WALAUPUN stress dikatakan ada baiknya, namun jika ia berpanjangan pasti mengundang kemudaratan. Banyak kajian membuktikan bahawa tekanan minda serta bebanan tanggung jawab yang banyak dan berterusan mempertingkatkan risiko penyakit dari aspek kardiovaskular, muskular dan yang paling membimbangkan adalah penyakit mental.
Kekuatan mental amat penting malah minda yang sihat mampu menjana tenaga yang maksimum. Pernahkah anda terfikir mengapa jiwa anda stres dan tidak tenang? Cuba anda pejamkan mata, tarik nafas dan fikirkan apa yang belum anda lakukan. Mungkinkah anda kurang memberi, bersedekah atau terlupa menunaikan zakat.
Beberapa hari lalu seorang pakcik keluar dari pintu bank dengan wajah ceria dan tersenyum lebar. Saya berkata, "Wah, seronoknya pakcik!". Lantas dia menjawab, "Mestilah seronok sebab menerima bonus daripada pelaburan ASB". Ternyata beliau kelihatan sangat gembira. Pasti sudah ada perancangan tertentu dengan duit yang diperolehi oleh beliau kali ini. Ketika itu terdetik di hati saya, berapa ramaikah mereka yang menerima habuan daripada bonus, yang cukup haul dan nisab, terfikir untuk mengeluarkan zakat?
Sebahagian daripada rezeki yang Allah berikan pada kita itu, ada hak orang lain. Cuma ia diberikan melalui kita sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.
Bagi mereka yang biasa berzakat dan pernah merasai nikmat serta kelebihannya, mereka ini sanggup membelanjakan harta bendanya pada jalan Allah lebih daripada apa yang dituntut oleh agama. Bagi mereka yang terlupa menunaikan kewajipan ini, cuba laksanakan, siapa tahu inilah rahsia jiwa tenang yang sebenar.
Antara hikmah berzakat ialah:
Jiwa tenang - Orang yang berzakat jiwanya tenang kerana dia tidak lagi merasakan yang dirinya berhutang dengan Allah. Ramai orang yang berduit tetapi hidupnya dalam keadaan yang keluh-kesah. Sentiasa ada sahaja perkara yang tidak kena dalam hidupnya. Malah tidur malam pun tidak lena. Ke mana sahaja mereka pergi terasa tidak selamat. Sebab, hati mereka begitu terikat dengan dunia. Orang yang berzakat tidak pernah mengalami keadaan sebegitu kerana zakat itu tanda takwa.
Murah rezeki - Seperti yang telah Allah janjikan, mereka yang mengeluarkan zakat akan dapati rezeki semakin luas, perniagaan semakin menjadi, pendapatan semakin lumayan dan rezeki datang dari sumber yang tidak mereka sangkakan.
Jauh daripada bala dan musibah - Orang yang berzakat sebenarnya telah menyucikan wang dan hartanya, oleh itu kekayaannya akan dilindungi Allah. Ada ketikanya musibah dan mudarat yang berlaku itu sebagai kifarat atas dosa atau harta yang bukan hak kita. Oleh itu, jika ujian datang bertimpa-timpa maka sebelum dicari punca yang lain semaklah dahulu sama ada zakat sudah ditunaikan atau belum. Jika belum ditunaikan, maka tunaikanlah, kemudian barulah dikaji punca-punca yang lainnya.
Tanda kita bersyukur - Bukan semua orang wajib mengeluarkan zakat. Oleh itu apabila kita termasuk dalam orang yang wajib berzakat maka bersyukurlah kerana itu maknanya Allah telah berikan rezeki kepada kita lebih berbanding dengan orang lain.
Mendapat kasih sayang manusia dan Allah - Orang kaya yang berzakat disayangi oleh masyarakat. Sebab wang zakat itu akan diberikan dan dapat dimanfaatkan oleh golongan asnaf antaranya mereka yang fakir, miskin, mualaf dan sebagainya. Malah mereka ini akan mendoakan agar orang yang mengeluarkan zakat itu dimurahkan lagi rezekinya. Zakat menjadi jalan yang mengikat silaturahim antara golongan kaya dengan mereka yang miskin.
Sumber : utusan@Keluarga
No comments:
Post a Comment