersemangat selepas Tragedi 13 Mei untuk kembali dalam pentadbiran kerajaan - the man who saved Malaysia melalui Mageran.

Tun Abdullah Ahmad Badawi PM ke 5 sewaktu menjadi Setiausaha Mageran mengingatkan kembali betapa Tun Razak selalu pening kepala untuk melayan pandangan-pandang politik Tun Dr Ismail hingga banyak kali mesyuarat dilanjutkan bila berlaku perbezaan pendapat hanya untuk memuaskan hati Tun Dr. Ismail.

Tun Dr Ismail ditakuti oleh Tun Mahathir dan Tun Musa Hitam yang kedua pemimpin ini dianggap ultra. Kenyataan Tun Dr. Ismail:

"These ultras believe in the wild and fantastic theory of absolute dominion by one race over the other communities, regardless of the Constitution. ... Polarisation has taken place in Malaysian politics and the extreme racialists among the ruling party are making a desperate bid to topple the present leadership"

Tengku Razaleigh berkata orang Cina lebih percaya dan yakin kepada Tun Dr. Ismail dari Tun Razak yang lebih banyak melibatkan dengan hal orang Melayu dan luar bandar.

Tun Dr. Ismail juga bimbang dengan rancangan politik Tun Razak yang mahu menaikkan semula Tun Mahathir satu gerakan yang ditentang oleh Tun Dr. Ismail yang lebih prefer Tun Musa Hitam.

Serangan jantung dan kanser menyebabkan Tun Dr Ismail tidak dapat menjawat jawatan Perdana Menteri.

Namun Tun Razak melantik Tun Hussein Onn seorang lagi pemimpin UMNO bangsa Johor menjadi Timbalan Perdana Menteri yang akhir menjadi Perdana Menteri.

Tun Hussein Onn bersara selepas melantik Tun Mahathir dari bangsa Kedah mengenepikan Tun Ghaffar dan Tengku Razaleigh.

Tun Musa meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986, disebabkan percanggahan pendapat dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir terhadap dasar-dasar negara.

Sekali lagi pemimpim UMNO bangsa Johor tidak berupaya menjadi PM. Tun Musa Hitam cuba bersama Tengku Razaleigh untuk megubah kepimpinan UMNO tapi gagal.

Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya kepada isu 1MDB versi Tun Mahathir. Bukan itu sahaja Muhyiddin Yassin berani secara sengaja mencabar DS Najib sebagai PM Kabinet Malaysia secara terbuka.

Ini bertentangan dengan prinsip collective responsibility kabinet Malaysia.

Mungkin dengan sokongan kumpulan Tun Mahathir dan beberapa orang Menteri dan MB menyebabkan TS Muhyiddin Yassin rela digugurkan oleh DS Najib.

DS Najib sebagi boss no 1 terpaksa menggugurkan Muhyiddin Yassin sebagai contoh dan teladan kepada mana-mana Menteri dan MB supaya mengikut arahan dan perancangannya bergerak dalam satu barisan yang jitu.

Soal samada Muhyiddin Yassin yang masih punya post Timbalan Presiden UMNO mahu mencabar kedudukan Presiden UMNO seperti Tun Musa Hitam hanya masa yang menentukan.

Kenapa DS Najib selepas menggugurkan TS Mahayuddin dan tidak melantik DS Hishamuddin Hussein seorang lagi pemimpin UMNO bangsa Johor untuk meredakan ketegangan UMNO bangsa Johor menjadi misteri.

Namun pelantikan pemimpin UMNO Johor yang lebih muda seperti Azalina dan Nur Jazlan menjadi Menteri itu tanda DS Najib tidak diskriminasi kepada pemimpin UMNO Bangsa Johor.

Apa yang WZWH review sejarah terdapat sumpahan politik pemimpin UMNO bangsa Johor. Kenapa?

Pemimpin UMNO bangsa Johor bila percaya kepada satu jenis pemikiran akan mempertahankan pandangan politik mereka tidak kira apa kos. Sejarah membuktikan mereka boleh pergi lebih extreme bila pada tahun 1940an Geng Kumpulan 7 yang menuntut Sultan Ibrahim meletak jawatan sebagai Sultan Johor kerana menandatangani persetujuan penubuhan Malayan Union 1946 yang bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Terpulang kepada pemimpin-pemimpin UMNO bangsa Johor untuk berusaha menghapuskan sumpahan ini. Pemimpin-pemimpin UMNO bangsa Johor akan berubah bila mereka lebih faham apakah definasi Bangsa Johor yang sebenarnya yang lebih luas dan universal.

Sehingga hari ini mereka tidak faham apa erti Bangsa Johor yang sebenar!

Tuesday, August 4, 2015

Kesyukuran Titian Kebahagiaan

Kebahagiaan bukan sesuatu yang bersyarat untuk kita dapat, kerana semua orang berhak dan berpeluang memilikinya. Tetapi, untuk mendapatkan kebahagiaan bukan sesuatu yang mudah, perlu meredah susah payah, ibarat kalau takut berhadapan dengan lebah manakan dapat madunya. Sesungguhnya kebahagiaan itu sesuatu yang sangat subjektif, dan ukuran kebahagiaan itu juga berbeza-beza mengikut penilaian erti kebahagiaan bagi setiap individu.

Kita kerap mendengar harapan, keinginan, rintihan dan rungutan orang di sekeliling kita, yang mahukan kehidupan yang bahagia, sama atau lebih seperti orang yang mereka labelkan sebagai orang yang bahagia. Sedangkan tanpa kita sedari kita telah pun memiliki kebahagiaan itu. Selagi kita membandingkan pencapaian dengan orang lain, selagi itulah kita tidak akan dapat menikmati erti bahagia yang sebenar.

Kita lupa atau tidak perasan, kebahagiaan sebenarnya sudah ada dalam diri kita. Tetapi, kerana kita memandang remeh tentang perkara kecil yang berlaku ke atas kita, atau apa-apa yang telah dimiliki kita rasakan tidak bernilai kerana ia terlalu sedikit jika dibandingkan dengan orang lain, maka kita beranggapan kita tidak pernah mengecap kebahagiaan hidup. Oleh sebab itu untuk bahagia, pastikan kita tidak membuat perbandingan dan mempertikaikan apa yang kita tidak ada. Sebaliknya mensyukuri apa yang kita ada, kerana mungkin yang kita ada itulah yang tidak dimiliki dan sangat diperlukan oleh orang lain.

Kebahagiaan itu datang apabila kita sentiasa bersyukur, tidak mengeluh, tidak merungut, tidak mengumpat, mencaci, tidak mempertikaikan, tidak menyalahkan diri sendiri dan tidak menyalahkan orang lain yang menyebabkan kita tidak bahagia. Didiklah jiwa dan minda kita, menghargai apa yang sedang kita ada, dan dapat membuatkan kita berasa senang, tenang, dan jauh daripada tekanan hidup. Berusahalah menjadi manusia dan hamba-Nya yang baik kerana itulah sumber ketenangan dan kebahagiaan.

Kebaikan dalam Islam adalah, keimanan, ketakwaan, ilmu dan keihsanan. Sentiasa memberi dengan niat ikhlas kerana Allah untuk mendapat reda-Nya. Kita akan benar-benar bahagia apabila kita berjaya mencapai matlamat utama dalam hidup kita, iaitu sebagai seorang mukmin, yang kita harapkan hanyalah balasan baik daripada Allah SWT terutamanya kita hendakkan, sakratulmaut yang indah, mengharapkan taman syurga, buku timbangan di belah kanan, dan mudah melalui titian siratulmustakim.

Formula pemikiran "Reset Minda" yang disyorkan menjadi amalan untuk mencapai hidup bahagia dan membahagiakan adalah “MUDAHNYA ADA – BERI – DAPAT BAHAGIA”. Formula ini bermula dengan pertama, kita (sebagai seorang pekerja, pelajar, suri rumah, suami, isteri dan sebagainya) kena mengakui bahawa, kita bahagia dengan apa yang kita (ada) dengan rasa penuh kesyukuran. Bagi memastikan kita berasa bahagia dengan diri kita sendiri, pastikan kita melakukan perkara-perkara berikut (muhasabah diri dan mengurus diri) dari segi nilai dan pencapaian akidah, ibadah, dan akhlak kita. Hal ini adalah kerana kita akan bahagia jika dari segi ibadah, kita diberi peluang beribadah dan mempraktikkan agama tanpa batasan, dapat melalui hidup seharian dengan sihat dan selamat, dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga, suami/isteri, anak-anak dan sahabat dalam suasana harmoni.

Kedua, kita berasa bahagia dengan apa yang kita (beri). Setiap hari fikirkan dan niatkan (beri) seberapa banyak manfaat kepada orang sebagai tanda kita bersyukur. Pemberian itu tidak semestinya dalam bentuk wang semata-mata, kalau kita tidak cukup wang ringgit atau harta benda, mungkin kita boleh beri sumbangan tenaga, akal, idea, pandangan dan sokongan kita kepada orang sekeliling. Ingatlah, jangan bersaing tetapi bekerjasama, dan jangan tamak membolot semua tetapi berkongsi dengan niat laksanakan amalan sedekah.

Ketiga, kita akan bahagia dengan apa yang kita (dapat). Renung dan audit diri sebelum tidur apa yang telah kita (dapat) sepanjang hari dalam hidup kita. Dengan melakukan audit dan muhasabah diri, kita akan sentiasa bersyukur terhadap apa-apa yang kita (dapat), sama ada ia sesuatu yang positif atau negatif. Misalnya pujian, dengan konsep sentiasa bersyukur pujian itu tidak membuatkan kita berasa cepat berpuas hati dengan apa yang kita dapat dan tidak berasa sombong, ego dan bongkak dengan apa yang kita ada.

Kesimpulannya, syarat untuk mendapat bahagia pertama, berdoa supaya Allah jadikan kita orang yang bersyukur dengan fokus apa yang kita ada bukan apa yang kita tidak ada dan membandingkan dengan orang lain. Kedua, berdoa supaya Allah kurniakan sifat ikhlas, hingga kita tidak nampak pun penghargaan manusia dan kita tidak mengharapkan balasan manusia. Kita akan tenang dan bahagia jika kita melakukan sesuatu tanpa syarat. Ketiga, doakan kita mendapat sifat tawaduk, rendah hati serta tidak berasa diri kita hebat dan memiliki segala-galanya, yang membuatkan kita mampu mendapat segala bentuk kebahagiaan hidup.

Keempat, berdoa supaya Allah beri kita ketakwaan. Iaitu kita menjadi orang yang buat apa yang disuruh dan tinggal yang dilarang oleh Allah SWT. Hanya orang yang bertakwa akan mendapat jaminan hidup bahagia hingga akhirat. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Sumber : Jom Audit

Monday, August 3, 2015

Alahai Melayu....!

DAP dan Melayu
Awang ingin ucapkan syabas kepada DAP kerana bijak selain ghairah memanfaatkan pergolakan yang melanda UMNO dan Pas. Parti itu telah berjaya melonjakkan penyertaan Melayu. Para pemimpin DAP termasuk penasihatnya Lim Kit Siang sendiri turun padang dengan aktif mendampingi golongan muda Melayu. Lebih-lebih lagi dengan bantuan secara langsung dan tidak langsung kumpulan pemimpin serpihan Pas iaitu Gerakan Harapan Baru (GHB) serta badan bukan kerajaan tertentu. Bukan itu sahaja, pendaftaran pengundi Cina oleh DAP juga makin hebat. Di Selangor, setakat minggu ini, dilaporkan lebih 160,000 pemilih baru kaum Cina telah didaftarkan.

Nampaknya tidak sukar untuk DAP menambah dan memindah 250,000 pengundi ke Selangor menjelang pilihan raya umum depan sebagaimana yang disasarkan. Itu belum menyentuh beberapa negeri lagi, yang khabarnya mula memberikan impak. Cengkaman DAP ke atas kaum Cina mengukuh dan Melayu muda meningkat. UMNO pula tidak ambil iktibar- menyedihkan.


Siapa patut satukan Melayu?
Kita tahu umat Melayu yang terdiri daripada Bugis, Jawa, Bajau, Minang, Rawa, Melayu Johor, Melayu Kedah, Melayu Pulau Pinang, Melayu Perak, Melayu Selangor, Melayu Negeri Sembilan, Melayu Melaka, Melayu Pahang, Melayu Terengganu, Melayu Kelantan, Melayu Sabah dan Melayu Sarawak – dalam ambang perselisihan pendapat.

Semua umat Melayu di Malaysia sesungguhnya berdepan situasi perpecahan. Susah sangat sekarang untuk melihat orang Melayu bersatu. Kita tahu di mana puncanya, jadi carilah jalan untuk bersatu.

Bersatu bukan bermakna kita perlu masuk parti politik. Sebab yang menentukan kerajaan pimpinan orang Melayu bukan ahli parti, tetapi pengundi. Pengundi Melayu memang banyak, tapi apalah makna banyak kalau mahu membentuk kerajaan yang benar-benar berkuasa pun nampak terlalu sukar sekarang.

Bukan kita tidak tahu yang umat Melayu sekarang berdepan situasi perpecahan sehingga yang kita dikatakan suara majoriti tiada berkesan lagi apabila suara kaum minoriti pula menjadi kuasa penentu.

Bagaimana para pengundi Melayu hendak memilih pemimpin Melayu, kalau yang diketengahkan sebagai calon wakil rakyat itu tidak amanah, kaki ampu, tidak berwibawa dan dikelilingi dengan fitnah. Akhirnya ke mana undi Melayu kalau tidak dibuang kepada pihak bukan Melayu.

Sekarang kita lihat golongan profesional Melayu dan generasi muda baik lelaki mahupun perempuan sudah berhijrah menyokong DAP yang kita tahu hala tuju parti tersebut.

Saya percaya majoriti orang Melayu yang tidak menyertai mana-mana parti politik, sedang memerhatikan dengan pertanyaan – apa nak jadi pada Malaysia?

Kenapalah pemimpin parti Melayu tidak sudah-sudah bercakaran sesama satu agama, dan satu bangsa? Orang bukan Melayu tersenyum dan gelakkan gelagat pemimpin Melayu.

Wahai pemimpin Melayu, ingatlah perjuangan bangsa kita belum selesai. Orang bukan Melayu terutama kaum Cina sedang merancang strategi untuk ambil alih kuasa pemerintahan negara ini. Keturunan kaum yang dahulu datang sebagai buruh lombong bijih timah itu telah menguasai banyak bidang ekonomi dan sektor pekerjaan utama.

Banyak kenyataan pemimpin Melayu yang bimbang akan kebangkitan kaum Cina untuk mengambil peluang daripada kemelut parti politik dan pemimpin Melayu dan tunggu masa mengambil alih kuasa kerajaan. Tak perlu penjelasan panjang, orang politik pasti tahu hal ini.

Selepas Pas - parti politik Melayu kedua terbesar menerima tekanan daripada DAP, PKR dan kumpulan Gerakan Harapan Baharu, kini UMNO pula terkena musibah. Bila parti-parti politik di negara ini baik Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain hendak aman?

Wahai orang pemimpin Melayu, apakah kamu masih tidak sedar atau peduli kesan daripada pertelingkahan kamu – baik sesama dalam parti mahupun parti lawan. Kesan dan akibatnya amat besar.

Walaupun kerap diperkatakan, masalah perpecahan orang Melayu masih belum berjaya diselesaikan kerana tiada tindakan berkesan yang diambil.

Berbincang
Kasihan kepada golongan Melayu bawahan yang menjadi kelompok terbesar rakyat negara ini. Ke mana mereka mahu meminta bantuan kalau bukan lagi Melayu yang memerintah negara ini?

Kalau kita takut perkara buruk berlaku kepada umat Melayu, maka bersatulah supaya negara ini tidak jatuh ke tangan orang lain.

Pilihan Raya Umum ke-14 yang menjadi penentu pihak mana yang menguasai kerajaan boleh berlangsung beberapa bulan atau kira-kira dua tahun lebih sahaja lagi. Bayang-bayang orang Melayu dalam perpecahan sudah lama wujud.

Sebab itu kita perlu segera menutup "lubang-lubang" perpecahan itu. Bahaya jika dibiarkan lubang itu terus membesar.

Pemimpin UMNO, Pas dan badan bukan kerajaan Melayu kena duduk berbincang. UMNO dan Pas bersama-sama parti dari Sabah dan Sarawak perlu mewujudkan kerjasama untuk mencapai sebuah negara yang aman, bersatu padu dan maju. Paling penting sediakanlah pemimpin yang jujur, bersih dan berintegriti tinggi.

Sebenarnya umat Melayu sudah muak. Pelbagai pihak termasuk pemimpin dan bekas pemimpin hanya bercakap mengenai perpecahan, namun tidak mencadangkan penyelesaian.

Umat Melayu kena bersatu. Lupakan sementara perbezaan fahaman politik. Tetapi siapa yang hendak kita harapkan sebagai penyatu?

Situasi sekarang pula, baik UMNO dan Pas masing-masing berdepan masalah dalaman yang cukup hebat. Bilakah semua ini akan selesai? 

Sunday, August 2, 2015

TPPA: Perdagangan Bebas Yang Tidak Bebas

Pada Disember 2014,Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat telah menaikkan tarif bagi panel solar yang diimport dari China daripada 26 peratus kepada 78 peratus, bagi melindungi firma yang mengeluarkan panel solar di negara tersebut.

Ini merupakan sebahagian daripada kenaikan cukai import yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap barangan yang dihasilkan oleh gergasi ekonomi Asia terbabit.

Sehingga kini, Amerika Syarikat mempunyai perjanjian dagangan bebas dengan 20 negara. Dan China – yang mengambil alih kedudukan Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia sejak tahun 2012 – tidak termasuk dalam senarai 20 negara itu.

TPPA
Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik – merupakan perjanjian dagangan antara 12 negara rantau Pasifik iaitu Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Kanada, Jepun, Chile, Mexico, Peru, Singapura, Brunei, Vietnam dan Malaysia.

TPPA dikatakan bakal meningkatkan perdagangan dan pelaburan di kalangan negara anggota seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Namun rundingan TPPA sehingga kini dijalankan secara rahsia antara pemimpin negara. Sepatutnya di negara yang mengamalkan sistem demokrasi, rakyat perlu dimaklumkan tentang apa yang akan dicampakkan ke atas mereka.

Walau bagaimanapun, melalui dokumen yang dibocorkan dan juga hasil butiran rundingan yang sudah pun ditandatangani, kita mempelajari serba sedikit tentang beberapa isu yang berbangkit.

Penurunan tarif
Secara umumnya, TPPA akan menurunkan kadar tarif bagi barangan import, di samping memudahkan syarikat multinasional untuk bertapak di negara anggota.

Hal ini bermakna, barangan dan firma dari Amerika Syarikat lebih mudah untuk masuk serta bertapak di negara ini.

Benar, perkara yang sama turut berlaku terhadap mereka; produk dan syarikat dari Malaysia juga lebih mudah untuk masuk ke pasaran Amerika Syarikat.

Namun bandingkan pula taraf ekonomi kedua-dua pihak – kita negara membangun, sementara mereka pula negara maju merangkap kuasa ekonomi dunia. Tentulah tidak adil untuk meletakkan kedua-dua negara di platform yang sama. Ibarat mentimun dengan durian.

Akhirnya, dibimbangi yang untung hanyalah sebelah pihak. Barangan dan firma dari Amerika Syarikat akan mula menguasai ekonomi negara kita, sekaligus menggugat perniagaan rakyat tempatan.

TPPA: perdagangan bebas?
Dari sini kita dapat lihat Amerika Syarikat hanya gemar mengadakan dagangan bebas dengan negara-negara yang lebih kecil ekonominya. Dengan cara ini, mereka mampu mengeksploitasi negara-negara ini bagi mengaut keuntungan yang lebih besar.

Oleh sebab itu mereka enggan mengadakan dagangan bebas dengan China, negara yang ekonominya setaraf jika tidak lebih besar daripada mereka. Malah mereka menaikkan lagi tarif barangan yang diimport dari China.

Sebab itu juga, isi kandungan TPPA antara Amerika Syarikat dengan Jepun berbeza sedikit berbanding negara lain. Amerika Syarikat masih dibenar mengekalkan tarif terhadap kenderaan yang diimport dari Jepun bagi melindungi industri automotif di Amerika Syarikat. Jika dagangan antara dua negara tersebut benar-benar bebas, dijangka Amerika Syarikat habis dibanjiri oleh kenderaan buatan Jepun.

Kedaulatan negara tergugat
Yang dibimbangi tentang TPPA ialah kebarangkalian undang-undang luar, terutamanya berkaitan perniagaan, akan dipaksakan ke atas negara kita.

Misalnya undang-undang hak cipta Amerika Syarikat yang amat ketat. Sekiranya peraturan paten yang diguna pakai oleh firma-firma farmaseutikal dari Amerika Syarikat turut dikuatkuasakan di negara kita, dijangka harga ubat-ubatan akan meningkat secara drastik.

Secara tidak langsung ia bakal menaikkan kos kesihatan di Malaysia.

Untuk makluman, statistik pada tahun 2012 menunjukkan Amerika Syarikat sebagai negara yang memiliki kos kesihatan paling mahal di dunia, tetapi dalam masa yang sama, dari sudut tahap kesihatan, berada di tempat paling belakang di kalangan negara maju. Ini antara lain disebabkan harga ubat-ubatan di sana yang amat tinggi.

Syarikat asing menyaman kerajaan
Sejak awal lagi, tujuan TPPA digubal adalah untuk meluaskan pengaruh syarikat multinasional. Sehingga satu situasi di mana firma asing boleh menyaman kerajaan menerusi tribunal yang memiliki kuasa lebih tinggi berbanding mahkamah tempatan.

Perkara ini sudah pun berlaku. Firma tembakau Amerika Syarikat, Phillip Morris telah menyaman kerajaan Australia kerana mengenakan peraturan plain packaging (di mana kotak rokok yang dijual di negara itu mestilah tidak diletakkan sebarang gambar dan logo syarikat; hanya mengandungi jenama dalam tulisan kecil bersama amaran kesihatan) yang dilaksanakan demi kesihatan awam.

Syarikat minyak Chevron telah menggunakan tribunal yang sama bagi mengelak membayar pampasan berbilion dollar kerana mencemarkan alam sekitar di Ecuador.

Tentangan terhadap TPPA
Pada tahun 2012, protes telah dianjurkan di Melbourne, Australia dan Auckland, New Zealand bagi membantah TPPA. Tunjuk perasaan yang serupa turut berlaku di Tokyo, Jepun pada 2013.

Rakyat Malaysia turut berkongsi sentimen ini melalui protes yang diadakan pada 11 Oktober 2013 dan 21 Februari 2014.

Malah bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad juga telah meluahkan kebimbangan terhadap kesan yang bakal menimpa Malaysia akibat termeterainya TPPA.

Tindakan Malaysia
TPPA sebenarnya merupakan perjanjian dagangan bebas yang tidak bebas. Ia mengancam ekonomi kita dan mengikat kita dengan undang-undang serta peraturan asing.

Kerajaan Malaysia sepatutnya menarik diri daripada rundingan TPPA demi melindungi ekonomi dan kedaulatan negara daripada dijajah kuasa luar. Rakyat pula perlulah peka terhadap bahaya yang akan melanda hasil perjanjian berat sebelah ini.

Jika pun kerajaan enggan berundur dari meja rundingan, setidaknya isi kandungan perjanjian mesti didedahkan kepada umum. Biarlah rakyat dan golongan bijak pandai menilai sendiri baik atau buruknya TPPA.

Sumber : harakahdaily