Menurut Perunding Terapi Kekeluargaan Annabella House Of Theraphy, Suhana Ahmad Marzuki, faktor kesibukan menguruskan kerjaya dan rumah tangga serta anak-anak menjadikan komunikasi antara suami isteri semakin kurang.
Malah mengikut kajian, pasangan suami dan isteri pada hari ini hanya berkomunikasi sebanyak 20 hingga 25 peratus sahaja dalam sehari, manakala baki 75 peratus lagi sekadar menggunakan bahasa badan atau 'faham-faham' antara mereka sendiri sahaja.
Ada dalam kalangan mereka yang hanya dapat berkomunikasi selepas si isteri melakukan kerja-kerja rumah atau setelah si suami pulang lewat dari pejabat dan terus berehat di atas katil sebelum melelapkan mata.
Itupun mungkin hanya beberapa minit sebelum kedua-duanya lena dibuai mimpi.
Malah, ada yang mengambil kesempatan untuk bercakap dengan pasangan masing-masing hanya dalam soal-soal berat, tentang hal anak dan rumah tanpa sempat bertanyakan mengenai keadaan pasangan masing-masing.
Perkara ini bukan sahaja berlaku terhadap pasangan yang berkerjaya. Lebih malang apabila isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa juga berhadapan dengan masalah sama apabila suami balik ke rumah, isteri telah penat menguruskan rumah tangga dam tidak dapat berbual dengan suami yang segera ke bilik tidur untuk berehat.
''Ini pastinya akan menyebabkan isteri rasa tertekan kerana tidak dapat berbual dengan suami mereka dalam hal-hal berkaitan anak-anak atau rumah.
"Si isteri rasa terbeban kerana menanggung sesuatu situasi itu seorang diri tanpa dapat berkongsi dengan suami.
''Begitu juga yang dialami oleh pasangan suami isteri yang berlainan masa kerja atau kerja syif dan hanya bertemu beberapa jam di rumah," katanya.
Dalam perkara ini menurut Suhana, pasangan perlu bijak menangani keadaan agar suasana rumah tangga mereka tidak terus suram tanpa komunikasi dua hala daripada kedua-dua pihak.
''Pandai-pandailah cari masa yang sesuai untuk berkomunikasi dengan pasangan.
"Takkanlah dalam tempoh 24 jam atau tujuh hari seminggu itu sekalipun tidak dapat luangkan masa untuk berbual mesra dengan pasangan.
''Perbualan yang dimaksudkan ini bukan hanya setakat berbicara mengenai hal yang penting atau sepatah dua kata sahaja, malah sebenarnya bicara yang mencakupi isi hati pasangan anda," jelasnya.
Tambah Suhana, komunikasi bukan sahaja diperlukan bagi merungkai konflik atau permasalahan rumah tangga malah dengan berbual dapat mencetus dan menjalinkan hubungan erat dalam kalangan suami isteri.
''Komunikasi boleh mencambahkan perasaan sayang, apatah lagi dalam perbualan itu disulami dengan kata-kata romantis, humor dan sebagainya," katanya.
Suhana turut memberi tip kepada pasangan suami isteri bagaimana mencari masa yang sesuai untuk berkomunikasi dengan pasangan mereka.
Namun katanya, perbualan itu perlu disulami dengan rasa gembira dan ceria serta tidak membosankan.
Usah sesekali menyemarakkan komunikasi atau memulakannya dengan rasa amarah dan dendam agar perbualan yang dimulakan dengan elok tidak bertukar kepada kebencian dan kemarahan.
Menurutnya, seelok-elok komunikasi yang ingin dijalinkan oleh pasangan perlulah diungkap berdua dan tiada gangguan daripada anak-anak pada waktu itu.
1Suami dan isteri boleh memanfaatkan cuti hujung minggu dengan melakukan aktiviti bersama-sama seperti berjogging dan bersenam atau memasak bersama-sama.
Ketika ini suasana lebih terasa santai dan suami dan isteri boleh berbual dengan lebih mesra ketika sedang makan bersama.
2 Suasana di kamar tidur lebih tenteram, lapang, tanpa gangguan dan anda boleh menggunakan keadaan ini di atas katil untuk berbicara dengan pasangan anda sebelum tidur.
Biarpun sekejap, pastikan setiap minit yang digunakan memberikan manfaat yang besar kepada diri anda berdua.
3Habiskan waktu lewat malam ketika anda menghabiskan masa berdua menonton televisyen sehingga lewat malam.
Waktu itu anak-anak telah tidur, jadikan waktu itu suasana yang romantik untuk anda berdua berbicara.
4Bawa anak beriadah pastikan anak-anak anda melakukan aktiviti mereka dan pada waktu itu anda dapat berbual bersama.
5Ketika dalam perjalanan perbualan mesra dalam kalangan suami isteri boleh dimulakan ketika dalam perjalanan jauh ke kampung atau ketika suami menghantar isteri ke tempat kerja.
Sumber : utusan@Keluarga
No comments:
Post a Comment